27 OKTOBER — Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin adalah seorang tokoh yang cukup disegani dalam dunia kewartawanan negara.
Lebih mesra dengan panggilan Zam, komentar yang dilontarkan beliau dalam penulisannya cukup tajam hinggakan membuat sesetengah pihak tidak senang duduk dan ada pula yang cacing kepanasan.
Beliau tidak gentar untuk melontarkan buah fikiran bagi mempertahankan sesuatu isu yang dianggapnya perlu dipertahankan demi kepentingan nasional serta bangsa.
Inilah istimewanya Tan Sri Zam berbanding dengan penulis-penulis yang lain. Beliau “straight to the point” dengan apa yang hendak diluahkannya. Sekilas pandang, ketegasan tersebut ada baiknya kerana ia konsisten dengan apa yang diperjuangkan beliau selama ini. Apa yang terbuku dalam hati beliau, itulah yang diluahkan dalam penulisannya.
Beberapa minggu yang lalu, bekas Ketua Pengarang Utusan dari tahun 1983 hingga 1992 itu sekali lagi menjadi tumpuan serta sasaran kritikan golongan yang kurang senang terhadap komentar pedas dalam entri blognya. Semuanya bermula gara-gara kritikan beliau terhadap sikap masyarakat Cina yang didakwanya tidak berminat untuk menguasai Bahasa Melayu sebaliknya mempelajari bahasa berkenaan untuk lulus peperiksaan semata-mata.
Pada masa yang sama, Tan Sri Zam juga menegaskan, masyarakat Cina tidak harus berasa tersinggung dengan gelaran pendatang kerana mereka sendiri sebenarnya tidak mahu dikaitkan dengan bahasa kebangsaan negara. Sememangnya, kenyataan bekas Menteri Penerangan itu cukup tajam dan kurang menyenangkan bagi mereka yang sudah membentuk persepsi negatif terhadap komen dan individu berkenaan.
Mereka yang berfikiran rasional pula mungkin akan mempunyai pandangan serta pendirian tersendiri mengenai komentar Tan Sri Zam. Apapun, apa sahaja perdebatan isu panas termasuk isu yang dibangkitkan Tan Sri Zam tempoh hari wajar dilihat dari pelbagai sudut.
Tidak dinafikan masih ada segelintir masyarakat Cina di Malaysia yang masih belum berjaya menguasai Bahasa Melayu dengan sepenuhnya. Akan tetapi, kegagalan tersebut tidak harus dijadikan sebagai penanda aras bahawa mereka ini sebenarnya tidak berminat untuk menguasai bahasa kebangsaan.
Pada hemat penulis, komentar yang dilontarkan oleh bekas Ketua Pengarang Utusan itu tidak mencerminkan gambaran yang sebenarnya. Ia hanya satu generalisasi yang tidak mewakili kesemua masyarakat Cina di negara kita. Hanya disebabkan oleh sebahagian daripada masyarakat Cina yang dilihat kurang berminat untuk menguasai Bahasa Melayu, adalah tidak adil untuk golongan yang berminat menguasai Bahasa Melayu menerima tempias yang sebenarnya bukan salah mereka.
Buktinya ada di hadapan mata kita. Tokoh-tokoh bukan Melayu yang fasih berbahasa Melayu dan bergaul rapat dengan masyarakat Melayu seperti Profesor Dr. Teo Kok Seong, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, Dr. Lim Swee Tin, Tan Sri Ong Tee Keat dan Tan Sri Lee Lam Thye membuktikan biarpun daripada latarbelakang berbeza, ia tidak menghalang mereka menguasai Bahasa Melayu dengan fasih dan baik.
Hakikatnya, mereka semua fasih berbahasa Melayu, memahami budaya masyarakat Melayu dan memiliki semangat kenegaraan yang tinggi sama seperti pemimpin-pemimpin nasional lain. Justeru, komen yang dikeluarkan itu adalah kurang tepat.
Kenapa pula tidak dibangkitkan cerita ataupun kisah masyarakat Cina yang berjaya menguasai Bahasa Melayu dan menjadikannya ia sebahagian daripada lingua franca seharian mereka? Bukankah itu lebih baik dan boleh dijadikan suri teladan kepada orang lain? Komposisi masyarakat Cina di Malaysia hanya berjumlah 25 peratus dan penulis yakin, masih ada ramai masyarakat Cina di luar sana yang berminat untuk mempelajari serta menguasai bahasa kebangsaan.
Juga, adalah tidak adil untuk sesetengah pihak melabelkan masyarakat Cina sebagai tidak patriotik hanya kerana mereka tidak menguasai bahasa kebangsaan. Psikik masyarakat Cina adalah berbeza dengan masyarakat lain. Pada masyarakat Cina, mereka mempunyai cara tersendiri untuk meluahkan patriotisme dan kecintaannya kepada negara ini.
Apapun, tiada gunanya untuk berasa marah atau kecewa dengan situasi ini. Perjuangan untuk meyakinkan masyarakat Cina untuk menguasai Bahasa Melayu perlu diteruskan dan dilipatgandakan biarpun keadaan semasa tidak begitu memberangsangkan.
Sebaliknya, usaha untuk meyakinkan akan keindahan dan ketinggian nilai Bahasa Melayu memerlukan masa, kesabaran serta perancangan yang rapi. Jika usaha kali pertama kurang berhasil, maka harus dilipatgandakan usaha itu sehinggalah berjaya. Cuba dan cuba lagi. Jika usaha itu memerlukan masa umpamanya lima, 10 mahupun 20 tahun, usaha tersebut tetap perlu diteruskan.
Keindahan dan ketinggian nilai Bahasa Melayu hanya akan dihargai oleh mereka yang benar-benar memahami erti sebenar perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan oleh para pejuang bahasa negara.
Sekadar meluahkan kemarahan dengan memberikan pelbagai label yang kurang elok hanya akan mengundang persepsi negatif seolah-olah masyarakat di negara kita tidak toleran dan berfikiran sempit. Di sebalik kontroversi yang tercetus itu, penulis menerima teguran Tan Sri Zam dengan hati yang terbuka.
Ya, memang diakui komentarnya cukup tajam tetapi masyarakat Cina tidak perlu gusar sebaliknya menyahut cabaran tersebut dengan menguasai Bahasa Melayu. Fikirkan prospek jangka panjang. Tidak rugi untuk kita mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu. Sekurang-kurangnya, ia akan memberi nilai tambah kepada diri kita. Jika ada antara rakan-rakan kita dari kaum Melayu dan India yang sudah menguasai Bahasa Mandarin, maka mengapa tidak pula kita menguasai Bahasa Melayu?
Biarpun penguasaan Bahasa Melayu yang diusahakan secara berperingkat-peringkat, tidak mengapa. Apa yang penting adalah usaha dan kesungguhan untuk belajar. Penulis juga adalah orang Cina tetapi usaha menguasai Bahasa Melayu selama ini tidak sekalipun menjadikan penulis kurang Cina atau hilang jati diri. Penulis tetap seorang rakyat Malaysia yang patriotik dan setia kepada tanah tumpahnya darahku ini.
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.
