5 OGOS — Malaysia dan politik adalah ibarat irama dan lagu, tidak dapat dipisahkan. Menjelang

Aidilfitri tahun ini, drama politik negara bertambah menarik dengan pelbagai perkembangan terbaru. Pertukaran Menteri Besar Selangor, Whatsappleaks membabitkan pimpinan PAS, pembentukan kerajaan bersama Barisan Nasional dan sebagainya.

Saya memilih untuk tidak memberi komen mengenai pertukaran MB Selangor atau yang sama waktu dengannya dalam penulisan ini atas beberapa sebab.

Pertama, saya tidak ada maklumat lengkap berkenaan apa yang berlaku melainkan bacaan di media perdana dan alternatif. Kedua, politik Malaysia sudah pun mengalami peristiwa seumpama ini beberapa kali seperti wujud dua calon Menteri Besar di Perlis selepas pilihan raya umum tahun 2008, pertukaran Menteri Besar di Terengganu membabitkan Datuk Seri Ahmad Said sehingga beliau keluar UMNO buat seketika dan semestinya peristiwa mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meletakkan jawatan setelah tekanan daripada partinya sendiri selepas prestasi tidak memuaskan dalam pilihanraya umum tahun 2008.

Advertisement

Pokoknya, politik Malaysia telah melalui kes-kes seperti ini. Namun sudah menjadi lumrah, politik adalah ‘makanan’ dan ‘hiburan’ kita, makanya isu-isu seperti ini sudah tentu disensasikan sehabis mungkin. Penulisan saya kali ini lebih berkisar kepada kepentingan kita untuk memastikan Pakatan Rakyat itu kekal kuat dan matang dalam mewujudkan iklim politik yang lebih matang dan ilmiah.

Saya membincangkan hal ini melihatkan kepada contoh-contoh semasa yang menunjukkan adanya perbezaan pendapat dan pendekatan antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat dalam mendepani isu-isu yang membabitkan mereka.

Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan tidaklah membantu keadaan sebaliknya lebih mengeruhkan keadaan apabila nada kenyataan yang dibuat seolah-olah menggambarkan tidak ada pihak yang mahu beralah. Pada pendapat saya, apabila bercakap tentang hubungan politik, berdiam diri dan berbincang secara baik adalah yang terbaik apatah lagi tindak-tanduk ahli politik sentiasa diperhatikan oleh rakyat.

Advertisement

Saya berpendapat bahawa Pakatan Rakyat perlu untuk kekal kuat dan matang atas beberapa sebab. Pertama, gabungan parti pembangkang yang kuat adalah perlu untuk pastikan pendekatan semak dan imbang (check and balance) terus menjadi teras utama kepada pembangunan politik negara. Parti politik adalah tidak sunyi dan sempurna daripada melakukan kesilapan. Maka, menjadi tugas pembangkang untuk mengenalpasti kelemahan ini dan bahaskan secara ilmiah untuk kebajikan rakyat.

Pembangkang yang kuat dan bersatu akan menghasilkan penggabungan idea dan tenaga yang akhirnya akan mewujudkan dasar-dasar alternatif yang akhirnya dapat mencabar dasar-dasar sedia ada oleh kerajaan sekarang. Buat pertama kali dalam pilihanraya ke-13, wujudnya cadangan dan tawaran kepada rakyat oleh parti pembangkang daripada isu pendidikan percuma, harga kereta, ketelusan pentadbiran dan sebagainya. Sama ada cadangan dan tawaran ini adalah populis atau tidak adalah

persoalan kedua; yang penting adalah ini menjadi petanda bahawa politik negara mula bergerak secara positif dan tidak lagi bergantung kepada serangan peribadi dan mainan emosi.

Pembangkang yang kuat dan bersatu juga diperlukan supaya boleh menjadi latihan kepada mereka untuk bersiap-sedia menjadi kerajaan sekiranya dipilih. Bak kata pepatah orang putih, ‘seeing is believing’. Begitu juga dalam mencari keyakinan rakyat, rakyat harus digambarkan bahawa pembangkang ini bersatu-padu dan kuat supaya boleh mendorong rakyat untuk memilih mereka. Kalau dengan sahabat baik pun kita bermasam muka, apatah lagi dengan parti politik yang berbeza latar belakangnya. Kita faham mengenai kekangan ini, tetapi pemimpin harus berlapang dada dan mengenepikan perbezaan ini.

Saya berasa gusar membaca kenyataan demi kenyataan daripada pimpinan PAS yang bercanggah dengan rakan-rakan mereka termasuk dengan insiden Whatsappleaks yang seolah-olah memberi amaran bahawa hubungan ini tidak stabil dan tidak mengambil kira perasaan rakan-rakan parti yang lain.

Apa yang paling penting adalah untuk para pemimpin memiliki hati yang besar untuk mengenepikan ego agar kita lebih bergerak pantas ke arah politik yang lebih matang.

Sokongan kepada pakatan pembangkang dari perspektif saya bukanlah sebagai sokongan buta-buta, tetapi saya percaya pembangkang yang kuat akan memberi pelbagai manfaat kepada negara untuk jangka masa pendek dan panjang.

Kepada rakan-rakan yang sama seperti saya, adalah menjadi hak kita untuk memberi pendapat mengikut hati dan pemikiran masing-masing. Namun begitu, kita tidak boleh emosional dan melatah sehingga terlupa kepada harapan kita untuk melihat Malaysia yang lebih baik. Kecewa dan marah adalah lumrah tetapi berputus asa, memandang serong dan hilang harapan jangan sekali-sekali.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.