(AMARAN: Baca atas risiko sendiri. Elakkan membaca di tempat awam, khuatir menyebabkan anda pening atau muntah-muntah)

16 DISEMBER — “Kau suka tempat ini?” tanya dia.

“Haha, entah. Jujurnya aku tak tahu,” jawabku sambil tersenyum.

Kami berada di tengah-tengah Old Bazaar, Sarajevo atau lebih dikenali dengan nama Bascarcija. Dan dia, dengan ‘backpack’ besar dengan tikar tidur dan khemah terikat kemas di bahagian atas – masih tersengih kepadaku. Kami berjalan terus ke hadapan, dari Sebilj masuk ke Kazandziluk Street. Sebetulnya tak seorang dari kami pun pasti arah yang mahu dituju.

Advertisement

“Jadi, apa tujuanmu mampir ke mari?” tanyanya ringkas tatkala kami sedang membelek set minuman kopi di sebuah kedai cenderamata.

“Aku datang untuk belajar sejarah,”

“Hmm..”

Advertisement

“Sebetulnya untuk mengetahui tentang perang,”

“Kau tahu bukan, orang Bosnia sendiri tak pasti tentang mengapa mereka berperang, 20 tahun yang lalu?” tekannya keras.

“Tapi, Hitler atau Nazi sendiri tidak pernah memiliki kem khas untuk memperkosa mangsa perang. Ini satu-satunya dalam sejarah kemanusiaan, kem ‘mass rape’ diwujudkan untuk memperkosa 50,000 wanita muslim Bosnia,” jawabku panjang sambil meneliti pula pengisar lada hitam dengan ukiran halus.

“Kau percaya angka 50,000 tu?” tanyanya sambil beralih ke kedai sebelah.

“Angka itu datang dari ‘UN Office for the Coordination of Humanitarian Affairs’ sendiri. Dan aku fikir, angka itu lebih besar,” jawabku sambil bergerak. Kami mula berjalan kembali dan kemudian membuat keputusan untuk berhenti minum di sebuah kedai. Kedai ini juga menjual manisan dengan harga separuh dari harga makanan di bahagian Eropah yang lain. Aku memilih ‘kopi Bosnia’, kopi yang dihidang dengan bekas tradisional beserta kiub gula dan cawan di sisi.

“Kata Cherif Bassouni dari UN, lebih dari 200,000 mangsa samada mati, cedera atau hilang. Data Bosnian Army & Croatian Defence Council pula, sekitar 146,340 orang mati serta 174,914 cedera. Vladimir Zerjavic, ahli ekonomi Croatia serta pakar UN pula meletakkan angka 220,000 mangsa dengan 160,000 Bosniaks, 30,000 Croats dan 25,000 Serbs. Malah kajian Profesor Mustafa Imamovic pula menyilang dengan angka 144,248 mangsa mati & hilang. Kau tahu ini semua apa?”

“Apa?” tanyanya ringkas tatkala memotong manisan berkeju yang berada di atas pinggan.

“Ini bukti Enlightenment serta Renaissance Eropah, tidak berguna langsung,” jawabku acuh tak acuh.

“Haha, kau sedang mencampur-adukkan semuanya, kawan,” jawabnya sambil menyuap sepotong lagi manisan berkeju itu.

“Kau tahu apa yang tertulis di Ploca Gate, kubu lama binaan Ahmed Pasha dari Dubrovnik pada 1739? ‘US-AIDS’. Binaan ini dipelihara dengan ehsan kerajaan Amerika. Gila apakah ini? Mengapa Amerika terhegeh-hegeh pula nak pelihara binaan ini sekarang?”

“Mungkin sebab kerajaan Muslim seperti Arab Saudi atau Kuwait tak mahu bantu negara ini?” jawabnya sinis.

“Ah, ya. Mungkin, mungkin kerna kerajaan Muslim nampak begitu sibuk dengan benda lain. Tapi tak masuk akal, ketika perang selama 4 tahun, di mana Amerika? Kenapa baru sekarang sibuk-sibuk nak tunjuk baik? Jambatan lama berusia 500 tahun hancur lebur dibom oleh askar Croats semasa perang, di mana Amerika?”

“Kau tahu kan, ini sifat manusia sebenar. Manusia memang akan sentiasa begini...”

Aku menyambung usai menghirup kopi Bosnia yang tidak terlalu pekat itu, “Apa? Binatang? Manusia memang binatang?”

Dia mencelah, mengangkat bahu dan keningnya serentak, “Ya, mungkin. ‘Survival’. Inilah sifat sebenar manusia, dan sejarah membuktikan, ia berulang,”

“Sifat manusia? Kau tahu, di Srebrenica saja dalam masa 3 hari, 8372 orang dibunuh. 3,372 kanak-kanak dibunuh atau hilang menurut ‘Sarajevo-based Research and Documentation Centre’. 2.2 juta menjadi pelarian, 330 mortar atau bom purata di arahkan ke kawasan berpenduduk Muslim setiap hari, 2000 mortar atau bom pernah direkodkan diarahkan ke dalam Sarajevo dalam masa sehari dengan purata lebih kurang 1 mortar atau bom meletup dalam masa seminit, dan ini kau kata sifat manusia?”

