21 SEPT ― Saya mula merokok sewaktu di tingkatan 3. Waktu itu arwah bapak biasanya akan menyimpan sekotak rokok jenama Tiga Lima (555) dalam tin rokok. Bapak tidak merokok, rokok yang disimpan itu untuk tetamu atau kawan kawan perokok yang datang.

Tahun 70an sehingga awal tahun 80an rokok jenama Benson masih menjadi pilihan ramai sebelum Dunhill mengambil alih. Rokok Tiga Lima (555) agak murah sedikit dari harga Benson dan Dunhill.

Rokok Tiga Lima (555) menjadi pilihan golongan “otai” selain Benson. Harga rokok pun murah lagi waktu itu.

Rokok Dunhill dan Benson ada yang dijual dalam kotak kecil (7 batang), sederhana (14 batang) dan besar (20 batang). Harga pula untuk kotak besar tak sampai RM10.

Selalulah saya curi rokok bapak yang disimpan di bilik bapak saya jika dia tiada di rumah. Biasanya juga saya akan ganti semula rokok yang saya curi itu. Keinginan untuk merokok waktu itu kerana ianya lambang “cool” bagi seorang lelaki sejati. Lelaki dan rokok sangat sinonim. Itu yang saya faham waktu itu.

Poyo sungguh rasanya bila melihat lelaki yang tidak merokok yang biasanya kita panggil budak baik. Biasanya waktu pulang dari sekolah, saya dan kawan kawan sekolah akan melepak di panggung wayang Bruas untuk menghisap rokok.

Umpama di barat pada tahun 70an dulu, sewaktu di zaman hippies, kebanyakan anak muda dan pemuzik di sana akan berasa bangga jika mereka mengambil dadah atau menjadi penagih. Yang tak menagih pun akan berlakon seperti seorang penagih agar tidak dipandang sebagai mat poyo atau mat belia.

Apabila kita bercakap tentang rokok, biasanya tidak ada langsung kebaikan untuk perokok melainkan akan dapat banyak penyakit. Tapi walaupun demikian, walaupun di setiap kotak rokok akan dihiaskan dengan gambar gambar yang mengerikan akibat kesan dari merokok, perokok tegar biasanya tidak pernah ambil peduli tentang itu semua.

“Datuk kawan saya umurnya sudah 90 tahun, masih sihat sehingga hari ini dan merupakan seorang perokok tegar sejak dari usia mudanya”, itu kata kawan saya tentang datuknya yang sudah tua, masih merokok dan masih steady dari segi kesihatan.

Hari ini atau zaman ini jenama yang paling popular masih lagi Dunhill dan Winston Light. Tiga atau empat tahun lepas saya bertukar dari Dunhill kepada Winston Light kerana harga rokok naik waktu itu. Sekotak Dunhill besar sudah mencecah lebih RM10, sedang Winston Light hanya RM8.50 sahaja.

Semakin hari, harga rokok pun semakin naik, seiring usia dan candu rokok yang bersarang di dalam dada dan paru paru kita. Kalau di zaman Mahathir dulu naiknya cuma 20 sen atau 30 sen, di zaman Najib hari ini naiknya sampai RM1.

Baru-baru ini naik lagi. Sekotak Dunhill besar harganya RM13 dan Winston Light RM11.50. Kali terakhir harga rokok naik pada September 13, 2013. Maknanya selang setahun lebih kurang harga rokok naik. Sebelumnya hanya naik 20 sen sahaja pada Oktober 22, 2012.

Dan nampak gayanya ianya tidak akan turun, melainkan akan naik dan naik lagi. Ini membuatkan kita mula beralih mencari altenatif lain yang lebih rumah dan menjimatkan.

Rokok seludup, rokok elektronik atau rokok gulung bersalut tembakau, yang mana satu pilihan anda?

Rokok seludup masih mudah didapati di sekitar Kuala Lumpur ini, cuma rasanya tidaklah sama dengan rokok yang berjenama. Harganya dalam lingkungan rm sekotak sehinggalah RM7 atau RM8 sekotak.

Rokok elektronik pula sewaktu awal di pasaran memang mendapat sambutan dari para perokok yang cuba beralih arah. Tapi kesannya hanya sekejap sahaja, mungkin tidak sesuai dengan tekak dan selera seorang perokok.

Untuk saya yang telah merokok sejak sekian lama, terpaksalah saya beralih arah dari rokok biasa kepada rokok gulung berulamkan tembakau yang dijual dengan harga tak sampai RM20 dan boleh menampung bekalan sehingga 4 atau 5 hari.

Saya tidak mampu lagi untuk berbelanja sehingga ratusan ringgit untuk membeli sekotak rokok. Bayangkan jika 2 kotak sehari, sebulan sudah menjangkau RM600 lebih.

Hari ini hanya mereka yang berkemampuan sahaja yang layak merokok. Bagi yang berpendapatan bawah RM3000 eloklah mencari alternatif lain seperti yang saya lakukan.

Kebaikan merokok? Saya pernah ditanya soalan itu dari seorang kawan yang tidak merokok. Jawapan saya, “ ianya ‘surreal tapi real’”.

Apapun saya percaya akan semakin ramai yang akan cuba berhenti merokok atau mereka akan mencuba mencari alternatif lain dengan menghisap rokok yang lebih murah, rokok elektronik ataupun rokok gulung atau rokok balut.

Hari ini sewaktu saya mengambil anak saya dari sekolah, selalulah saya melihat pelajar yang masih beruniform sekolah dengan bangganya menghisap rokok sambil berbual antara sesama, menghembuskan asap ke udara lepas lambang kebebasan seorang lelaki.

Saya hanya tersenyum melihat gegalat anak anak muda itu, kerana saya pun dulu lebih kurang seperti mereka jugalah. Cuma jika ada kesempatan, ingin saya dekati mereka dan katakan,

“ Dik, janganlah merokok”.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.