22 MAC — Ketika artikel ini ditulis, misteri kehilangan pesawat MH370 milik syarikat penerbangan Malaysia (MAS Airlines) kini sudah memasuki hari yang ke-14.

Jujur kata, sepanjang tempoh ini, ia merupakan detik-detik yang paling sukar dalam hidup kebanyakan kaum keluarga kepada penumpang dalam pesawat berkenaan.

Apa tidaknya, segala harapan dan penantian agar kaum keluarga tersayang yang berada di dalam pesawat MH370 akan kembali dengan selamat, masih belum terjawab.

Sebaliknya, spekulasi demi spekulasi yang tersebar di media sosial mengenai segala kemungkinan yang berlaku kepada pesawat MH370 menambahkan penderitaan dan kebimbangan kaum keluarga. Kesabaran dan emosi mereka semakin diuji.

Malah, pelbagai usaha dan kerjasama 26 buah negara dalam misi operasi mencari pesawat dan menyelamatkan penumpang nampaknya tidak membuahkan hasil.  Kegagalan pasukan menyelamat dari serata dunia untuk menjejaki pesawat MH370 biarpun dilengkapi dengan teknologi moden memberi bayangan bahawa harapan untuk menjejaki MH370 semakin tipis.

Ini bermakna, pesawat MH370 bakal menerima nasib sama seperti mana beberapa pesawat lain yang turut hilang tanpa jejak sepanjang satu abad lalu. Antaranya, kehilangan juruterbang terkenal Amerika Syarikat, Amelia Earhart pada 1937 yang dikatakan hilang di Lautan Pasifik ketika melakukan cubaan untuk mengelilingi dunia.

Selain itu, pesawat yang dinaiki oleh ketua kumpulan muzik terkenal Amerika, Glenn Miller hilang ketika dalam perjalanan dari United Kingdom ke Paris pada 1944. Terdapat teori yang mendakwa pesawat yang dinaikinya telah ditembak jatuh.

Pada 2003 pula, pesawat Boeing 727-223 N844A  berlepas dari Lapangan Terbang Luanda di Angola tanpa kebenaran. Di sebalik usaha global oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk menjejaki pesawat berkenaan, misi itu bagaimanapun tidak berjaya.

Ketiga-tiga insiden yang dinyatakan tadi merupakan antara berpuluh-puluh misteri kehilangan pesawat yang masih belum terjawab hingga ke hari ini. Apapun, tidak ada pihak termasuk kerajaan Malaysia mahu melihat insiden kehilangan pesawat MH370 berlaku.

Ini kerana, sebarang insiden kehilangan pesawat hanya akan mencetuskan lebih banyak persoalan mengenai tahap keselamatan, kredibiliti dan kemampuan sesebuah syarikat penerbangan di mata masyarakat antarabangsa.

Barangkali, insiden kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu turut mengetengahkan beberapa pengajaran penting yang boleh dijadikan iktibar oleh pihak berkuasa Malaysia ketika menangani sesuatu krisis besar sebegini.

Salah satu kelemahan paling ketara dalam konteks ini ialah cara dan bagaimana agensi-agensi kerajaan serta pemimpin mereka menguruskan konflik dan persepsi di hadapan media antarabangsa seperti CNN, BBC mahupun ABC.

Dari hari pertama krisis sehinggalah sekarang, terdapat kritikan keras yang dilontarkan oleh media asing dan pakar-pakar penerbangan antarabangsa yang mendakwa kerajaan Malaysia tidak telus dalam menyampaikan maklumat-maklumat. Dakwaan itu adalah berpandukan kepada sikap berhati-hati pihak berkuasa Malaysia dalam menyampaikan input-input yang bersangkut-paut dengan keselamatan.

Pihak berkuasa Malaysia turut dikecam oleh media-media asing kerana memberikan maklumat atau risikan mengenai insiden MH370 yang bercanggah. Keadaan itu bukan sahaja memberikan tamparan hebat kepada imej agensi-agensi terbabit bahkan juga memberikan persepsi bahawa mereka sebenarnya tidak bersedia.

Ada pihak mungkin berhujah dan menyifatkan bencana besar sebegini  jarang-jarang sekali berlaku di Malaysia dan oleh sebab itu, kecelaruan yang berlaku pada awalnya sudah dijangka dan tidak boleh dipersalahkan. Walaupun tragedi hitam sebegini jarang sekali berlaku di Malaysia, ini tidak bermakna mereka boleh lepas tangan dan berpura-pura seolah-olah masalah yang berlaku itu bukan masalah mereka. Yang pasti, masalah yang berlaku adalah masalah kita bersama.

Setiap agensi yang terbabit sebaliknya harus berada dalam keadaan bersedia sepanjang masa tanpa mengira wujudnya kecemasan atau tidak. Ketangkasan setiap agensi untuk bertindak terhadap masalah yang berlaku sekurang-kurangnya akan memberi gambaran kepada dunia bahawa penyelarasan agensi kerajaan dalam situasi bencana berada di tahap terbaik.

