28 DISEMBER ― Usai menonton filem Jagat perasaan penulis sedikit berkecamuk. Bagi yang belum menonton, segeralah menonton di pawagam terdekat sebelum ditiadakan pemilik panggung atas alasan kurang sambutan meski di sesi tayangan penulis tadi panggung penuh.

Filem ini membawa naratif umum tentang masyarakat India dan permasalahannya. Mulai soal samseng, pendidikan dan kemiskinan disentuh dengan baik ditambah lagu latar yang dramatis dalam melankoli oleh Space Gambus Experiment. Latar yang diambil pada awal 90an di era masyarakat India terpaksa keluar dari ladang-ladang.

Penulis ingin mengulas dua isu penting yang terdapat di dalam filem ini. Isu yang bukan milik khas masyarakat India tetapi dimiliki sama masyarakat tertindas lainnya di mana jua. Pertamanya tentang makna pembangunan. Sudah menjadi kepercayaan masyarakat kita yang terbius dengan dalih pembangunan bahawa itu satu-satunya jalan keluar terhadap kemiskinan.

Atas nama pembangunan, takrif pembangunan dalam makna luas diabaikan untuk dibahas dengan mendalam seolah-olah hanya ada satu jenis pembangunan. Pembangunan berkelanjutan yang hormat kepada alam dan manusia tidak ditanggapi serius. Kita dicuci otak untuk percaya bahawa kejayaan dinilai dari harta benda dan membuat bising tentang pembangunan dan kemanusiaan adalah perkara membuang masa.

Advertisement

Dalam filem Jagat ada disebut menjadi pintar adalah sia-sia kerana menjadi yang berkuasa dan kaya-raya itu lebih penting. Kekuasaan selalu berada di atas orang-orang pintar katanya.

Begitulah faham kebendaan yang menurut penulis menyesatkan dan mampu menjerumuskan negara ini menjadi “negara gagal” seperti Singapura yang bertuhankan kebendaan.

Kebendaan yang konyol dan anti-kemanusiaan dengan persaingan yang membunuh. Jika rasuah menjadi barah, persaingan dan pembangunan yang dipaksakan juga suatu barah yang sama bahaya.

Advertisement

Maka tidak menghairankan kitaran penindasan ini akan berterusan kerana atas nama pembangunan segalanya dihalalkan. Di kalangan masyarakat Islam ada yang sampai memetik hadis Nabi yang berbunyi “sembilan dari sepuluh pintu rezeki ada dalam perniagaan” untuk menambah perisa.

Walhal tidak jarang praktik perniagaan yang dilakukan konon atas nama pembangunan bertentangan dengan nilai-nilai Islam.

Label malas dan tidak produktif akan terus menerus dilekatkan oleh puak-puak pembangunan ini. Mereka yang rajin bekerja automatik akan turun pangkat menjadi malas apabila ada pekerja lainnya (pekerja asing) yang sanggup bekerja keras (demi keserakahan pemilik saham) dan mendapat gaji lebih rendah. Tiada istilah cukup bagi puak serakah ini. Maka kitaran ini harus diberhentikan atau diperlahankan, paling tidak ada alternatif yang mampu menyaingi.

Ada saja celah untuk menjustifikasikan penindasan; kuat minum arak, suka berbual-bual, suka minum teh, suka bersenang-senang dan seumpamanya yang pada hemat penulis hal yang wajar jika pembangunan ditakrif dengan makna luas. Apatah lagi Malaysia ini bukan negara sepenuhnya industri. Maka seharusnya ditoleransi dan disesuaikan.

Penulis percaya dengan kekuatan kolektif pengusaha-pengusaha yang peduli dengan pembangunan berkelanjutan, kitaran jahat pembangunan berpaksikan persaingan dan daya saing mampu dicabar. Memberikan kebahagian ekonomi dan pada masa sama menitikberatkan masa bersama keluarga, saudara mara, kawan-kawan, bersukan, menonton acara sukan, filem di pawagam dan konsert muzik adalah jalan ke depan. Kuncinya menyederhanakan keuntungan. Lawan kepada memaksimumkan keuntungan.

Isu kedua adalah pendidikan. Sebetulnya isu kedua sangat berkait dengan isu pertama. Sistem pendidikan yang bertunjangkan persaingan adalah asal muassal kepada ketidakseimbangan dan ketidakadilan pembahagian kek ekonomi.

Doktrin yang kuat menang dan yang lemah kalah sangat menyesatkan. Penulis sendiri merasa benci dengan persaingan akademik yang palsu. Pelajar tidak dinilai dengan adil. Mereka yang menghafal dengan baik dengan mudah mendapat skor A dan pada masa sama tidak mengerti apa-apa. Apalagi mengerti soal kemanusiaan.

Status adik perempuan penulis di Facebook memberi harapan positif untuk masa depan Malaysia yang lebih bertamadun. Statusnya berbunyi begini:

“Sofia tak yah pegi sekolah lagi tahun depan ok, ibu bg peluang awak tido pagi lama2. Ibu pun x suka pergi sekolah muda2 sangat, haha. Jangan risau, kemahiran awak akan diasah oleh ibu n abah sendiri. Tak perlu risau bersaing dgn kawan sebaya, sebab ibu pun tak suka persaingan akademik yg gila sekarang ni. Ibu bukan jenis yang macam tu. Yang penting Sofia gembira membesar dan puas jadi anak2 kecil macam ibu dulu2.”

Semoga banyak ibu-ibu lain bersikap seperti ini. Penulis percaya dengan kekuatan kolektif persaingan akademik yang membunuh boleh dijadikan sejarah.

Keseimbangan hidup itulah paksi kita bukan Singapura yang timpang. Jayalah Malaysiaku dengan santai tetapi tetap dengan rajin yang wajar.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.