16 SEPT — Frasa dan konsep “Satyagraha” dipelopori oleh Mahatma Gandhi (2 Oktober 1869 – 30 Januari 1948) semasa beliau berada di Afrika Selatan. Kempen satyagraha pertama dibuat pada 1908 sebagai penentangan terhadap Undang-undang Kulit Hitam.
Kemudian, konsep “berpegang teguh pada kebenaran” ini digunakan oleh oleh Gandhi apabila memperjuangkan kemerdekaan India daripada penjajahan British.
Dari segi makna, “satya” dalam Bahasa Sanskrit membawa makna “kebenaran” manakala “agraha” bermakna “berpegang teguh”. Konsep satyagraha menjadi asas kepada perjuangan “ahimsa” (non-violence; tanpa keganasan) dan “civil resistance” (penentangan sivil) yang dibawakan oleh Gandhi.
Sejak awal, Gandhi menjelaskan bahawa satyagraha – memperjuangkan kebenaran – mampu mengatasi kezaliman, ketidakadilan dan diskriminasi di mana-mana pelosok dunia.
Maka, tidak hairanlah semangat satyagraha turut mempengaruhi perjuangan Nelson Mandela menentang dasar aparteid di Afrika Selatan serta gerakan perjuangan hak asasi oleh Martin Luther King di Amerika Syarikat.
Sesungguhnya Gandhi adalah antara pemimpin dunia yang amat saya kagumi, malah menjadi sumber inspirasi dalam kehidupan saya sejak kecil.
Konsep satyagraha yang dibawakannya kembali muncul menjadi perbualan apabila filem “Satyagraha” (2013) tulisan, arahan dan terbitan Prakash Jha ditayangkan di pawagam baru-baru ini.
Filem Hindi ini ternyata kurang mendapat sambutan berbanding filem-filem komersial lain. Hal ini tidaklah menghairankan. Malah, apabila saya dan seorang rakan editor sebuah majalah pergi menonton filem ini di Pawagam Odeon, Kuala Lumpur pada 9 September 2013, jumlah penonton tidak sampai sepuluh orang.
(Sekadar perbandingan, apabila saya dan Shahrul Nizam Abd Hamid pergi menonton filem “Tanda Putera” pada 2 September 2013, jumlah penonton juga tidak sampai sepuluh orang.)
Sementara “Tanda Putera” tidak memberikan apa-apa kesan pada minda dan jiwa – kecuali rasa menyampah dan sakit kepala – filem “Satyagraha” pula merangsang pemikiran dan membuatkan saya melihat pelbagai realiti di Malaysia disajikan pada layar perak!

Mangsa penindasan bangkit berjuang
Prakash Jha antara pembikin filem di India yang amat berani mengangkat tema-tema politik dan sosio-politik. Antara filemnya yang menjadi sebutan peminat karya bermutu adalah “Damul” (1984), “Mrityudand” (1997), “Gangaajal” (2003) dan “Apaharan” (2005).
Saya tidak ingin mengulas keseluruhan filem di sini. Cukuplah sekiranya saya katakan bahawa filem ini membawakan semangat satyagraha serta membuktikan bahawa perjuangan demi kebenaran masih menjadi perkara penting dalam kehidupan rakyat biasa.
Dalam filem “Indian” (1996) lakonan Kamal Haasan, seorang wanita (lakonan Manorama) menjadi mangsa birokrasi dan amalan rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan sehingga dia gagal menerima bantuan kewangan (pampasan) selepas kematian suaminya.
Isu yang sama (masih) berulang pada tahun 2013 dalam filem “Satyagraha”. Seorang balu bernama Sumitra (lakonan Amrita Rao) dijanjikan pampasan oleh seorang politikus tetapi dia terpaksa melalui masalah sama seperti dialami watak lakonan Manorama dalam filem “Indian” (atau “Hindustani” dalam versi Hindi dan “Bharatheeyudu” dalam versi Telugu).
Si bapa mentua, Dwarka Anand (lakonan Amitabh Bachchan) menampar seorang pegawai kerajaan; lalu ditahan polis. Sebagai seorang pengikut ajaran Gandhi dan pejuang kebenaran, Dwarka tidak mahu meminta maaf semata-mata untuk dibebaskan.
Dari situ, bermulalah perjuangan menuntut kebenaran dan perjuangan membebaskan Dwarka. Selepas bebas, bekas guru itu tidak berdiam diri. Sebaliknya beliau memulakan gerakan perjuangan menuntut keadilan dan “satya” (kebenaran) bagi sekian ramai penduduk tertindas di Ambikapur.
Penggambaran dibuat di Bhopal dan New Delhi. Wajar dinyatakan bahawa sebuah kampung kecil bernama Ralegan Siddhi di wilayah Ahmednagar, Maharashtra menjadi salah satu lokasi utama bagi penggambaran filem ini.
Tempat berkenaan adalah kampung yang dibangunkan oleh Anna Hazare (Kisan Baburao Hazare), aktivis sosial yang tampil memperjuangkan usaha pembangunan luar bandar, ketelusan birokrasi kerajaan serta membongkar amalan rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan.
Semasa menonton filem “Satyagraha”, saya tidak terlepas daripada membanding-bandingkan perwatakan dan semangat perjuangan watak Dwarka dengan Hazare. Aktivis sosial itu pula secara terang-terangan merupakan pengikut ajaran Gandhi.
Dalam konteks semasa dan berdasarkan perkembangan terkini di Malaysia pula, kisah yang disajikan menerusi filem Hindi ini membuatkan saya “melihat” perwatakan Datuk A. Samad Said (Pak Samad) dalam diri watak Dwarka.

