SEPT 22 — Sohaimi Mior Hassan adalah seorang penyanyi dan penulis lagu (singer/songwriter) kelahiran Bruas, Perak yang popular di tahun 80an dulu. Lagu hit beliau ‘Epilog Cinta Dari Bromley’ masih lagi popular dan ‘evergreen’ sehingga ke hari ini.

Keistimewaan Sohaimi bagi saya adalah suaranya. Tidak ramai penyanyi di Malaysia yang memiliki kualiti suara seperti beliau. Kalau di Indonesia mereka punya Brorey Marantika, di sini Sohaimi Mior Hassan. Sebutan untuk setiap patah nyanyian yang dilagukan jelas dari segi intonasi dan penghayatan.

Beliau juga punya kelebihan dalam penulisan lagu dan lirik. Semua lagu-lagu yang terdapat dalam album-albumnya seperti album ‘Prolog’(1981), Dedikasi ( 1983 ), Misteri Cinta ( 1984 ) dan Suatu Hari Nanti ( 2007 ) ditulis dan dikarangnya sendiri. itulah kelebihan Sohaimi dibandingkan dengan penyanyi-penyanyi popular lain di zamannya.

Tidak ramai penyanyi solo di Malaysia yang berbakat dan berjaya sebagai singer/songwriter. Antara mereka yang dikenali seperti arwah Tan Sri P.Ramlee, M.Nasir (Datuk ), Zubir Ali, Ali Sobree, Aimen, Bob Rezal dan Waizek.

Yang paling diterima ramai dan popular hanya P.Ramlee, M.Nasir dan Sohaimi. Selainnya hanya sebagai pelengkap kalendar dan khazanah seni di negara ini.

Dari segi mutu dan penciptaan lagu, bagi saya lagu-lagu ciptaan Sohaimi melodinya biasa saja, tipikal tapi sesuai dengan citarasa pendengar Melayu terutamanya. Aset beliau adalah suara, itu tidak ada siapapun dapat menafikan.

Sewaktu di kampung awal tahun 80an dulu, waktu itu beliau masih berkhidmat dengan tentera laut yang berpengkalan di Lumut (Sohaimi adalah abang kepada penulis ). Ada masanya beliau akan bercuti di kampung dan saya masih ingat suatu waktu itu beliau melaungkan azan subuh di surau yang jaraknya hanya 20 meter dari rumah saya. Mendengar suara dan lagu azannya lantas membangunkan saya dari lena dan hilang rasa mengantuk.

Sohaimi Mior Hassan
Sohaimi Mior Hassan

Saya juga terpengaruh dengan muzik folk kerana Sohaimi. Walau beliau bukan seorang folk singer tapi genre muzik dan lagu-lagu yang didengarnya mempengaruhi dan mengajar saya tentang banyak perkara tentang muzik dan pengetahuan terutamanya.

Saya mendengar lagu Dylan, Cat Steven, Ebiet, Don William, Jim Croce dan Kenny Rogers antaranya melalui Sohaimi. Beliau juga tidak terpengaruh dengan cara hidup seorang artis yang glamour walau album pertamanya ‘Prolog’ berjaya mencecah jualan melebihi 50 ribu unit pada awal tahun 80an dulu. Tak glamour tapi album laku, itu yang terbaik!

Dari situ buat saya berfikir bahawa untuk menjadi seorang penyanyi tidak perlulah kita hias diri kita penuh dengan make-up dan pakai ‘blazer’ atau ‘coat’ walau di tengah hari rembang.

Sohaimi lahir dalam pakej yang sempurna walau beliau tidaklah berwajah kacak sekacak penyanyi popular di zamannya. Sempurna kerana proses rakaman, susunan dan gubahan lagu yang terkandung dalam album-albumnya berkualiti dan penerbitnya Ruslan Imam adalah seorang penerbit yang berilmu dan bijak.

Diantara semua album beliau yang diterbitkan, saya paling suka album pertamanya ‘Prolog’ yang terkandung lagu hit evergreen ‘Epilog Cinta Dari Bromley’ itu. Kebanyakan lagu-lagu dalam 3 album awalnya saya masih ingat dan hafal lirik-lirik lagunya sampailah ke hari ini. Waktu itu idea dan kejujuran beliau dalam berkarya jelas melalui mesej dalam lagu-lagu yang disampaikan. Waktu yang terbaik bagi seorang pengkarya adalah bila setiap karya yang dihasilkan tanpa punya kepentingan yang berlebihan.

