20 JUN — Saya berasa terpanggil untuk memberikan ulasan mengenai perkembangan mutakhir dalam negara dengan pelbagai isu yang membabitkan mahkamah mengenai hak penjagaan anak antara Muslim dan bukan Muslim dan dilema pihak berkuasa dalam menguatkuasakan perintah mahkamah sivil dan syariah.

Isu seperti ini harus diteliti dengan cermat kerana segala isu yang berbangkit ini adalah membabitkan pihak berkuasa yang menjalankan tugas berdasarkan lunas undang-undang yang diberikan kepada mereka. Maka, ulasan-ulasan yang diberi harus tepat dan ilmiah tanpa menghiraukan tugas dan amanah yang telah diberikan kepada mereka.

Namun begitu, apabila isu-isu seperti ini yang dianggap penting dan sensitif dibiarkan seperti ‘tarik tali’ antara pihak berkuasa yang berlainan, satu keadaan yang tiada jalan penyelesaian pula yang berlaku. Memang benar semua terikat dengan undang-undang atau peraturan yang telah ditetapkan tetapi apabila wujud keadaan seperti konflik antara penjagaan hak antara Muslim dan bukan Muslim, apakah masih perlu kita bergantung kepada jalan mahkamah apabila isu konflik kuasa antara dua mahkamah ini masih belum berkesudahan?

Kerajaan mencadangkan agar pertikaian mengenai hak penjagaan anak ini dirujuk terus kepada Mahkamah Persekutuan sebagai pemutus akhir kepada pertikaian ini. Dalam pada yang sama, pihak berkuasa juga dalam dilema sama ada ingin menguatkuasakan perintah Mahkamah Tinggi kerana wujud keputusan berbeza di mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Akhirnya, kita harus bertanya apakah terjadi kepada hak ibu bapa dan anak-anak yang bergelut ini?

Advertisement

Sebagai mahasiswa undang-undang saya faham tugas mahkamah adalah amat sesuai dalam menafsirkan undang-undang terutama apabila wujud jalan buntu, tetapi adalah lebih molek kepimpinan sedia ada menunjukkan sedikit ketegasan dan keadilan dalam menyelesaikan isu yang penting ini dengan kadar segera.

Ketegasan dan keadilan yang saya maksudkan ini bukanlah sesuatu berbentuk kekerasan tetapi mencadangkan satu penyelesaian yang mengambil kira pendapat semua pihak yang berkepentingan. Kerajaan telah mewujudkan satu inisiatif dengan mewujudkan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) untuk mendengar pendapat untuk menambahbaik perpaduan negara. Saya berpendapat jalan yang sama boleh dilakukan dalam isu ini yang akhirnya akan memberikan penyelesaian yang lebih bersifat keseluruhan berbanding pergi ke mahkamah yang sudah pasti akan mengambil masa yang lama dan kos.

Isu seperti ini perlukan perbincangan kerana isu ini bukan sekadar konflik kuasa antara mahkamah sivil dan syariah sahaja, tetapi lebih dari itu. Masih ada lagi isu mengenai pemahaman mengenai Islam itu sendiri dan sensitiviti agama dan bangsa terutamanya untuk Malaysia yang hidup berbilang bangsa.

Advertisement

Kerajaan tidak boleh lagi mengambil pendirian seperti yang ditonjolkan dalam contoh yang lepas. Kerajaan harus berani menunjukkan kepimpinan yang tegas dan adil dalam menyelesaikan isu ini walaupun mungkin tidak popular di mata rakyat keseluruhan. Paling penting, keputusan yang tepat tidak semestinya popular tetapi jikalau itu yang negara ini perlukan, maka keputusan itu harus dilakukan.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.