NOVEMBER 2 — Saya mengenali susuk kental yang tidak konvensional ini, Azmie atau nama sebenarnya Ahmad Fad-lullah Suhaimi Abd Rahman (57 tahun ) sejak tahun 1986 lagi. Waktu itu beliau menjadi kartunis di majalah Batu Api yang beroperasi di Jalan Ipoh.

Berbanding dengan kartunis lain yang saya kenal, Azmie agak tidak konvensional dari segi pemikiran dalam mempraktikalkan makna kehidupan ini. Saya cukup kagum dengan kegigihan dan semangat dalam apa yang diperjuangkan dalam hidupnya.Azmie sewaktu memberi kursus mencetak T-Shirt di bengkelnya. — Pic by Meor Yusof Aziddin
Azmie sewaktu memberi kursus mencetak T-Shirt di bengkelnya. — Pic by Meor Yusof Aziddin

Menjalani kehidupan yang sangat ringkas dengan jeans lusuh dan t-shirt, beliau nyata lari dari ruang mainstream dan glamour kartunis waktu itu. Iya lah, waktu itu kartunis memang tahap popular mereka mengalahkan artis juga. Ada yang buat album, berlakon dan berbagai lagi. Peminat pun keliling pinggang.

Semangat dan jiwa berniaganya memang tiada siapapun dapat menafikan. Kalau dulu jarang ada anak muda bangsa kita punya minat untuk berniaga. Mereka lebih suka makan gaji atau bekerja dengan kerajaan.

Advertisement

Saya sempat bertemu dengan beliau baru-baru ini untuk sesi sembang-sembang. Saya rasa banyak cerita dan pengalamannya dalam dunia perniagaan dan kehidupan yang dilaluinya, boleh kita kongsi bersama.

Menyelusuri lorong dan kerasnya kehidupan, beliau meneruskan hidup di kota yang keras dengan berniaga burger di kawasan Masjid India pada tahun 70an dulu. Jiwa berniaga ini katanya datang dari keluarganya yang juga menjadikan berniaga sebagai sumber rezeki mereka.

Apabila Pasar Seni dibuka pada pertengahan tahun 80an, beliau menyewa satu tapak atau gerai disitu. Letaknya berdekatan tandas lelaki di dalam bangunan Pasar Seni. Waktu itu beliau menyediakan perkhidmatan membuat dan mencetak t-shirt, cenderamata dan apa saja yang berkaitan dengan kreativiti.

Advertisement

Selalulah saya singgah di gerainya waktu itu. Sebabnya beliau akan memutarkan lagu-lagu yang sama dengan citarasa muzik saya sepeti lagu-lagu dari kumpulan Kembara, Ebiet, Jim Croce, Allman Brothers, Lynrd Skynrd antaranya.

Biasanya, kita boleh menilai tahap mentaliti setiap manusia itu melalui cara pergaulan, citarasa muzik dan tahap kematangan mereka dalam berfikir.

Saya yang waktu itu baru berumur 19 tahun baru sahaja nak belajar makna hidup di Kuala Lumpur, kota yang hanya menjanjikan mimpi, bukan kenyataan ini. Kita perlu membunuh mimpi dan duduk dalam kenyataan jika kita percaya bahawa kita adalah sebahagian dari ceritanya.

Kelainan yang ada dalam lakaran dan kartun Azmie berbanding kartunis lain, beliau dalam setiap karyanya akan diselitkan ‘quote’ atau kata kata semangat yang penuh nilai motivasi. Yang paling saya ingat antara ‘quote’ nya yang memberi kesan kepada saya, “ Bekerja Sendiri Lebih Baik Dari Makan Gaji’ dan ‘Esok Bermula Hari Ini’.

Hari ini beliau bolehlah dikategori sebagai antara usahawan berbangsa Melayu yang berjaya. Membuka perniagaan mencetak dan memberi kursus kepada sesiapa yang berminat untuk berniaga dan mencetak t-shirt sejak puluhan tahun dulu nyata memberi kebahagiaan hidup yang dicarinya selama ini.

Perkara penting yang dilakukannya hari ini yang bagi saya bermanfaat untuk anak bangsa ialah dengan memberi bimbingan dan kursus kepada anak muda yang punya minat untuk berniaga berkaitan dengan hal hal cetak dan t-shirt.

Sewaktu saya di kampung dulu adalah seorang saudara saya yang berkerjaya sebagai seorang guru sekolah. Menjadi seorang guru adalah suatu tugas yang mulia dan sangat dihormati terutamanya di kalangan masyarakat luar bandar.

Darjat seorang guru itu dipandang tinggi. Tidak hairanlah ramai di kalangan guru dan pengajar di zaman dulu yang menceburi dunia politik selepas bersara atau masih dalam perkhidmatan mereka sebagai pendidik.

Kalau di kampung, 3 kerjaya yang mendapat tempat dan kedudukan dalam masyarakat. pertamanya guru, keduanya polis dan ketiganya menjadi seorang askar. Memang tidak ada masalah untuk meminang anak orang.

Ada pula seorang kawan saya yang juga sebaya dengan saudara saya yang menjadikan kerjaya berniaga dengan menjual daging di pasar malam sebagai sumber pendapatan utamanya. Kawan saya ini memang berjaya kerana kurang saingan. Iya lah, tidak ramai anak bangsa kita yang punya minat untuk berniaga terutamanya di kalangan anak anak muda seperti saya waktu itu.

Saya bertanya soalan yang agak bodoh kepada kawan saya itu, mengapa tidak menjadi seorang guru? Jadi guru dapat pencen . Walau saya tahu waktu itu kawan saya ini sudah pun berkereta besar, rumah pun besar dan dalam usia muda punya kehidupan yang selesa di kampung.

Dia hanya ketawa sambil bertanya kembali kepada saya, “ berapa pendapatan seorang guru dan berapa kau rasa pendapatan aku ?” walau nadanya itu agak ego tapi ianya membuat saya berfikir dan ianya berjaya mengubah persepsi saya terhadap kehidupan yang lebih realistik sifatnya.

Pun begitu, berniaga adalah perkara yang bersangkut paut dengan bakat, kreativiti dan minat. 3 perkara ini wajib ada dalam diri mereka yang punya cita cita untuk menjadi seorang peniaga yang berjaya.

Seperti Azmie, jiwanya adalah jiwa seorang peniaga. Dia melakukan kerja yang diminati yang membawa kebahagiaan dalam kehidupannya. Dalam masa yang sama, dia punya cita cita untuk melihat anak bangsa dapat melihat kegigihannya dalam meniti tangga kejayaan, moga memberi motivasi kepada mereka untuk mengikut jejak langkahnya.

Apa sahaja kerjaya yang kita lakukan, perlu bersandarkan kepada minat dan kreativiti. Kita perlu mencintai kerjaya kita, itulah kuncinya.

* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis.