18 OGOS ― Setiap daripada kita pastinya pernah berhadapan dengan situasi yang mana kita terpaksa mempertahankan diri kerana dikatakan tidak melakukan sesuatu perkara dengan baik.
Lazimnya, tohmahan atau dakwaan yang dibangkitkan itu dibuat sama ada kerana ada agenda tersembunyi, perasaan iri hati ataupun individu yang dituduh itu benar-benar telah melakukan kesalahan.
Apabila dilontarkan dengan tohmahan-tohmahan sedemikian, reaksi serta-merta kita ialah untuk bersikap defensif dan cuba menyerang kembali. Tidak salah dan sememangnya ia merupakan langkah paling sesuai untuk menidakkan tohmahan-tohmahan yang dilemparkan. Bak kata orang, serangan adalah langkah pertahanan yang terbaik.
Akan tetapi, jika kita meneliti kembali pendekatan tersebut, apakah benar pendekatan defensif itu langkah pertahanan terbaik? Dalam kalangan pemimpin politik negara umpamanya, pendekatan itu sering diamalkan oleh mereka yang diserang.
Tapi sampai bila orang yang kena serang itu perlu bersikap defensif sepanjang masa? Ini kerana selagi itu pemimpin-pemimpin yang kena serang terus defensif, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka ini mempunyai sesuatu untuk disembunyikan.
Maklumlah dalam dunia politik, segalanya berkisar kepada persepsi. Lagi lama seseorang mendiamkan diri, lagi banyaklah tohmahan dan pelbagai desas-desus tidak berasas mendominasi cakap-cakap awam. Ini yang sepatutnya dielakkan oleh mana-mana pemimpin politik ketika berhadapan dengan sesuatu krisis. Sebaik-baiknya, mereka perlu “hands-on” dalam menyelesaikan sesuatu krisis.
Faktor kepantasan untuk menangani sesuatu krisis adalah kunci utama kepada mematikan segala tohmahan yang dibangkitkan oleh musuh politik. Dalam dunia politik, tidak kedengaran krisis ini akan diselesaikan kemudian. Pemimpin politik yang arif dan tajam pemikirannya akan memastikan bahawa segala permasalahan yang dihadapi ditangani dengan secepat mungkin bagi memastikan ia tidak merebak seperti barah.
Krisis merupakan sesuatu yang lumrah buat seseorang pemimpin politik. Keupayaan seseorang pemimpin politik untuk menyelesaikan sesuatu krisis dengan baik bakal mengukuhkan kedudukan dan jangka hayat pemimpin-pemimpin politik tersebut.
Malangnya, berapa ramaikah pemimpin-pemimpin politik yang anda lihat sekarang bersikap begitu? Jika ada pun hanya beberapa orang yang berani dan berintegriti sahaja. Lebih malang lagi, kebanyakan pemimpin politik di negara ini lebih cenderung untuk menyalahkan pihak lain baik media mahupun sebab-musabab lain jika berlakunya sesuatu yang tidak diingini.
Bermacam-macam alasan demi alasan terus diberikan dengan harapan untuk menutup kelemahan mereka. Pada hemat penulis, sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, mereka haruslah berlapang dada dan sentiasa bersikap jujur dengan rakyat.
Apa tidaknya, setiap lima tahun sekali, masa hadapan dan survival mereka sebagai wakil rakyat terletak di tangan rakyat. Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan rakyat sebenarnya berhak untuk mendapat seorang wakil rakyat atau pemimpin yang boleh dipercayai, pemimpin yang akan sentiasa berada di barisan hadapan ketika rakyat memerlukannya.
Sudah sampai masanya, pemimpin-pemimpin politik mengubah sikap mereka ketika berhadapan dengan krisis. Janganlah sentiasa memberi alasan untuk mengelak daripada berhadapan dengan krisis. Menerusi krisislah, kepimpinan dan ketokohan seseorang pemimpin akan teruji. Sekiranya pemimpin berkenaan berjaya mengharunginya dengan baik, maka tidak ada sebab mengapa selepas ini, kepimpinan mereka akan dipersoalkan hatta diragui lagi.
Inilah peluang terbaik untuk pemimpin-pemimpin politik negara kembali menawan hati kebanyakan rakyat kita yang sudah meluat dengan amalan politiking yang keterlaluan dan sikap berdolak-dalik mereka. Pastinya ada sebab mengapa ada dalam kalangan rakyat yang rimas dengan keadaan politik semasa negara.
Malah bekas Perdana Menteri kita yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini melahirkan kebimbangan beliau mengenai situasi politik negara yang bergelora ketika ini. Barangkali, ada baiknya untuk kita mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di negara-negara Islam lain seperti Iraq, Syria dan Pakistan. Kestabilan politik di negara-negara berkenaan kini hanya tinggal kenangan.
Maka kerana itu, kikiskan sikap berdolak-dalik ketika menyelesaikan sesuatu krisis. “Buck up” dan anda akan mendapat sokongan rakyat!
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.
