22 JUN — Selepas tiga bulan negara diletakkan di bawah pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan, kini rutin rakyat nampaknya telah kembali seperti biasa. 

Semakin ramai rakyat yang mula bertugas semula dari pejabat dan tak kurang juga pengusaha serta pemilik premis perniagaan yang beroperasi seperti kebiasaannya.

Meskipun kebanyakan rakyat menjalani kehidupan seharian seperti biasa, namun kebiasaan yang dilalui itu bukan lagi kebiasaan lama tetapi kebiasaan baharu.

Yang dimaksudkan dengan kebiasaan baharu itu termasuklah memakai pelitup muka ketika berada di khalayak, penjarakan sosial dan menggunakan hand sanitiser untuk membersihkan tangan.

Advertisement

Ada yang tertanya-tanya sampai bilakah rakyat perlu berhadapan dengan kebiasaan baharu ini? Selagi tiada vaksin yang ditemukan, maka selagi itulah rakyat di seantero dunia perlu mengambil langkah berwaspada sepanjang masa.

Rakyat tidak harus terburu-buru dan menganggap kebebasan yang diberikan oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini sebagai lesen untuk melakukan apa sahaja yang disukai secara sewenang-wenangnya.

Perlu diingatkan bahawa virus Covid-19 masih berada di dalam komuniti setempat dan boleh kembali menyerang bila-bila masa apabila rakyat alpa. Jangan salah anggap bahawa kebebasan yang diberikan bererti pandemik Covid-19 sudah berakhir. Hakikatnya, ia masih belum berakhir dan perjalanan untuk mendapatkan vaksin masih panjang lagi.

Advertisement

Apa yang berlaku di Amerika Syarikat dan beberapa buah negara lain ketika ini yang mana kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat dan tidak menunjukkan penurunan seperti yang diharap-harapkan adalah sesuatu yang membimbangkan. 

Semuanya gara-gara kerana mereka berpendapat dirinya tidak akan dijangkiti Covid-19 dan hanya akan menyerang golongan yang berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak. Mentaliti sedemikian amatlah berbahaya dan perlu dikikis. 

Covid-19 bukanlah virus sembarangan. Ia adalah satu virus yang amat berbahaya dan rakyat di seantero dunia wajar mengambil serius pandangan serta nasihat yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sekiranya ada yang masih ingkar, maka bersedialah untuk menerima padahnya. Mengapa perlu meletakkan nyawa anda dalam bahaya kerana kedegilan sendiri? Fikir-fikirkanlah!

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.