26 JAN — Timbalan Menteri Pendidikan 2 merangkap Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan, baru-baru ini ada menyatakan bahawa masyarakat di negara ini seharusnya ketagih dengan amalan membaca.
Ini kerana, menurutnya, ia dapat melahirkan sebuah masyarakat yang berproduktiviti tinggi selain mampu bersaing di persada dunia yang semakin mencabar.
Apa yang disebutkan oleh Kamalanathan itu amat menarik untuk diperhalusi dan dijadikan iktibar berharga kepada semua. Daripada melihat perbuatan ketagih sebagai sesuatu yang negatif, ia boleh digembleng menjadi sebagai sesuatu yang positif.
Apa tidaknya, sejak kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan pelbagai insiden yang satu ketika dahulu tidak pernah terlintas akan berlaku di negara kita. Situasi itu bukan sahaja mengakibatkan suasana persekitaran negara terus berkocak bahkan rakyat semakin rimas.
Saban hari, ada sahaja perbuatan memfitnah di laman sosial, perkongsian dan penyebaran klip video yang mengaibkan seseorang hinggalah kepada tindakan gosip terhadap musuh, semuanya dilakukan secara sewenang-wenangnya dan tidak terkawal.
Dari satu sudut, masyarakat kita nampaknya lebih terikut-ikut dengan elemen negatif. Lebih malang lagi, mereka cenderung dengan isu-isu yang panas, sensasi serta memberi aib kepada orang lain. Secara tidak langsung juga, tindakan itu menggambarkan ketidakmatangan dan kecetekan pemikiran rakyat bagaimana untuk menguruskan permasalahan yang berbangkit.
Pendekatan sebegini, bagi mereka adalah lebih berkesan dan memberi impak jangka pendek. Malangnya, apa yang tidak disedari oleh mereka ialah ketagihan terhadap elemen-elemen negatif bukan sahaja memberi kesan jangka panjang kepada diri sendiri bahkan juga kepada kesejahteraan negara, khususnya.
Justeru apa faedahnya mereka ketagih dengan elemen-elemen negatif ini? Mengapa begitu banyak kes yang berlaku? Apakah individu atau kumpulan-kumpulan sedemikian sememangnya berniat untuk melihat kemusnahan negara tercinta ini?
Sebaik-baiknya, sebelum melakukan sesuatu, mereka harus berfikir panjang dan bertanya kepada diri sendiri apakah tindakan yang ingin dilakukannya didorong oleh kemarahan dalaman ataupun faktor sampingan lain.
Oleh itu, kepada mereka yang masih ketagih dengan tabiat masing-masing, salurkan ketagihan itu kepada perkara-perkara yang berfaedah. Antaranya ketagih untuk menghapuskan rasuah dan ketirisan, ketagih untuk membasmi kadar jenayah ataupun memberikan kualiti perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Dalam kalangan pemimpin politik, nasihat membina ingin ditujukan.
Cukuplah dengan politik yang keterlaluan. Janganlah gunakan kedudukan atau pangkat yang dimiliki untuk meraih kepentingan peribadi semata-mata. Sebaliknya, mereka perlu sedar bahawa tugas sebagai seorang wakil rakyat adalah untuk menunaikan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
Kepada kumpulan-kumpulan pendesak pula, hentikan segala polemik yang boleh memecah-belahkan perpaduan nasional. Kurangkan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menganggu-gugat keharmonian negara. Gerakkan perjuangan mereka ke arah menyatupadukan negara.
Perubahan kepada perkara yang positif tidaklah sukar namun persoalannya berapa ramaikah daripada kita yang bersedia untuk menyahut seruan ini?
Ataupun ia hanya akan menjadi slogan kosong semata-mata?
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
