4 JANUARI — Dalam sehari dua ini, ada dua orang anak muda yang datang kepada saya. Datang untuk meminta pandangan atau bertukar tukar pandangan tentang hala tuju dan minat mereka dalam hidup. Sudah  tentu mereka ini dari jenis yang “rebel” dan menongkah arus.

Yang seorang menjadikan kerjaya busking sebagai cabang aktiviti yang mampu mendatangkan duit dan kepuasan. Dia juga merupakan seorang kenalan saya. Punya “degree” dalam bidang akademik dan menjadi tenaga pengajar sambilan di sebuah kolej yang terkenal.

Yang seorang lagi masih bersekolah dalam tingkatan 5 dan sangat berminat dengan seni busking dan baca sajak di jalanan.

Masalah mereka berdua ini sama sahaja, ibu bapa yang tidak menyokong apa yang mereka minat.

Advertisement

Mentaliti orang tua kita memang tipikal dan konservatif. Apatah lagilah jika minat kita itu seperti bermain muzik di jalanan atau bercita cita mahu menjadi pemuzik jalanan.

Saya sertakan sebahagian dari emel pelajar di tingkatan 5 yang saya sebutkan tadi di bawah ini, “Saya bermain drum untuk band di sekolah saya, tapi saya mempunyai impian untuk bermain guitar mendeklamsikan puisi yang saya tulis sendiri di jalanan. Saya sangat berminat untuk bermain di jalanan.

Entah kenapa, saya lebih minat untuk beraksi di pentas jalanan. Saya boleh menulis puisi, dan itu diakui oleh seorang guru saya dan rakan rakan saya. Tapi saya mahu mendeklamsikan puisi itu di pentas jalanan, dengan petikan guitar saya.

Advertisement

Tetapi, ibu bapa saya yang bermentaliti sains tidak berkenan dengan minat saya. Di sekolah, saya dibayangi oleh rakan muzik yang lain. Saya mahu menonjolkan bakat di jalanan, tetapi tiada dorongan. Saya amat memerlukan dorongan. Saya mahu menjadi seorang pemuzik jalanan, mendeklamasikan puisi sendiri dan memainkan karya seniman lain.”

Apa yang ada dalam diri pelajar atau anak muda ini adalah semangat “rebel” seorang anak muda.

Seni muzik jalanan masih lagi merupakan budaya baru atau ‘pop culture’ di negara kita ini. — file pic
Seni muzik jalanan masih lagi merupakan budaya baru atau ‘pop culture’ di negara kita ini. — file pic

Busking atau apa yang di jalanan, tak kira baca sajak atau apa saja yang menongkah arus adalah sesuatu yang “rebel”.

Saya dari kecil punya semangat “rebel” yang kuat dalam diri. Cuma kalau kita bijak membawa diri dan takdir, kita tidak akan sesat. Saya tak salahkan famili anak muda ini yang tidak menyokong apa minatnya sebab saya juga seorang bapa. Sudah tentu saya mahukan hanya yang terbaik utk anak saya juga.

Untuk melakukan apa yang saya lakukan, kita perlu keras dan kering, sebab benda ni dikira menongkah arus. Saya percaya jika anak muda ini berkeinginan untuk menyertai pertandingan “Akademi Fantasia”, familinya mungkin akan bersetuju bahkan menggalakkan. Sebab itu mentaliti yang tipikal dalam masyarakat kita hari ini.

Apapun, anak muda ini masih muda, punya banyak masa untuk pilih masa depan... Busking atau hal­hal yang melibatkan seni jalanan ini masih lagi merupakan sesuatu yang baru di negara kita ini, atau kita kata “pop culture” dalam bahasa Inggerisnya.

Cuma kalau dia ada keberanian, buat saja apa yang diimpikan sebab minat itu datang dari dalam diri, cuma dalam hidup kita perlu “work smart”. Jangan lupakan akademik, sebab bukan semua kita dilahirkan sebagai orang yang cerdik dan bijak dalam pelajaran. Walau dengan kelulusan yang bagus pun belum tentu kita akan mendapat pekerjaan yang bagus dan menjamin masa depan, sekurang kurangnya kita akan punya sijil dan kelayakan.

Anak muda ini katanya sering menonton persembahan muzik dan nyanyi saya di KL Sentral. Dari situ mungkin datang minatnya untuk melakukan seperti yang saya lakukan. Mungkin dia melihat saya dalam keadaan selesa dalam keadaan saya sekarang.

Mungkin jika 10 tahun dahulu dia menonton saya busking di Pasar Seni atau Jalan Alor, zaman yang sukar waktu itu untuk hidup sebagai busker, dia akan berfikir 10 kali samada mahu menjadi busker atau lupakan sahaja minat yang terpendam itu.

Saya sendiri pernah berhenti dari menjadi busker sepenuh masa dan mengambil keputusan untuk bekerja selama tiga tahun, dari tahun 2006 sehinggalah ke tahun 2009. Sebabnya, selepas dicekup oleh pihak penguasa sewaktu sedang busking di Pasar Seni pada 2005 dulu, dan bermalam di pudu jail selama empat malam, ia membuatkan saya trauma dan “give up”.

Untuk menjadi busker, kita hanya perlu mengikut apa kata hati walau bukan semestinya apa kata hati kita itu betul. Dahulu pandangan masyarakat memang berat ke negatiflah. Bukan sahaja masyarakat, famili sendiri pun pandang serong akan kerjaya kita.

Jadi nasihat saya, laluan untuk menjadi seorang busker memang sukar sebenarnya. Saya pun kalau boleh tak akan benarkan anak-anak mengikut jejak langkah saya, menjadi seorang busker sebab laluannya memang sukar.

Mungkin zaman sudah berubah, pandangan masyarakat juga dari pihak NGO mahupun kerajaan makin positif, busker kita boleh lihat berada di sana sini, pun kita masih perlu bijak membawa diri ke tengah arus masyarakat, salah langkah kita akan tersesat.

Sebab? Seperti yang saya kata tadi, kita bebas melakukan apa sahaja di pentas yang kitalah bos dan kitalah kuli. Kita juga bebas memilih apa warna yang kita suka, samada putih mahupun hitam.

Selainnya itulah hanya takdir yang akan menentukan ke mana arahnya langkah kita itu, ke kiri mahupun ke kanan.

Cuma jika mengikut pendapat saya, jika anak saya mahu menjadikan busking sebagai kerjaya sampingan atau sekadar hobi untuk motivasi diri, saya akan benarkan, asal dia tahu menjaga diri.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online