5 JAN — Kita sudah melepasi tahun 2013 yang hanya tinggal kenangan. Segala peristiwa samada baik atau buruk elok kita lupakanlah, usah dikenang lagi. Sedetik mahupun semalam yang berlalu ianya bukan milik kita lagi sebab kita tidak mampu mengembalikan detik itu ke masa kini, jika kita mahu.

Cuma bila menjelang tahun baru, umur kita pun semakin meningkat. Badan pun sudah tidak segagah dulu. Tenaga pun tidaklah sehebat dulu. Dari umur 1 hari kita hidup sampailah ke hari ini, waktu hanyalah sekadar musim yang datang dan pergi.

Kita menjenguk ke belakang, betapa hidup ini memang memenatkan. Kita kadang-kadang terasa penat dengan watak kita di dunia ini. Ada masa kita menjadi diri kita, ada masa kita perlu menghormati persekitaran dan sekeliling, maka kita tidaklah menjadi diri kita lagi. Jadi bukan setiap lakonan yang kita lakonkan kita selesa dengan babak yang perlu kita mainkan itu.

Ada masa kita kalah, ada masa kita menang. Begitulah percaturannya walau semua kita mahu menjadi pemenang. Siapa yang suka pada kekalahan? Walau kalah itu pun sebenarnya penting dan perlu untuk menjadi penyebab kita bangkit untuk menjadi pemenang. Yang perlu ada dalam diri kita hanyalah kesabaran.

Apapun saya selalu menjadikan filem “Outsourced” sebagai rujukan. Filem yang diterbitkan pada tahun 2006 ini mengisahkan orang Amerika yang terpaksa hidup dan menyesuaikan diri dengan persekitaran, pemikiran dan budaya masyarakat India di negara itu.

Watak utama dalam filem in Todd Anderson (lakonan Josh Hamilton) akhirnya berjaya menyesuaikan diri setelah mendengar pandangan dan nasihat dari seorang kawannya yang berbangsa Amerika yang sudah lama menetap di India. Katanya, kita perlu menjadi orang India untuk tinggal di India.

Untuk saya pula, kita perlu menghayati setiap watak dan babak yang kita lakonkan tanpa mengira itu babak yang kita suka ataupun tidak. Dari situ akan datang keselesaan juga kebahagiaan.

Maknanya jika merujuk diri saya sebagai seorang busker, saya mampu menyanyikan lagu dangdut, pop, reggae, dance, apa saja yang orang suka, itulah yang terbaik. Saya merasa puas apabila setiap lagu yang saya nyanyikan sewaktu busking atau sewaktu membuat persembahan di majlis-majlis komersial mendapat penghargaan dari para pengunjung mahupun penganjur yang menjemput saya.

Untuk saya tahun 2013, hanyalah tahun yang melengkapkan skrip cerita saya sebagai seorang pelakon dan pengembara di bumi Tuhan ini. Ianya tetap menarik jika kita campur, tolak, darab dan bahagi. Kita hanyalah sebahagian dari watak kecil, atau jika dalam permainan catur, kita hanyalah para ‘soldier’ yang perlu bekerja untuk kemenangan ‘King’ juga ‘Queen’.

Apa pilihan lain yang kita ada? Kita hanyalah orang kebanyakan, bukan dilahirkan sebagai anak raja atau anak menteri. Jadi perkara yang terbaik jika kita faham siapa kita dan di mana duduknya kita ini, kita akan lebih mengerti dan lebih relaks.

Anggap saja cerita-cerita bodoh dan cerdik yang berlaku di sekeliling kita itu sebagai ‘watak-watak yang sedang bekerja melakonkan watak mereka’.

Apapun untuk tahun 2013, ianya tetap menarik bagi perjalanan hidup saya sebagai seorang ‘busker’ (penghibur jalanan) yang tinggal di negara membangun seperti negara kita ini.

Pada 21 Disember 2013 yang lalu, berlangsunglah sebuah program yang dianjurkan oleh ‘My Buskers Club’ (MYBC) yang berlangsung di Dataran Underground, Dataran Merdeka.

Program tersebut yang namanya ‘Showcase Amal Bawah 1 Tanah’ dianjurkan untuk kutipan amal  mangsa banjir di Pantai Timur’ sana. Selain itu bersempena 1 tahun kelahiran MYBC, diadakan berbagai upacara termasuklah majlis penganugerahan sijil untuk para busker yang otai juga yang baru.

Saya turut menerima anugerah berbentuk Sijil Penghargaan Khas 2013 dari MYBC dengan sokongan pihak Kementerian Pelancongan sebagai penghargaan atas sumbangan saya dalam industri busking tanahair. Sebelum ini kita lihat busker umpama pengkarya yang tidak didendang, hari ini persepsi itu sudah berubah dan diharap ianya akan berterusan.

Selain saya, rakan seperjuangan Aznan Aziz atau lebih dikenali dengan Nan Blues juga mendapat anugerah yang sama. Selainnya KKSY Percussion menerima anugerah Komitmentasi Cemerlang. Juga kumpulan busker yang sedang meningkat naik namanya, Genji Buskers menerima anugerah Transformasi Cemerlang.

Nan Blues adalah rakan seperjuangan saya dalam aktiviti busking. Beliaulah yang menggalak dan mengajak saya untuk busking di Pasar Seni awal tahun 2000 dulu. Kita pernah melalui berbagai cerita dan rencah hidup yang berwarna warni dan hari ini beliau memang layak berbangga dengan pencapaian, penghargaan dan sijil yang diterimanya.

Sijil penghargaan ini mungkin tiada nilainya bagi orang lain, tapi bagi saya ianya penting. Sekurang-kurangnya menjadi kenangan untuk anak-cucu apabila kita sudah tiada di dunia ini lagi.

Inilah julung kali diadakan majlis penghargaan untuk golongan busker yang sebelum ini jarang mendapat perhatian dari pihak kerajaan apatah lagi penghargaan. Apa yang kita dapat sebelum ini kebanyakannya hanyalah pandangan yang skeptikal, terutama dari pihak penguasa mahupun masyarakat kita sendiri.

Terimakasih kepada pihak MYBC juga presidennya encik Wady Hamdan atas inisiatif dan perhatian yang diberikan kepada kami, orang lama.

Cuma seperti kata Nan Blues kepada saya sewaktu pertemuan kami tempohari, hari ini terlalu ramai busker. Semua anak muda punya minat yang tinggi untuk menjadi busker. Akhirnya kami hanya ketawa sendiri tanpa sebab. Apabila segalanya semakin terbuka, kita perlu menghadapi kerana inilah namanya ‘demokrasi’.

2014 yang sedang kita lalui ini jika kita congak secara kasar, dengan segala beban dan segala-galanya yang akan naik, memanglah kita akan pening jika memikirkannya. Siapa yang suka menanggung beban?

Apapun, selagi kita masih boleh cari makan, kita perlu menghadapi segalanya dengan tabah. Kita busking, selagi ada orang yang ‘donate’ walau 1 ringgit, itu bermakna kita masih boleh bernafas. Atau apabila datangnya waktu bilamana setiap ringgit itu menjadi semakin penting dan semua rakyat semakin risau dan pening sehingga tiada masa nak layan lagu dari para busker, apa pilihan lain di fikiran kita ketika itu?

* This is the personal opinion of the columnist.