23 JULAI — Mutakhir ini, masyarakat kita begitu gemar untuk mengkritik dan mengadu terhadap sesuatu perkara.  Mereka mengadu kerana berpendapat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan apa yang telah dilihatnya.

Bagi kumpulan masyarakat sebegini, mereka tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan komen mahupun kritikan pedas kerana percaya kritikan yang diberikan boleh membetulkan keadaan.

Dalam erti kata lain, kumpulan masyarakat ini dilihat sebagai kumpulan yang tegas, berpendirian teguh dan tidak akan berkompromi dengan apa yang telah dilontarkannya.

Sebenarnya, tidak menjadi satu kesalahan untuk masyarakat kita mengkritik ataupun membuat aduan jika ternampak sesuatu perkara yang tidak kena pada kaca mata mereka. Sekurang-kurangnya, tindakan mengkritik dan mengadu terhadap sesuatu perkara secara tidak langsung menyedarkan masyarakat kita akan hak-hak mereka.

Namun begitu, jika kritikan ataupun aduan yang dikemukakan itu lebih bersifat peribadi dan dibuat semata-mata kerana disuruh ataupun dengan tujuan yang berniat jahat, perbuatan sedemikian adalah tidak betul. Berpaksikan kepada hakikat itu, masyarakat haruslah berpada-pada ketika menyuarakan kritikan atau aduan.

Melainkan Yang Maha Esa, tiada siapa di dunia ini yang sempurna sifatnya apatah lagi pihak pemerintah sedia ada. Apabila masyarakat mengkritik atau mengadu terhadap sesuatu isu, pastikan ia disertakan dengan justifikasi, bukannya menghentam secara membuta-tuli. Kepada mereka yang suka mengkritik, ada baiknya juga jika mereka tampil dengan sesuatu ide untuk membetulkan keadaan yang dikritiknya itu.

Dalam kes membabitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau MCMC, pelbagai kritikan, desakan malah tekanan oleh rakyat awam dan pertubuhan bukan kerajaan terhadapnya sejak kebelakangan ini kerana kelewatan menangani isu penyalahgunaan media sosial adalah kurang adil dan berat sebelah.

Nyata, masyarakat di negara ini nampaknya terlalu emosional dan beria-ia ingin menjadi ‘hakim’ untuk mengadili terhadap sesuatu isu atau orang yang terbabit seolah-olah mereka sudah pun bersalah. Sikap buruk tersebut bukan sahaja mengundang polemik tidak berkesudahan bahkan juga mencetuskan perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Sebaik-baiknya teliti sesuatu isu itu dengan baik sebelum melontarkan sebarang kritikan. Dengan ini, ia boleh menyelamatkan si pengadu itu daripada diaibkan oleh situasi-situasi yang tidak diduga.

Penulis yakin dan percaya bahawa MCMC menghargai teguran-teguran membina yang diberikan oleh orang awam terhadap kekurangan yang ada pada mereka. Sesungguhnya, teguran-teguran membina itu tidak wajar dipandang serong tetapi dijadikan sebagai penyuntik semangat untuk memperbaiki mutu perkhidmatan organisasi yang dimaksudkan itu ke tahap yang lebih baik.

Kritikan demi kritikan terhadap MCMC oleh segelintir pihak berkepentingan bukanlah satu petunjuk adil yang boleh digunakan untuk menggambarkan keberkesanan MCMC sebagai regulator industri komunikasi dan multimedia negara. Sebaliknya, kritikan demi kritikan yang dilemparkan itu lebih berupa satu escapisme oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan MCMC dan mahu menjatuhkan imej organisasi berkenaan.

Tidak beberapa lama dahulu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menggelar MCMC sebagai sebuah organisasi yang tidak bertaring. Penyertaan itu dibuat kerana beliau berang dengan insiden akaun Twitternya telah diambil alih oleh individu tidak dikenali dan kelewatan MCMC memberikan reaksi.

Dalam kes terbabit, Bung Moktar mungkin tidak sedar bahawa langkah yang sebetulnya untuk menyelesaikan masalah penggodaman akaun Twitter ialah dengan mengemukakan laporan kepada pihak pentadbir Twitter bukannya kepada MCMC seperti yang disangka.

