16 OKTOBER ― Penulis berbangsa Cina dan menerima pendidikan di sekolah kebangsaan. Sudah pasti sebagai seorang yang berbangsa Cina, ada pelbagai resam dan kepercayaan yang diamalkan.
Begitu juga dengan sahabat-sahabat penulis yang berbangsa Melayu, India dan lain-lain yang masing-masing mempunyai kepelbagaian budaya, adat resam mahupun pandangan mereka terhadap sesuatu perkara.
Inilah keistimewaan Malaysia. Sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan kepercayaan tetapi dapat hidup di bawah sebuah keluarga besar yang bersatu.
Keistimewaan berkenaan jugalah yang menjadi tonggak kekuatan dan kesejahteraan negara selama ini tidak seperti di banyak negara lain di seantero dunia yang dilanda porak-peranda dan perang saudara tidak berkesudahan.
Akan tetapi, kekuatan dan keampuhan yang disebutkan itu semakin hari semakin pudar. Dewasa ini, terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba menaruh kebencian dan syak-wasangka antara satu sama lain dengan bermacam-macam gelagat. Ada yang berjuang atas paksi kaum dan tak kurang juga, atas paksi agama, dua elemen yang cukup kuat untuk mencetuskan konflik sekaligus menjahanamkan mana-mana negara jika tidak diuruskan dengan cermat. Biarpun berbeza agama dan kaum, ia tidak seharusnya digunakan sebagai alasan untuk mengasingkan ataupun memburuk-burukkan pihak lain.
Dalam kehidupan seharian, perbezaan ada kebaikannya.
Sebagai contoh, perbezaan yang wujud boleh memberikan kita satu dimensi baharu dalam menilai sesuatu isu. Ada kepelbagaian pendapat sebenarnya memberikan lebih banyak nilai tambah kepada diri seseorang ketika ingin membuat keputusan yang penting.
Selain itu, perbezaan yang wujud turut mengajak kita untuk lebih menghargai pandangan serta buah fikiran orang lain yang ada kalanya boleh memberi manfaat kepada orang ramai. Walaupun ada kalanya pendapat yang diutarakan oleh pihak lain mungkin tidak sama dengan kita, itu tidak bermakna pendapat perlu diketepikan begitu sahaja. Dengar dan teliti terlebih dahulu apa yang ingin disampaikan sebelum membuat sebarang penilaian. Aspek inilah yang nampaknya kurang dititikberatkan dalam kalangan rakyat dan pemimpin kita.
Itu sebabnya, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak cuba memberikan komen-komen yang kurang enak mengenai agama dan kaum-kaum lain. Sekiranya ada perkara-perkara yang kurang elok, sebaik-baiknya sampaikan dalam bentuk yang lebih halu Ingatlah setiap kaum mempunyai sensitiviti masing-masing yang perlu dipelihara. Jika wujud perbezaan pendapat sekalipun oleh mereka, jangan sesekali menganggapnya sebagai satu penghinaan.
Sebaliknya, hormati dan raikan perbezaan pendapat itu sebagai sebahagian daripada proses kematangan dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Tidaklah bermakna jika perbezaan pendapat itu diraikan bererti pendangan pihak satu lagi dikesampingkan. Hakikatnya, ia bergantung kepada cara kita untuk menilai dan menafsirnya. Maka, adalah wajar jika kita tidak mengenakan pandangan kita kepada orang lain.
Yang pasti, perbezaan bukanlah bererti seseorang itu lebih hebat atau lebih tinggi darjatnya daripada orang lain. Sesungguhnya, ada sebab mengapa Tuhan telah mencipta manusia kepada pelbagai ras, agama dan keturunan.
* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat peribadi Malay Mail Online.
