28 JAN — Ini adalah kali pertama saya berpeluang untuk menulis bagi ruangan ini. Begitu lama sekali saya memikirkan tajuk yang sesuai untuk dikongsi bersama pembaca.

Pada mulanya saya bercadang untuk menulis mengenai kesan kenaikan harga barang kepada mahasiswa seperti saya.

Malah, saya juga bercadang untuk menulis mengenai insiden ‘kangkung’, tetapi perbincangan di ruang siber seperti Twitter sudah cukup untuk menerangkan isu-isu ini.

Walaupun dalam keadaan kita sedang hangat membicangkan isu-isu seumpamanya, ada seperkara yang begitu mengganggu dan merunsingkan saya iaitu keadaan perpaduan dalam negara sekarang. Dalam kita mendepani isu-isu rumit seperti kalimah ‘Allah’ dan politik perkauman, negara kita seolah-olah hilang punca dalam mencari penyelesaian terbaik dalam meredakan ketegangan ini.

Advertisement

Secara jujur, saya juga tidak pasti apakah cara terbaik dalam kita merungkai isu perpaduan negara dan memastikan keadaanya menjadi lebih baik.

Walau bagaimanapun, saya ingin berkongsi pengalaman saya bergaul bersama rakan-rakan daripada bangsa lain di universiti saya iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Cerita saya ini mungkin tidak akan mendapat tempat di media arus perdana, tetapi di ruang penulisan kecil ini, sebilangan pembaca boleh mendapat iktibar dan pengajaran.

Buat masa sekarang, saya sedang bertungkus-lumus bersiap-sedia untuk menyertai satu pertandingan untuk pelajar undang-undang antara institut pengajian tinggi yang dipanggil sebagai ‘moot competition’.

Advertisement

Pasukan saya dianggotai oleh Suren (beliau merupakan kapten pasukan dan berbangsa India), Ada, Kenny dan Jasper (mereka bertiga adalah berbangsa Cina). Saya merupakan satu-satunya ahli pasukan berbangsa Melayu. Saya harus mengaku bahawa ini adalah kali pertama saya digandingkan dalam satu pasukan yang berbilang bangsa untuk sebuah pertandingan. Maka, pengalaman ini adalah suatu yang baru dan menarik.

Masih ada antara kita yang prejudis dan bersangka buruk terhadap sesuatu bangsa. Saya berpendapat sikap ini lahir akibat kurangnya pergaulan bersama bangsa lain. Akibatnya, tidak ada persefahaman yang jelas antara satu sama lain. Saya berasa begitu bertuah kerana diberikan ahli pasukan yang bukan sahaja berbilang kaum, tetapi begitu mengambil berat antara satu sama lain. 

Kapten pasukan saya iaitu Suren adalah seorang yang begitu tegas dan berdisiplin. Kebanyakan daripada kami (terutamanya saya) kadang-kadang mengambil remeh terhadap beberapa perkara tetapi Suren adalah seorang yang sangat rajin.

Walaupun saya adalah ahli baru dalam pasukan ini, beliau tidak pernah menggunakan alasan senioriti dalam beberapa hal. Beliau tidak pernah jemu memberikan ilmu baru kepada saya dan sentiasa memeriksa tahap pemahaman saya mengenai isu undang-undang yang akan didebatkan dalam pertandingan nanti.

Ada pula adalah seorang yang begitu peramah. Berasal dari Pulau Pinang, Ada tidak pernah jemu berkongsi dengan saya mengenai budaya kaum Cina. Memandangkan perayaan Tahun Baru Cina sudah hampir, saya sempat bertanyakan beberapa soalan kepada beliau mengenai adat resam kaum Cina dalam meraikan perayaan ini. Adalah begitu mengejutkan kerana saya sekarang lebih memahami mengenai adat resam mereka daripada Ada berbanding pembacaan saya dan yang diajar di sekolah.

Kenny pula pada pendapat saya pada mulanya seorang yang serius dan garang. Saya mengalami sedikit masalah pada awal permulaan persiapan pertandingan kerana saya tidak begitu mengenali beliau dengan baik.

Ketika berbincang mengenai isu-isu pertandingan, adakalanya kami berselisih faham. Walau bagaimanapun, apabila pertandingan semakin hampir, saya mengenali Kenny dengan lebih baik. Kenny tidak pernah jemu membantu saya dalam menerangkan isu-isu penting mengenai undang-undang antarabangsa.

Jasper pula adalah seorang penganut beragama Kristian. Ayah beliau merupakan seorang paderi di salah sebuah gereja di Kuala Lumpur. Saya pernah bertanyakan kepada beliau mengenai isu kalimah ‘Allah’. Saya mengandaikan jawapan yang tegas daripada beliau tetapi beliau berpendapat isu ini adalah isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Beliau secara peribadi tidak mahu melukakan perasaan mana-mana penganut agama lain.

Kebaikan dan keihkhlasan datang dalam pelbagai bentuk. Jasper pernah meminjamkan kereta beliau kepada saya untuk memudahkan urusan solat Jumaat saya. Jasper juga pernah bertanya mengenai solat lima waktu saya sebagai seorang Muslim.

Mesej daripada cerita saya ini sangat mudah. Pemantapan perpaduan muncul dalam keadaan yang paling mudah dan ringkas. Perpaduan kaum boleh dicapai menerusi pergaulan dan komunikasi yang jujur. Adalah amat malang bagi sebuah negara yang ingin mencapai status negara maju tetapi pada masa yang sama, masih ada antara kita yang mempunyai sifat prasangka terhadap bangsa lain.

Cerita saya ini bukan hanya berlaku di universiti saya sahaja. Saya percaya di tempat-tempat lain, pergaulan mesra dan jujur sesama bangsa lain masih wujud kerana saya percaya di luar sana masih ramai yang optimis bahawa perpaduan kita ini akan dapat dipertahankan. Sebelum saya akhiri penulisan pertama ini, jangan lupa doakan kejayaan pasukan saya.

Sekiranya kami menang, kami akan mewakili negara ke Washington D.C untuk pusingan peringkat antarabangsa!

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.