Apa yang perlu difahami oleh rakyat Malaysia ialah pihak MCMC tidak boleh secara sewenang-wenangnya mengambil tindakan ke atas pesalah jika tidak mempunyai bukti kukuh. Semuanya ini mematuhi Prosedur Operasi Standard atau SOP yang telah ditetapkan terlebih dahulu bagi mengelak daripada dituduh menyalahguna kuasa. Sama juga dengan pihak polis yang perlu menyiasat terlebih dahulu sesuatu kes sebelum mengemukakan pendakwaan. Pokok pangkalnya, setiap kes yang diterima perlu disiasat dengan teliti bagi memastikan ia berlaku adil kepada semua pihak.

Kita faham kekecewaan pihak yang mengadu dan keperluan untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang melakukan kesalahan namun mereka perlu realistik dengan keadaan yang dihadapi. Terdapat isu-isu tertentu yang tidak terletak di bawah bidang kuasa MCMC. Dalam konteks ini, MCMC akan bertindak membantu pihak berkuasa lain seperti polis jika diperlukan.

Oleh yang demikian, adalah penting jika pihak yang membuat aduan tersebut tidak harus “jump over the gun” dalam hal sebegini bagi mengelak perbicaraan oleh pihak lain. Keadaan yang dialami oleh MCMC itu tidak wajar dilihat sebagai satu kelemahan oleh rakyat di negara ini.

Malah, MCMC sebenarnya telah mengambil tindakan ke atas mereka yang melanggar kesalahan di bawah akta yang diperuntukkannya. Dalam kes membabitkan penyalahgunaan media sosial, terdapat individu-individu yang telah didakwa dan dibicarakan di mahkamah kerana kesalahan menghina Sultan, agama Islam mahupun atas kesalahan-kesalahan lain.

Biarpun penulis hanyalah seorang rakyat marhaen yang tidak mempunyai pangkat tinggi dalam masyarakat, akan tetapi penulis amat bersimpati dengan dilema yang dihadapi oleh MCMC. Masyarakat harus mengambil inisiatif untuk memahami peranan dan bidang kuasa organisasi berkenaan sebelum memberi kata putus terhadap mereka.

Jangan sesekali hanya khusyuk mengkritik tetapi tidak memberikan sebarang jalan penyelesaian. Inilah masalah terbesar masyarakat kita. Mereka seolah-olah tidak menghiraukan punca masalah yang timbul tetapi hanya berminat untuk melihat mereka bertanggungjawab dihukum. Bagi penulis, sikap sedemikian adalah berbahaya dan “counter-productive”. Sebaik-baiknya lihat dan teliti sesuatu isu dari pelbagai sudut agar anda akan mendapat gambaran yang sebenarnya.

Kepada mereka yang gemar mengkritik atau mengadu, manfaatkan platform yang ada untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti MCMC untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dalam kes penyalahgunaan media sosial umpamanya, tanggungjawab menangani masalah berkenaan tidak harus diletakkan pada bahu MCMC mahupun polis semata-mata. Sebaliknya, semua pihak perlu mengambil inisiatif untuk membantu.

Tidak mungkin, semua kes penyalahgunaan media sosial dapat diselesaikan oleh MCMC atau polis tetapi dengan sokongan serta kerjasama yang diberikan nescaya beban yang berat akan menjadi lebih ringan dan mudah.

Penulis ingin mengajak rakyat di negara ini untuk menjauhi perbuatan suka mencari kesalahan orang lain ataupun mengkritik pihak lain hanya kerana mahu mengkritik. Sudah tiba masanya untuk masyarakat bertanya kepada diri mereka sendiri apakah mereka telah memainkan peranan proaktif dalam membantu pihak berkuasa menyelesaikan masalah? Ataupun mereka sekadar berperanan sebagai penumpang semata-mata? Persoalan ini bukan sahaja ditujukan kepada mereka yang memandang serong terhadap peranan pihak berkuasa seperti MCMC dan polis bahkan juga mereka yang prejudis terhadap pemimpin-pemimpin negara kita.

Ayuh, janganlah kita terlalu cepat menghakimi seseorang! Lihat sesuatu isu dari perspektif yang lebih menyeluruh.

* Pandangan di atas hanya pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.