13 JANUARI — Teka-teki mengenai siapakah Menteri Pendidikan ketika ini sudah pun terjawab.

Akhirnya, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik sebagai pemangku Menteri Pendidikan sementara menunggu pengganti yang akan diumumkan dalam sedikit masa lagi.

Pengumuman berkenaan bukanlah sesuatu mengejutkan. Malah, ia mungkin satu keputusan yang tepat pada ketika ini. Sebarang usaha untuk menamakan Menteri Pendidikan yang baharu haruslah mengambil pelbagai faktor termasuk kebolehan seseorang calon itu, wibawanya bahkan juga visinya untuk pendidikan negara.

Tugas seorang Menteri Pendidikan di Malaysia bukan tugas mudah sebaliknya sangat mencabar. Pak Menteri sentiasa dihujani dengan bermacam-macam tuntutan, desakan dan gertakan pihak-pihak tertentu. Sering kali apabila Kementerian melakukan sesuatu, ada sahaja pihak tertentu yang tidak berpuas hati.

Advertisement

Untuk itu, tidak kiralah calon Menteri Pendidikan yang baharu itu, mestilah berupaya untuk berhadapan dengan segala desakan dan tuntutan pihak-pihak yang dimaksudkan tanpa rasa gentar. Sebagai Menteri, calon tersebut perlulah memastikan bahawa segala dasar yang dilaksanakan Kerajaan perlulah mengambil kira kepentingan dan sensitiviti semua pihak.

Bagaimanapun, malang sekali apabila isu pendidikan sentiasa dipolitikkan oleh parti-parti politik demi survival mereka. Lebih malang lagi, apabila masyarakat yang tidak tahu-menahu mengenai isu yang dibangkitkan, pula bertindak sembarangan kerana ingin mempertahankan pendiriannya,

Oleh itu, adalah menjadi harapan semua agar isu pendidikan tidak dijadikan sebagai senjata untuk meraih undi. Pendidikan sepatutnya menjadi wadah untuk menyatukan kita semua.

Advertisement

Lantaran itu, agenda untuk membina sebuah negara yang berpengetahuan bermula dari bangku sekolah lagi. Justeru, jika asas yang dibina tidak kukuh, maka tidak mustahil apabila anak-anak muda kita lupa akan sejarah negara satu hari kelak. Apabila situasi ini berlaku, hilanglah segala-galanya. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku.

Kepada Menteri Pendidikan yang akan dilantik selepas ini, ingatlah jawatan berkenaan merupakan satu amanah berat yang perlu digalas dengan sejujur dan sebaik mungkin.

Berilah tumpuan kepada isu-isu yang mendesak dan bukannya perkara yang remeh. Manakala, dasar-dasar sedia ada yang dilihat baik boleh ditambah baik dan diteruskan.

Hakikatnya, rakyat sudah bosan dengan perubahan dasar-dasar yang tidak ada kesinambungan setiap kali berlakunya perubahan pucuk kepimpinan. Untuk itu, janganlah mengubah dasar-dasar pendidikan semata-mata untuk mengubahnya. Fikirkanlah masa depan anak-anak muda kita.

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.