15 FEBRUARI — Saban hari saya bernyanyi di KL Sentral. Dalam seminggu akan ada seorang pak cik yang merupakan ‘regular customer’ yang akan datang ke port saya untuk mendengar lagu kesukaannya, Always Somewhere yang dipopularkan oleh kumpulan rock terkenal yang berasal dari Jerman.

Hanya satu lagu, Always Somewhere.

Umurnya dalam dalam lingkungan pertengahan 60an, berjalan terjengkot­jengkot, berkopiah dan berselipar Jepun sahaja. Pertama kali dia datang ke port saya, waktu saya bernyanyi lagu Hotel California, pakcik ni siap menggayakan gaya seorang gitaris siap pejam mata, semua mata memandang hairan.

Mungkin dalam fikiran mereka berkata, “ dah buang tabiat orang tua ni”

Advertisement

Apabila dia muncul lagi dimintanya punya lagu Bad Company, Deep Purple dan lagu­lagu rock 70an. Sampai satu tempoh dia hanya meminta satu lagu sahaja, iaitu Always Somehere. Pakcik ni kerjanya menjual tisu di masjid­masjid.

Katanya , “ tak ada siapa boleh nyanyi lagu melainkan kau saja”, padahal saya nyanyi biasa saja, tak adalah perfect sangat.

Setiap kali datang, dia akan letak rm 5 selepas saya menyanyikan lagu itu. Suka betul dia dengan lagu Always Somewhere. Saya kira lagu itu mungkin memberi makna yang mendalam pada dia waktu dia muda dulu. Dulu waktu muda katanya bekerja sebagai tokan dan kelasi. Merantau merata dunia.

Advertisement

Cuma sekali saya tidak menunaikan permintaannya, sewaktu jam 12.35pm hari jumaat. saya katakan padanya orang nak berjemaah untuk menunaikan solat jumaat, jadi keadaan memang tak sesuai. Kita perlu ada rasa hormat pada setiap waktu solat.

Baru baru ini dia datang lagi dan meletakkan rm 15 ke dalam beg gitar yang saya bentangkan.

Saya kata padanya, “ banyak sangat tu”. Katanya, “ tak apalah, kita masing masing cari makan, kau dengan cara kau, aku dengan cara aku”.

Sebenarnya bagi saya dia tak perlu menghulurkan apa apa sumbangan pun tidak mengapa. Tapi kalau saya cakap begitu, mungkin dia akan berkecil hati, orang tua selalunya begitu.

Pak cik ini adalah sebahagian dari mereka mereka yang tak mampu lepas dari ranting kenangan masa lalu. Musim paling hebatnya sebagai anak muda adalah di tahun 70an dulu. Mungkin dia tidak menjadi bintang filem mahupun penyanyi rock. Dia hanya peminat kepada muzik rock 70an dan budaya waktu itu.

Ada diberinya kepada saya gambar nya sewaktu berumur awal 20an, berambut panjang bersama kalungan rantai dilehernya.

Dalam usia yang sebegitu dia sudah merantau menjadi kelasi kemerata dunia, akhirnya apabila sampai waktu, kembali ke asal, tanah tumpah darahnya.

Katakan apa sahaja samada kifarah, hukum alam, qada dan qadar, itu semua setiap kita akan tempuhi selagi kita bernama manusia, tidak kira samada kita ini orang baik atau jahat. Hari ini orang baik pun macam baik, bukannya baik sangat pun. Orang jahat dimatanya kelihatan jahat, pun belum tentu mereka itu jahat.

Kita boleh memilih untuk menafikan siri buruk atau baik kita semasa hidup, tapi kita tidak dapat menepis atau menafikan skrip yang telah kita persetujui sewaktu perjanjian di luh mahfuz dulu, saya percaya itu.

Kita perompak, sampai masanya kita akan masuk penjara. Jika menjadi penagih dadah kita mungkin akan mati dalam usia yang masih muda akibat HIV atau aids. Kita menjadi kongsi gelap atau mafia, sampai masanya mungkin kita akan mati katak dalam keadaan yang tidak dapat kita bayangkan, seperti kita menonton filem filem bercorak mafia dan sebagainya.

Semakin kita mengunyah cerita cerita dunia ini semahunya, semakin itulah tenaga kita akan berkurang. Dan semakin banyaklah kesan dan penyakit yang akan kita hadap. Apalah nilai ringgit yang melimpah jika dibandingkan dengan penyakit kronik yang kita hadap.

Seperti kata seorang kawan saya, “ kita lebih kaya dari jutawan yang mengidap penyakit kronik.

Jika dia ingin membuat pertukaran dengan memberi kita rm 40 juta digantikan dengan penyakitnya yang kitalah yang menanggungnya, adakah kita mahu?

Begitu juga dengan cerita indah semalam yang telah kita lalui. Adalah sesuatu yang malang jika kita masih hanyut dibuai kenangan silam, cuba mengutip mimpi mimpi dulu yang tidak dapat kita capai lagi.

Saya melihat pak cik itu dia singgah ke port saya untuk menggamit kenangan waktu mudanya.

Always Somewhere pula adalah lagu yang paling disukainya kerana mungkin dia telah melalui musim yang menarik di waktu itu, yang tak mampu dienyahkan dari kotak ingatan.

Saya selalu berkata pada diri sendiri, yang kita ini bukannya muda lagi. Kita telah melepasi fasa atau musim itu. setiap detik yang berjalan itu kita berkongsi nikmat di waktu itu sahaja.

Cerita hidup kita yang bernama manusia ini sangat singkat sebenarnya. Pejam celik kita sudahpun di penghujubung usia, esok dan lusa kita pun mati. Mungkin kita boleh bertahan sehingga 120 tahun, pun akhirnya mati juga.

Jadi, selagi hidup, kurangkan mengunyah nikmat dunia. Janganlah kita ini dibutakan dengan harta yang melimpah. Sebab jika waktu kita sudah sampai, sedang kita pula masih sibuk dengan kenangan dan limpahan harta yang katanya milik kita, memang susahlah untuk kembali, sebab ‘folder’terlalu berat.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.