28 DISEMBER — Bercerita seorang pencerita – Seorang lelaki berstatus suami baru sahaja kematian isteri yang disayangi. Itu satu tragedi bagi si suami yang penyayang. Tragedi kerana sekian lama mereka bersama, akhirnya berpisah jua.

Kesannya, si suami hampir lumpuh semangatnya untuk meneruskan kehidupan tanpa si isteri disisi.

Saban hari dia akan ke kubur isterinya, makan dan minum pun rasanya seakan tanpa rasa lagi.

Kehidupan barunya banyak dihabiskan dengan bermenung mengenangkan isterinya yang telah tiada. Begitulah kisahnya hinggalah ke saat ini.

Advertisement

Nyata si suami gagal meninggalkan atau melupakan kenangan antara dia dan isterinya. Nyata dia suka dan selesa dengan dunia lara dan hampanya. Sampai bila? Mungkin sehingga akhir hayatnya selagi tidak ada sesiapa yang mampu membangunkan dia dari dibelenggu masa lalu.

Saya bersimpati dengan situasi yang sedang dihadapi sang suami. Tapi meratap bukanlah perkara terbaik yang perlu kita lakukan hanya untuk melayan perasaan kecewa. Apatah jika kita ini seorang lelaki.

Sama juga seperti kisah seorang kakak yang saya kenal, yang kematian anak yang disayangnya sehingga mengakibatkan si kakak sangat sukar untuk menerima kenyataan yang anaknya sudah meninggal dunia.

Advertisement

Saban hari dia akan menangis dan setiap hari juga akan menziarah kubur anaknya untuk beberapa waktu.

Kenyataannya kondisi si kakak itu sama sahaja dengan kondisi dialami si suami yang kematian isternya.

Kenangan akan hadir dalam tiap hidup manusia. Samada yang indah mahupun sebaliknya, kita akan merasa dan melalui pengalaman demi pengalaman dalam proses hidup kita sebagai seorang manusia.

Ianya akan singgah dan berlegar di ruang minda untuk seketika. Itu sudah memadai kerana ianya hanyalah sekadar kenangan cuma.

Kita boleh pilih untuk memadamkan kenangan atau kekal letakkan ia di dalam ruang memori agar terus hidup di ingatan kita. Ramai kita yang gagal keluar dari belenggu masa lalu membuatkan perjalanan hidup akan menjadi perlahan.

Untuk hidup kita perlukan semangat. Tanpa semangat kita tiada daya, ia akan membuatkan kita lumpuh. Semangat adalah kunci hidup.

Kehidupan adalah pentas untuk kita bermain main dengan segala watak di sekeliling kita berbekalkan nafsu dan kehendak. Mungkin kita adalah winner, mungkin juga kita adalah loser. Semuanya bergantung kepada diri kita sendiri.

Perkara yang paling baik adalah ‘move on’. Ianya tidaklah semudah yang kita ucapkan, melainkan kita faham siapa kita dan untuk apa kita di sini sebenarnya.

Induk kehidupan adalah dari Dia semata. Kita ini sebahagian dari skrip dan ceritaNya. Kita bertemu dan berpisah atas kehendakNya jua. Kalau kita faham istilah ‘pinjam’, kita akan lebih memahami dan redha akan ketentuannya.

Kenangan letaknya di memori. Itu umpama dunia dan cerita yang penuh suka duka. Kita perlu padamkan kenangan jika ianya menyakitkan mahupun menyeronokkan kerana ianya hanyalah faktor semalam.

Seorang kenalan pernah datang mengadu kepada saya dalam keadaannya yang sarat dengan keserabutan lantaran putus cinta.

Saya katakan, hanya ada 2 pilihan. Samada kita mahu melayan nikmat kekecewaan seolah tiada hari esok ataupun kita matikan kenangan dan move on.

Cinta hanyalah cinta semata berlandaskan perasaan dan nilai nilai yang terkandung di dalamnya. kita menggauli makna cinta dan kita merasakan kita telah memiliki cinta itu. Sebenarnya perasaan itu mungkin singgah untuk satu tempoh sebelum ianya hilang.

Apabila perasaan itu hilang maka cinta tidak punya makna dan nilainya lagi. Jawapannya adalah perpisahan. Perkara yang terbaik, padamkan perasaan yang telah bermukim di dalam dan kembali ke alam nyata.

Alam cinta adalah alam yang penuh khayalan seperti di kayangan. Apabila kita berada di situ, semuanya indah belaka sehingga bau najis pun akan terasa wangi. Tidak hairanlah kita akan sanggup berbuat apa sahaja sehingga ada pepatah yang menyatakan, ‘belahlah dada, lihat isinya’ atau ‘ kelautan apipun sanggup kurenangi’.

Dan jika ada yang mengatakan 2 hati menjadi 1, itu adalah ungkapan yang mengarut. 2 hati tetap 2 hati, tidak akan menjadi 1.

Apapun, kita perlu menjadi pemenang dalam pentas kehidupan ini. hidup ini singkat, sangat malang jika kia mensia siakan waktu. Walau apa jalannya sekalipun, pastikan kita adalah pemenang. Menang dalam ertikata kita rasional dalam menghadapi apa juga masalah.

Tahun 2015 bakal menjelang tiba, dan kita akan menempuhnya walau banyak cabaran dan halangannya. Apakah kita telah berpuas hati dengan pencapaian kita pada 2014?

Apa dikenang kisah yang semalam. Ianya tidak akan kembali lagi. Ianya juga adalah faktor waktu dan ketika semata. Apa yang sedang kita hadap adalah masa kini.

Kita adalah sebahagian dari kejadian. Ada masa kita tewas, ada masa kita menang. Apabila kita gaulkan segalanya, terbentuklah acuan kehidupan, versi kita.

Saya berharap kehidupan kita di 2015 akan lebih baik dari tahun sebelumnya. Masyarakat dapat hidup dengan aman dan damai serta penuh dengan kasih sayang. Yang penting rakyat boleh cari makan dengan aman dan damai.

Selamat menyambut Tahun Baru 2015!

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.