27 OKTOBER ― Minggu lalu penulis berkesempatan menyaksikan dua perkara menarik yang berlaku di Jakarta. Pertama, keganasan penyokong bola sepak menjelang aksi perlawanan akhir Piala Presiden 2015 (18/10) dan kedua, isu radikalisme kelompok agama yang diangkat dalam filem Indonesia berjudul 3 (TIGA).

Sebagai peminat sukan bola sepak, sudah menjadi kebiasaan bagi penulis untuk menonton di stadium perlawanan bola sepak ke mana kaki melangkah. Penulis pernah menyaksikan FC Tokyo beraksi di Tokyo, FC Seoul di Seoul, Vietnam bawah 23 melawan Malaysia bawah 23 di Hanoi, Beijing Guoan di Beijing dan sudah tentu Bali United di Bali, pulau di mana penulis menetap kini.

Jika di luar negara sanggup menonton, apatah lagi di dalam negara. Dari Shah Alam ke Larkin ke Kuala Terengganu sudah hal biasa.

Pengalaman menyaksikan pertandingan akhir Piala Presiden 2015 mempertemukan Persib Bandung dan Sriwiajaya FC di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) tidak akan penulis lupakan.

Advertisement

Dari Blok M menuju stadium suasananya seperti di medan perang dengan kehadiran ribuan polis dan tentera. Ketegangan pada pertandingan akhir Piala AFF 2010 yang mempertemukan Indonesia dan Malaysia seperti tiada apa-apanya. Jika ditelusuri, wajar menegangkan kerana Persib Bandung mempunyai sejarah permusuhan panjang dengan Persija Jakarta yang bermarkas di GBK.

Pengawalan yang ketat bukan tanpa sebab. Berbagai elemen dalam The Jakmania, panggilan untuk penyokong Persija Jakarta jauh-jauh hari telah menolak GBK sebagai lokasi perlawanan dengan alasan GBK adalah milik Persija. Malah Sekretaris Jenderal (Sekjen) The Jakmania,  telah menulis di akaun twitternya.

Kalau menganggap final piala presiden di GBK takkan ada apa2, mungkin anda bisa menyusul kawan anda rangga #TolakPersibMainDiJakarta

Advertisement

— Febri (@bung_febri) 10 Oktober 2015

Tulisan ini dianggap sebagai satu bentuk provokasi kerana Rangga yang dimaksudkan adalah penyokong Persib Bandung atau lebih dikenal dengan panggilan Viking yang dibunuh pada 2012 ketika pertemuan antara Persib Bandung dan Persija Jakarta di GBK.

Seperti yang diramal telah terjadi insiden keganasan di beberapa tempat. Penulis menyaksikan sendiri di dekat Gerbang Pemuda tidak jauh dari GBK di mana ribuan The Jakmania,  cuba menghalang penyokong Persib Bandung atau Viking  daripada memasuki stadium. Polis yang telah bersiap sedia terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk mengawal suasana. Meski diarah pulang, masih ramai yang tidak mempedulikannya sambil terus menyanyikan lagu ejekan dan rasis terhadap penyokong Persib Bandung.

Penulis terpaksa menggunakan kemahiran menyelitkan diri yang dipelajari sejak zaman reformasi 1998 untuk berada di zon selamat. Setelah melepasi kawalan keselamatan yang ketat dan wajah-wajah garang penyokong Persija Jakarta, penulis akhirnya berjaya masuk ke dalam stadium. Berbeza 360 darjah, suasana di dalam stadium yang dimonopoli 90 peratus Viking sangat aman damai. Pendukung Sriwijaya FC yang bermarkas di Palembang duduk santai tidak sabar menikmati hiburan bernama bola sepak.

75,000 memadati Stadium Gelora Bung Karno.
75,000 memadati Stadium Gelora Bung Karno.

Permusuhan seperti ini sebenarnya lumrah di dalam bola sepak dan berlaku di mana-mana. Apa yang membezakan tahap keseriusan serta undang-undang yang diguna pakai. Di Malaysia contoh permusuhan adalah di antara penyokong Selangor dan Kelantan dan JDT dan Perak. Syukur belum ada kejadian penyokong dibunuh seperti di Indonesia dan ini harus dipertahankan.

Usai insiden di GBK keesokan harinya penulis menonton filem 3 (TIGA) arahan Anggy Umbara. Filem genre aksi ini berlatarbelakangkan keadaan Indonesia pada 2036 di mana agama (Islam dalam konteks Indonesia) menjadi hal yang kuno kerana dianggap sebagai punca kekerasan dan masyarakat kebanyakan telah menganut fahaman liberalisme. Mereka yang melakukan ibadat seperti solat dipersenda dan di banyak tempat terdapat larangan pemakaian simbol agama.

Pada hemat penulis, Indonesia seperti yang digambarkan pengarahnya mustahil terwujud jika melihat kecenderungan beragama masyarakat Islam Indonesia yang kini semakin ke arah Islam ala Malaysia, iaitu Islam marah. Meski demikian imaginasi sang pengarah sangat menarik untuk dicermati kerana andai Islam marah tidak dicegah, kecenderungan menjadi Islam radikal sangat kuat. Pada waktu itu barangkali kekuatan yang lain akan muncul  membunuh kelompok radikal. Namun belum tentu jauh lebih baik seperti mana buruknya Indonesia di bawah pemerintahan nasionalis sekular sejak mencapai kemerdekaan.

Persoalan tersebut sedikit sebanyak dijawab di hujung filem ini tentang perlunya keseimbangan dunia untuk para penguasa, pemodal dan agamawan berkomplot sesama sendiri untuk terus membodohi rakyat. Penulis percaya agama bukan punca kekerasan dan begitu juga bola sepak. Punca kekerasan adalah manusianya sendiri, bola sepak dan agama sekadar alat mainan mereka untuk mencapai tujuan masing-masing. Teruslah beragama dan nikmatilah bola sepak.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.