Di dalam album Prolog terdapat 10 buah lagu ciptaan dan lirik oleh Sohaimi sendiri. Secara peribadi saya suka lagu Aku Sering Begini, Suatu Aku Yang Terlena, Senandung Getah Asli antaranya. Pun terdapat sebuah lagu yang berjudulu Ros yang melodinya seakan sama dengan melodi lagu Love Minus Zero ( Bob Dylan ). Cuma kelebihan suara Sohaimi dan gubahan muzik yang menarik berjaya membezakan kesamaan antara kedua lagu tersebut.

Penguasaan bahasa dalam lagu-lagunya juga baik dengan susunan bahasa-bahasa puisi yang mudah difaham. Dalam album ke-3 beliau’Misteri Cinta’ terdapat sebuah lagu ‘Di sini tiada kebersihan lagi’ yang bertemakan pencemaran alam dan kritik sosial.

Di negara ini tidak ramai penyanyi yang punya mutu suara yang berkualiti. Saya cukup kagum dengan mutu suara A.Ramlie ( arwah ) penyanyi popular 60an, 70an dan 80an. Selainnya saya suka juga suara Ismail Haron( arwah ) penyanyi popular kelahiran Singapura di tahun 70an dulu.

Ramai rakan seangkatan dengan saya atau yang lahir di era 60an atau 70an merupakan peminat Sohaimi. Biasanya jika mereka peminat M.Nasir atau Ebiet, mereka juga adalah peminat Sohaimi.

Waktu itu juga syarikat rakaman agak berani mengeluarkan budget untuk penyanyi-penyanyi yang lari dari tema komersial dari segi paras dan rupa. EMI pernah menerbitkan album penyanyi folk/country Aimen di tahun 80an dulu juga Bob Rezal turut bernaung di bawah syarikat yang sama.

Nasib Aimen agak malang kerana album-albumnya gagal menarik minat dan selera pendengar. Bob Rezal pula sempat popular dengan satu dua lagu seperti lagu hitnya Elegi Rindu yang mirip lagu Ebiet dari segi mood dan melodinya.

Apa pun kumpulan Kembara adalah yang terbaik dan menjadi pilihan anak-anak muda yang berjiwa rugged di era 80an dan 90an dulu. Masuk tahun 2000 tidak ada penyanyi yang menarik perhatian saya. Kebanyakan mereka harapkan glamour saja, bakat tidak seberapa. Yang buat duit hanya para komposer kerana penyanyi era itu sehingga ke hari ini kebanyakannya hanya tahu menyanyi saja.

Sohaimi mengambil keputusan bersara dari dunia seni suara pada tahun 1984 di saat namanya mula dikenali dan meniti di bibir peminat seni suara tanah air. Saya percaya jika dia meneruskan karier nyanyiannya sehingga ke hari ini, tahapnya mungkin sama dengan M.Nasir.

Selepas 23 tahun sepi tanpa album, beliau muncul semula dan saya turut terlibat sebagai penerbit albumnya yang berjudul Suatu Hari Nanti yang diterbitkan pada tahun 2007. Sebenarnya saya agak keberatan untuk menerbitkan album beliau kerana namanya yang besar dalam industri muzik mainstream.

Album-albumnya juga diterbitkan oleh penerbit yang hebat-hebat belaka dengan kualiti rakaman dan studio yang standard. Maknanya jika saya terbitkan, ia akan dijalankan di studio yang kecil dan agak terbatas dari segi kemudahan dan peralatan. Apa pun akhirnya album barunya itu berjaya juga disiapkan dalam kondisi yang sederhana tapi masih menarik saya kira walau agak terbatas baik dari segi penjualan mahupun promosi, mungkin kerana diterbitkan secara indipenden.

Cuma yang agak saya kesalkan dari segi idealismanya dalam berkarya. Nyata Sohaimi dulu di era 80an dan Sohaimi di tahun 2007 tidaklah sama dari segi kejujuran dan kepentingan. Apa pun itulah perjalanan hidup setiap pengkarya, sama juga seperti M.Nasir dulu dan sekarang, manakan sama?

Sohaimi akhirnya berjaya juga menembus pasaran mainstream dengan lagunya Kalau Berpacaran duet antara beliau dengan penyanyi Ana Raffali yang diterbitkan pada tahun 2010.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.