4 DISEMBER ― Palembang, sebuah nama yang tidak asing bagi majoriti rakyat Malaysia. Namanya sering disebut di dalam buku teks sejarah. Ibu kota kerajaan Sriwijaya yang sangat berpengaruh di Asia Tenggara pada zamannya.

Sriwiajaya kini sudah menjadi beberapa negara; Indonesia, Brunei, Malaysia, Singapura, Filipina dan Thailand. Meski sudah tidak ada, namanya tetap dilestarikan dalam bermacam cara seperti contoh Sriwijaya FC, sebuah kelab bola sepak yang bermarkas di Palembang.

Tidak asing bukan bermakna Palembang itu akrab dengan Malaysia. Meski sudah lama AirAsia melancarkan penerbangan ke Palembang, kunjungan rakyat Malaysia tidak begitu memberi impak perekonomian kerana jumlah kedatangan yang kecil.

Palembang tidak seseksi Bandung, Lombok dan Bali yang terus menerus dikunjungi ditandai dengan semakin bertambah jumlah penerbangan harian ke destinasi tersebut. Entah apa kurangnya Palembang yang berjarak hanya 90 minit dari Kuala Lumpur.

Advertisement

Pada 2013 penulis sempat menyinggah Palembang beberapa hari di dalam rangka jalan-jalan Sumatera selama sebulan dari Banda Aceh di utara Sumatera hingga Belitung di selatan Sumatera.

Beberapa jam saja penulis sudah menyukai kota ini. Kerana apa? Makanan Arab dan India mudah ditemui dengan harga murah. Seperti di Banda Aceh dan Medan, peninggalan Sriwijaya dapat dirasai dalam bentuk makanan.

Sebagai seorang penyuka makanan Arab dan India, Palembang dengan mudah masuk ke senarai tempat “boleh tinggal.”

Advertisement

Jangan mengaku pernah makan pempek kalau belum mencuba pempek Palembang!

Namun begitu, tanpa makanan tempatan yang boleh masuk di lidah sebuah tempat itu akan mudah untuk ditinggalkan. Palembang dalam hal ini unggul dengan kesedapan makanannya.

Salah satunya adalah pempek.

Menurut sejarah (dari beragam versi), mpek-mpek atau pempek masuk ke Palembang melalui perantau Cina (sekarang China) sekitar abad ke-16 sewaktu Sultan Mahmud Badaruddin II berkuasa di Kesultanan Palembang Darussalam.

Nama pempek atau empek-empek dikatakan berasal dari sebutan “apek”, sebutan untuk lelaki tua berbangsa Cina. Untuk yang belum pernah merasainya, pempek mirip seperti keropok lekor Terengganu dengan bahan utamanya adalah ikan yang kemudian diolah dengan tepung dan bahan-bahan lain.

Tahun ini penulis sudah dua kali ke Palembang sebagai susulan kunjungan pertama. Seperti di mana-mana, mencari yang paling sedap itu pekerjaan wajib dan sifatnya berterusan.

Maksudnya jangan sempit pemikiran dan lidah dalam pencarian makanan sedap. Setakat ini pempek yang dijual di sepanjang jalan di Jalan Mujahidin, Pasar 26 Ilir belum mengecewakan.

Mamang racun tikus. ― Foto dari Gustaaf Kusno
Mamang racun tikus. ― Foto dari Gustaaf Kusno

Sudahlah murah sedap pula. Oh ya, selain pempek jangan lupa mencuba makanan khas Palembang yang lain seperti pindang, tekwan, model, laksan, kue srikayo, tempoyak dan banyak lagi.

Jangan mengaku orang Palembang kalau belum tahu nama Mamang Racun Tikus Palembang ini!

Selain pempek, Mamang Racun Tikus ini turut menjadi “identiti” Palembang. Fakta ini diberitahu teman wanita penulis yang berasal dari Palembang tatkala sedang menempuh kesesakan lalu lintas.

Sosok seorang lelaki sedang mengayuh basikal sambil berteriak “racun tikus, racun tikus!!” mengganggu perjalanan penulis yang sedang menunggang motosikal. Setelah melepasinya baru penulis sedar pakcik bernama penuh Raden Muhammad Dencik merupakan sosok yang fenomenal.

Beliau mengelilingi kota Palembang menjual alat-alat membasmi tikus yang kerberadaannya di mana-mana. Tikus yang memberi rezeki.

Tidak seperti tikus yang mudah dibasmi dengan alat-alat yang dijual Pak Raden, tikus-tikus yang mencuri wang rakyat atas nama kesejahteraan dan pembangunan sukar dibasmi dengan alat bernama Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK).

Hukuman penjara terhadap mantan Walikota Palembang Romi Herton atas kesalahan rasuah ibarat membunuh 1 tikus daripada ribuan tikus yang ada.

Tikus-tikus berpenampilan kemas dan memaksa hormat ini terus berkeliaran mencari makanannya iaitu rasuah dan pemerasan. Racun tikus bernama KPK harus diperkukuh untuk menjadi fenomenal di mata masyarakat.

Satu hal baru yang menarik di Palembang adalah tentang hasil penyelidikan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) diketuai Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Profesor Emeritus Dr Hashim Musa yang mengatakan kemungkinan Hang Tuah mengakhiri hayatnya di Palembang.

Kebetulan penulis berangkat ke Palembang sehari setelah berita tersebut tersiar di akhbar Berita Harian (26/11).

Sayangnya kunjungan singkat ini gagal dimanfaatkan untuk menyelidiki lanjut seterusnya mencari kubur Hang Tuah. Satu hal yang pasti Kesultanan Melaka sudah tiada, begitu juga Kesultanan Palembang Darussalam.

Meski ada usaha membangkitkan semula Kesultanan Palembang Darussalam, Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) berada di atas segalanya. Begitulah hidup tiada yang kekal hatta Sultan sekalipun.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.