Perlu diingatkan juga sikap untuk memberikan reaksi hanya selepas berlakunya sesuatu insiden perlu dikikiskan. Pegawai-pegawai yang bertugas perlu sentiasa peka dan mengikuti perkembangan sesuatu kes dari semasa ke semasa. Tidak ada alasan mereka untuk tidak mengetahui perkembangan kes nahas hanya kerana ia bukan terletak di bawah bidang kuasa mereka.

Pada masa yang sama, mereka juga perlu dilatih bagaimana untuk berhadapan dengan asakan bertalu-talu daripada pihak media. Mana-mana pegawai yang ditugaskan untuk mengendalikan sidang media dalam skala yang begitu besar ini, perlulah memahami selok-belok sidang media itu dan menyediakan talking point yang kukuh.

Di samping itu, ketika mengendalikan sidang media, pastikan hanya satu pihak sahaja yang mengetuai usaha tersebut (central command) dan bukannya bergilir-gilir antara agensi seperti yang kita lihat tempoh hari. Bermakna, setiap arahan sama ada untuk mengadakan sidang media mahupun kenyataan media harus datang dari satu pihak sahaja.

Ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dan percanggahan fakta yang boleh mengaibkan integriti pihak berkuasa negara. Apa yang berlaku pada sidang media harian anjuran pihak berkuasa Malaysia yang menyaksikan kenyataan bercanggah dalam kalangan pegawai, boleh dielakkan jika wujud penyelarasan teratur.

Satu lagi iktibar penting yang boleh kita kutip menerusi episod hitam ini ialah tidak ada mana-mana pesawat di dunia yang sempurna dan tidak akan berlakunya nahas. Persepsi bahawa semua pesawat adalah 100% selamat adalah tidak benar dan merupakan satu mitos yang mengelirukan.

Malah, syarikat penerbangan terkemuka dunia Qantas Air yang didakwa sebagai antara yang paling selamat di dunia, pernah mengalami beberapa masalah teknikal. Apa yang menimpa pesawat MH370 baru-baru ini sememangnya satu tragedi yang sukar dijelaskan tetapi takdir telah menentukan ia berlaku kepada pesawat kita. Ini adalah hakikat pahit yang perlu diterima semua dan tidak perlu dipersoalkan.

Justeru, apabila terdapat tawaran oleh negara luar untuk membantu dalam kes mencari pesawat MH370, tidak salah untuk Malaysia menerima bantuan berkenaan. Malah ada baiknya juga Malaysia belajar daripada pihak luar yang lebih berpengalaman dalam menangani krisis nasional sebegini. Lebih banyak kita belajar, lebih banyak pengalaman yang ditimba nanti.

Insiden kehilangan pesawat MH370 kira-kira dua minggu lalu turut membuka mata semua terhadap tahap penguatkuasaan dan pemantauan di kawasan lapangan terbang di negara kita. Kemampuan dua lelaki warganegara Iran menggunakan passport palsu untuk menaiki pesawat MH370 jelas menggambarkan bahawa tahap pemantauan di lapangan terbang adalah longgar.

Mujurlah kedua-dua lelaki warganegara Iran tidak ada kaitan dengan rangkaian pengganas antarabangsa. Tetapi cuba bayangkan jika keadaan sebaliknya yang berlaku. Apakah pihak penguatkuasa di lapangan terbang dapat menghalang pergerakan mereka jika inilah mutu pemantauan yang ditunjukkan oleh pegawai bertugas?

Bertitik tolak daripada itu, kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlulah diperketatkan bagi memastikan tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Biarpun tindakan ini mungkin dianggap sebagai menyusahkan, tetapi ia adalah sesuatu yang perlu masa ini. Pendek kata, aspek keselamatan diberikan keutamaan berbanding aspek-aspek lain.

Apapun, di sebalik kritikan hebat media asing terhadap kemampuan pihak berkuasa Malaysia menangani kehilangan pesawai MH370, ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan harus diberikan kepada mereka yang telah mengendalikan sidang media harian bagi memberikan perkembangan mutakhir nasib pesawat MH370.

Tidak dinafikan wujud kekurangan ketika menguruskan krisis ini, namun pihak berkuasa Malaysia serta agensi-agensi berkaitan telah mempamerkan kesungguhan untuk terus merungkai misteri kehilangan pesawat MH370 hingga ke lubang cacing meskipun menyedari bahawa usaha untuk menemui penumpang-penumpang yang masih hidup, adalah semakin sukar.

Jika krisis nasional sebesar ini berupaya ditangani dengan baik, maka tidak ada sebab mengapa Malaysia tidak dapat menguruskan krisis yang lebih besar di masa-masa akan datang.

Percayalah, apa yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya!

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.