“Aku tak tahu tentang Srebrenica, tapi angka lapan ribu itu terlalu besar. Setahu aku mungkin hanya tiga ribu sahaja. Peristiwa di Srebrenica telah digunakan oleh puak Muslim untuk kepentingan politik mereka. Kau tahu, ada laporan mengatakan tentera Serbs terpaksa membunuh dalam tiga hari itu kerana takut tentera Muslim sekitar datang mengeremuni mereka dan inilah yang aku katakan – survival. Samada kau membunuh atau kau terbunuh..,”

Aku mencelah sambil menggeleng kepala, “Kawan, semua ini berlaku pada abad ke-20. 1992, zaman di mana internet, komputer serta dunia digital telah bermula. Dan tahukah kau, kau sedang menyamakan manusia dengan binatang...”

“Aku tak pasti tentang itu...”

“Sarajevo dikepung selama 1425 hari, ‘siege’ paling lama dalam sejarah manusia selepas perang dunia kedua dengan 380,000 rakyat Sarajevo hidup tanpa air dan elektrik dalam waktu ini. Bagaimana kau menerangkan manusia abad ke-20 tergamak melakukan semua ini, kawan? Bagaimana?”

Dia merenung muka aku panjang, kemudian bangun dan menyilang jaket masuk ke dalam badannya sebelum kembali menyarung ‘backpack’-nya. ‘Jom,” katanya. Kami mula keluar dari kedai kopi tersebut dan kali ini menghala semula ke Sebilj. Asrama penginapanku jaraknya sekitar 500 meter dari Sebilj, mendaki ke arah perkuburan Kovaci di Vratnik Medjan.

“Kau tahu, bandar ini pernah menjadi hos sukan musim sejuk Olimpik pada 1984? Dan tak sampai 10 tahun, bandar yang sama menjadi pusat perang saudara terburuk dalam sejarah Eropah moden,” katanya sambil berpaling padaku. Aku menyeluk tangan ke dalam poket jaket. Hari ini hujan turun dengan angin menyapa selaju 29kph, suhu 5 darjah Celcius serasa seperti 0 darjah.

“Kau tahu, aku tak pernah percaya kepada Eropah. Atau Renaissance. Perang 1992 di Bosnia ini menunjukkan kepada kita semua, segala pekik-lolong Eropah mengenai Renaissance itu hanyalah ilusi optik di atas kertas sahaja dan tidak berguna langsung kepada kemanusiaan,”

Dia ketawa mendengarku mengujar dengan bersungguh-sungguh, “Dan kau tahu apa rakyat Bosnia kata tentang UN? United Nothing...,”

“Dan NATO ialah No Action Talk Only,” sambungku sambil kami berdua tergelak bersama. Kami sampai di hujung simpang jalan, di hadapan ialah stesen tram. Kelihatan tram-tram buruk yang dengar ceritanya ialah ehsan derma dari negara lain seperti Jepun dan Turki. Difahamkan tram asal di dalam Sarajevo – semuanya musnah semasa “Siege of Sarajevo”. Setelah berpelukan dan bertukar nama Facebook, kami bersalaman sebelum dia dibawa pergi oleh tram nombor dua. Dia akan bergerak menuju ke rumah seorang Couchsurfer, seorang lokal yang akan memberinya tumpang tempat tidur semalam dua. Itulah Bumbulis, rakyat Lithuania yang sedang mengembara melalui negara Balkan, kadangkala tidur di dalam khemah, kadangkala tumpang lori atau kereta orang untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ketika di Sarajevo, duitnya hanya tinggal 100 Euro untuk 2 minggu sebelum dia sampai kembali ke Kaunas, bandar kedua terbesar di Lithuania. Dan aku berjalan mendaki naik ke Vratnik Medjan melalui kuburan Kovaci mengenangkan - tak ada perkataan seperti kemanusiaan sebenarnya. Dan kitaran ini sedang berpusing dan berputar pula di Syria kini.

Usai bacaan al-Fatihah, aku berhenti sebentar di hadapan kuburan ini. Dan kepalaku teringat kata-kata akhir Bumbulis kepadaku sebelum memanjat masuk ke dalam tram;

“Manusia ialah BINATANG. Binatang yang hidup untuk dirinya dengan memakan orang lain,”

Betapa benar, ‘Kemanusiaan’ hanyalah perkataan arkaik, tradisional dan pra-sejarah untuk menunjukkan satu masa dahulu - KITA pernah menjadi MANUSIA.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.