3 JUN ― Politik di Malaysia sememangya tidak pernah sunyi. Daripada perdebatan dasar, perbincangan personaliti politik negara sehinggalah ke pilihan raya-pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini. Kemeriahan politik negara adalah penting supaya dinamik politik terus bergerak dan rakyat akan terus terpanggil untuk menyertai perbincangan mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada mereka.

Saya berasa terpanggil untuk memberikan sedikit pendapat mengenai insiden-insiden penting politik negara baru-baru ini. Contohnya, serangan kepada pejabat parti politik, terdapat ahli politik yang mengucapkan kata-kata yang tidak sopan kepada parti politik, isu calon pilihan raya kecil dan sebagainya.

Sememangya tanpa sebarang peristiwa tersebut, sudah pastilah politik dalam negara suram. Namun begitu, kita harus bertanya adakah politik kita harus digerakkan dengan isu-isu remeh sebegitu rupa? Adakah politik hanya membabitkan caci-maki dan keganasan?

Politik haruslah memenangkan rakyat dari segenap segi. Ahli politik adalah pemain dan politik itu adalah saluran untuk menyejahterakan rakyat. Adalah tidak berguna politik itu sekiranya sekadar berlegar kepada isu yang remeh-temeh.

Advertisement

Sebab itulah saya berpendapat isu seperti melabel parti politik sebagai “celaka”, atau bertikam lidah di hadapan ibu pejabat parti adalah isu yang remeh dan menarik perhatian kita daripada membincangkan dasar dan kebajikan rakyat secara khusus.

Dalam isu memanggil parti politik sebagai “celaka”, kita tidak boleh menggunakan hujahan seperti “parti itu buat juga, maka kami boleh buat” atau “parti itu memang korup” sebagai alasan untuk menjadikan politik itu tidak santun. Kematangan politik itu harus dimulakan oleh pemainnya iaitu ahli politik supaya contoh yang baik boleh dijadikan teladan kepada rakyat.

Keperluan untuk mewujudkan iklim politik negara yang matang adalah penting untuk masa depan negara. Sebagai sebuah negara yang ingin mencapai status negara maju menjelang 2020, kita harus pastikan kematangan politik negara dicapai secepat mungkin.

Advertisement

Kematangan politik adalah kunci kepada kejayaan perbahasan dasar, penerusan program-program kebajikan rakyat dan perancangan baru untuk kemajuan ekonomi pada masa akan datang. Negara tidak mampu untuk diheret kepada kancah perkauman yang semakin menebal kerana ini akan menganggu usaha kita untuk terus focus kepada isu penting.

Saya sedikit kecewa melihat bagaimana isu pencalonan bekas calon parti DAP untuk kerusi Parlimen Teluk Intan dimainkan. Tindakan parti itu meletakkan calon Melayu untuk mengikis persepsi mungkin boleh dipersoalkan secara politik dan kesesuaian, tetapi perbincangan hampir seminggu hanya mengenai kaum beliau atau sama ada beliau pengkhianat bangsa mengisi ruangan kempen; tindakan ini adalah membazirkan masa dan tenaga dan mengubah pandangan pengundi mengenai isu-isu nasional yang perlukan perhatian segera.

Maka, negara kita harus lebih pantas dalam mematangkan politik negara. Kita tidak boleh lagi berbincang mengenai isu remeh kerana proses mendidik rakyat tentang kepentingan politik matang akan turut terbantut.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.