2 SEPT — Tarikh 19 Oktober 2013 menandakan genap sedekad pemergian Dr Othman Puteh. Besarnya sumbangan Allahyarham dalam melahirkan penulis generasi muda tidak dapat dinafikan, apatah lagi dipertikaikan.

Tanyalah pada mana-mana penulis yang muncul dalam persada sastera kebangsaan mulai awal tahun 1980-an dan pasti mereka mengakui “Raja Sastera Remaja” itu sebagai pembimbing dan guru; secara langsung atau tidak langsung.

Malangnya, seperti yang saya sentuh dalam makalah mengenai Bulan Bahasa Kebangsaan (The Malay Mail Online, 22 Julai 2013), pelbagai pihak – termasuk persatuan penulis dan golongan penulis yang pernah menjadi anak didik – sudah semacam melupai sumbangan beliau.

Bagi kelompok Sasterawan Kavyan — penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia — arwah turut menjadi pendorong dan pemberi motivasi.

Advertisement

Sesungguhnya beliau yang lahir di Kuala Sungai Baru, Melaka pada 5 Januari 1944 adalah “mahaguru” dan “bapa” kepada begitu ramai penulis muda tanpa mengira kaum dan darjat.

“Pasti saja kehilangannya amat mengejutkan. Othman adalah satu-satunya pendorong angkatan muda yang terus menerus merangsang. Saya mengharapkan akan ada watak lain yang menyambung baktinya.”

Demikian Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) mencatatkan pada halaman depan Biografi Othman Puteh (2001) apabila saya meminta beliau menulis sesuatu semasa kami bertemu pada 23 Oktober 2003.

Advertisement

Saya mengenali Allahyarham secara peribadi sejak menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1991.

Sejak itu, pada hampir setiap kali kami bertemu, Pak Haji (demikian saya gemar memanggil beliau) akan menyatakan perlunya lebih ramai penulis kaum India terlibat dalam sastera Bahasa Malaysia.

Pesanan, harapan kepada DBP, Gapena

Saya ada meminta pandangan dan catatan pengalaman mantan peserta MPR untuk dimuatkan bersama dalam makalah ini. Malangnya, sehingga makalah ini ditulis, paparan saya di sebuah laman yang dikhaskan bagi mantan MPR tidak mendapat sebarang maklum balas.

Karya-karya Dr Othman tidak terikat pada konvensi.
Karya-karya Dr Othman tidak terikat pada konvensi.

Mungkin juga generasi muda peserta MPR (mulai 2004) tidak berapa mengenali Allahyarham serta kurang membaca karya beliau. Saya berharap DBP serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) di mana Pak Haji pernah memegang jawatan peting semasa hayatnya akan melakukan sesuatu sebelum arwah terus dilupai dan diabaikan terus.

Pada Ogos 1999, saya menyatakan kepada beliau — selain Pak Samad — mengenai cadangan penubuhan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) supaya penglibatan penulis kaum India dalam sastera kebangsaan lebih menyerlah dan nyata. Allahyarham menyatakan sokongan, mengucapkan tahniah serta menasihatkan supaya kami aktif dan berbobot.

Sewaktu Kavyan merancang untuk menganjurkan acara “Baca Cerpen Kavyan” pada 29 Ogos — 2 September 2003, urus setia sebulat suara menyokong supaya Pak Haji diberikan penghormatan membaca cerpen pertama – sementara Pak Samad menyampaikan cerpen terakhir.

Saya pernah berkongsi sebahagian kisah ini menerusi tulisan di akhbar Utusan Malaysia (27 Oktober 2003) dan majalah Minda (Oktober 2004) agar sumbangan serta kehebatan Allahyarham tidak hilang dan dilupakan orang.

Arwah sempat dilantik menjadi Penasihat Kehormat Kavyan pada 27 September 2003 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada 19 Oktober 2003 di Kota Kinabalu, Sabah.

Kavyan menganjurkan acara “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” dari semasa ke semasa bagi mengenang sumbangan Allahyarham kepada Kavyan khasnya dan sastera kebangsaan amnya.

Khalayak pelbagai kaum terlibat dalam penyampaian cerpen-cerpen beliau semasa acara di Kolej The One Academy, Bandar Sunway (10 April 2004) dan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam (24 Oktober 2009).

Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dan genap sepuluh tahun pemergian Dr Othman, Kavyan dan DBP akan menganjurkan satu lagi acara “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” pada 19 Oktober 2013 di Menara DBP, Kuala Lumpur.

Buku masih terus diulang cetak

Harimau mati meninggalkan belang, Dr Othman pergi meninggalkan nama dan karya. Kavyan berusaha untuk memastikan bahawa nama dan karya Allahyarham tidak terus terpinggir dan terabai.

Dalam hal ini, usaha yang dilakukan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menterjemahkan buku-buku Dr Othman wajar dipuji. Novel Kalut (1997) diterjemahkan dengan judul Turmoil (2010) manakala Munajat di Perkebunan (1990) diterjemahkan menjadi The Path Through the Plantation (2011).

Sebuah cerpen berbentuk ‘tribute’ kepada Dr Othman.
Sebuah cerpen berbentuk ‘tribute’ kepada Dr Othman.

Arwah juga pernah menulis novel kanak-kanak berjudul Orang Buruan secara bersiri dalam majalah Dewan Pelajar (1970-1976) sebelum diterbitkan dalam bentuk buku pada 1977. Cetakan keempat diterbitkan semula oleh DBP pada 2010.

Sementara itu, Oxford Fajar (Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd) pada 2010 menerbitkan buku Irama Kanak-kanak yang dihasilkan oleh Othman Puteh dan Mansor Ahmad Saman. Kamus bergambar yang diusahakan Allahyarham juga masih terus diulang cetak.

Cerpen “Bapaku Sasterawan” (Sarina, Mac 2004) yang kemudian dimuatkan dalam buku Kathakali (2009) mengambil inspirasi daripada kisah beliau. Malah, cerpen itu semacam tribute kepada arwah.

Bagi “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” yang dijadualkan pada 19 Oktober 2013, Kavyan baru sahaja mengirim surat kepada Mohd Khair Ngadiron selaku pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif ITBM untuk sama-sama terlibat menjayakan acara. Kami menantikan maklum balas dengan peuh harapan.

Selain daripada mengimbas ketokohan dan sumbangan Allahyarham yang digelar “Raja Novel Remaja”, acara yang diadakan juga bertujuan memupuk minat membaca dan menghayati karya beliau dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum.

Acara “Baca Cerpen Kavyan: Sedekad Kemudian” berlangsung di Galeri Shah Alam pada 1 September 2013 dan serta-merta Jawatankuasa Kavyan sudah memulakan kerja-kerja merancang dan menjayakan “Baca Cerpen Dr Othman Puteh”.

Sebanyak 20 cerpen karya Allahyarham akan dijadikan teks bacaan. Setiap peserta perlu berlatih dan bersedia menyampaikan (bukan sekadar “membacakan”) petikan beberapa halaman sekitar lima minit di hadapan penonton dan pendengar.

Orang ramai yang berminat menjadi peserta (membuat persembahan) atau hadir sebagai penonton, boleh menghubungi [email protected] atau melayari www.kavyan.blogspot.com dari semasa ke semasa untuk maklumat lanjut.

* This is the personal opinion of the columnist.