Rakyat bersuara menerusi media sosial
Lagu “Janta Rocks” (People Rock; Rakyat Menggegar) mampu memberikan semangat kepada orang ramai bahawa kuasa sebenar terletak pada tangan mereka selaku The Third Force.
Lagu “Raghupati Raghava Raja Ram” merupakan lagu kegemaran Ghandi dan dinyanyikan semasa beliau mengepalai perarakan Satyagraha dari Sabarmati ke Dandi pada 6 Mac 1930.
Lagu itu masih dinyanyikan dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia; termasuk dalam filem Hindi seperti “Bharat Milap” (1942), “Jagriti” (1954), “Purab Aur Paschim” (1970), “Kuch Kuch Hota Hai” (1998), “Lage Raho Munna Bhai” (2006) dan “Gandhi, My Father” (2007).
Muzik lagu berkenaan menjadi muzik latar dalam filem “Satyagraha” beberapa kali; sekali gus menaikkan semangat para watak dan para penonton. Malah, versi baru lagu tersebut dalam filem ini disajikan dengan penuh semangat yang menggegarkan panggung wayang.
Sesungguhnya filem ini boleh dikaitkan secara langsung dan tidak langsung pada suasana sosio-politik dan perjuangan satyagraha di Malaysia pada masa kini.
Tidak mustahil bahawa Ambikapur di India boleh jadi Siru Kambam di Taiping atau Dataran Merdeka di Kuala Lumpur. Atau mana-mana kampung, pekan dan bandar di Malaysia.
Semasa menonton filem ini, beberapa kali saya memberitahu rakan editor yang menemani saya ke pawagam bahawa kisah yang disajikan terlalu hampir sama dengan realiti di Malaysia. Seolah-olah filem itu berkisah tentang suasana sosio-politik tanah air.
Sebagaimana Rakyat (huruf besar disengajakan) di Malaysia bersuara menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter serta portal berita dalam talian bagi mendedahkan kepincangan pemerintah dan memperjuangkan kebenaran (satyagraha), begitulah juga dalam filem “Satyagraha”.
Bezanya, sementara media arus perdana dan stesen televisyen di negara bertuah ini dikatakan sekadar menjadi “bajingan” dan “anjing suruhan” kepada penguasa, stesen televisyen dalam filem ini digambarkan lebih bermaruah dan mampu bersikap objektif dalam melaporkan kebenaran serta mendedahkan kepincangan.
Jan Satyagraha atau Jawatankuasa Satyagraha Rakyat yang diasaskan dan diterajui secara langsung oleh Dwarka mengingatkan saya kepada “gerakan” yang diterajui oleh Pak Samad. Jumlah “pengikut” dan “penyokong” Pak Samad semakin bertambah dari hari ke hari.

Ugutan kerajaan dan pujukan pembangkang
“Kamu telah memusnahkan hidup kami!” Demikian kata seorang balu miskin beranak dua kepada Dwarka kerana peluangnya mendapatkan pampasan musnah berikutan gerakan satyagraha menentang penguasa.
Di sisi yang lain pula, ada dialog yang membawa makna seperti berikut: “Sekian lama kami bersabar walaupun kami dizalimi. Golongan yang tidak berdosa terus menderita. Tuhan, berilah kami kekuatan untuk memperjuangkan hak dan kebenaran.”
Babak mogok lapar dalam filem ini segera mengingatkan saya kepada “mogok klasik” yang dilakukan oleh P. Waythamoorthy selama 21 hari sebelum “bekas pelarian” itu mendapat undangan khas daripada pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak untuk menandatangani memorandum persefahaman pada 18 April 2013; dan seterusnya dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Watak Dwarka juga menerima undangan daripada penguasa untuk mengadakan rundingan tertutup. Sebaliknya dia diugut secara halus dengan “bukti” bahawa lebuh raya yang runtuh adalah disebabkan oleh kesilapan anaknya, Akhilesh (lakonan Indraneil Sengupta), seorang jurutera.
(Mujurlah kesalahan tidak diletakkan pada bekas Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri S. Samy Vellu yang dihantar oleh BN ke India dengan gaji tahap menteri untuk menguruskan pembinaan lebuh raya di sana!)
Sementara Ketua Menteri digambarkan terlibat sama dalam konspirasi “menghapuskan” Dwarka dan perjuangan satyagraha yang diterajuinya, parti pembangkang Bharat Mukti Dal cuba menyokong Jan Satyagraha (“gerakan perjuangan keadilan rakyat”) semata-mata bagi kepentingan politik.
Apabila melihat gerakan satyagraha pada skala besar-besaran, saya juga tertanya-tanya dari mana sebenarnya Dwarka mendapatkan sumber kewangan bagi menampung segala kos. Atau mungkinkah kesemuanya dilakukan secara sukarela dan ikhlas oleh para pengikut demi satyagraha?
Watak wartawan bernama Yasmin Ahmed (lakonan Kareena Kapoor) sempat mengingatkan dan memberikan amaran bahawa politikus dan parti Bharat Mukti Dal mungkin akan “merampas” (hijack) perjuangan Jawatankuasa Satyagraha Rakyat demi kepentingan peribadi.
Perjuangan ahimsa yang dibawakan oleh Dwarka bertukar menjadi keganasan dan pertempuran bersenjata berikutan campur tangan puak pelampau dan politikus yang licik mengatur strategi.
Ya, “Satyagraha” bukan sekadar sebuah fiksyen berdasarkan angan-angan dan imaginasi liar seperti disajikan menerusi filem propaganda “Tanda Putera”. Sebaliknya gambaran realiti politik dan sosio-politik – bukan hanya di India, tetapi juga di Malaysia pada saat ini.
Malangnya, semasa anda membaca catatan ini pada ulang tahun ke-50 sambutan Hari Malaysia, filem “Satyagraha” mungkin sudah tidak ditayangkan di pawagam tempatan.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
