9 OGOS — Si Maznah, wanita Melayu yang menyayangi anjing telah mengatasi sayang seluruh manusia semua bangsa terhadap haiwan itu sepanjang zaman.

Sayang Cina, sayang Inggeris dan sayang Jepun terhadap anjing tidak sampai hendak menjadikannya penganut agamanya. Maznah yang dipercayai mengaku dirinya seorang Islam hingga hendak mengIslamkan anjing-anjing peliharaannya.

Maznah itu Islam bukan kerana dilahirkan dari keluarga Melayu Islam, tetapi dia cuba mewudukkan anjing dalam suasana alunan mensyahadukan Allah di Hari Raya. Apakah dia beramal dengan agamanya, saya tidak tahu. Tetapi dengan usahanya mendidik anjing-anjing bagi menyamai orang Islam, ertinya dia Islam walaupun apa yang dilakukannya itu dikira oleh umat Islam telah menghina Islam.

Apa kena padanya tidak diketahui tetapi orang Islam Melayu tidak dapat menerima perbuatannya dan mereka mengira Maznah sudah menghina agama mereka.

Advertisement

Mungkin dia ada pengetahuan tentang ahli Kahfi yang beriman hidup dan mati di gua itu bersama anjing, maka anjing itu hendak disetarafkan dengan manusia yang beriman. Atau dia terbaca kisah dalam Islam betapa seorang perempuan pelacur menjadi ahli syurga kerana menyelamat anjing dari mati dahaga?

Jika Maznah berpandukan peri kemanusiaan pelacur itu, ternyata fahamannya salah. Benar saya belas wanita itu tinggi tetapi jasanya sekadar beri anjing itu minum supaya ia tidak mati tetapi dia tidak pelihara anjing itu. Bila anjing tidak mati, pergilah anjing itu meneruskan hidupnya.

Syariat Nabi Muhammad SAW melarang membela anjing dalam rumah. Sepanjang kerasulannya di Mekah baginda memerintahkan bunuh anjing bila terjumpa. Hatta apabila baginda berhijrah ke Madinah, ahli-ahli Ansar memelihara anjing dan sukakan anjing. Pun baginda perintah semua anjing dibunuh.

Advertisement

Selain dari anjing itu najis mughalazah yang darjatnya menyamai babi, tindakan baginda itu adalah bagi menanamkan kebencian kepada anjing dan anjing mesti dijauhi.

Oleh kerana ada ketikanya anjing itu ada gunakan kepada manusia, maka baginda benar membela anjing atas sebab tertentu iaitu tujuan keselamatan, bagi mengawal binatang ternakan dan bagi menjagi ladang dari diceroboh.

Tetapi anjing itu adalah tetap anjing dan tempatnya di luar rumah. Itu pun tidak pula dibebaskan ia ke mana-mana di sekitar kawasan rumah. Ia di kawal. Tidak sekali-kali ia boleh dibawa masuk ke dalam rumah, dipeluk, dicium kerana ia bukanlah yang dipelihara seperti kucing.

Dalam keadaan baginda tidak membenarkan anjing hitam dilepas bebas. Bila ada anjing hitam, ia mesti dibunuh seperti yang dilakukan baginda semasa di Mekah dulu. Sebabnya anjing hitam itu diidentitikan dengan syaitan.

Demikian konsep menjaga anjing yang diajar oleh Nabi SAW.

Ada pun Maznah sekalipun cinta pada binatang itu tinggi, tetapi dia telah melakukannya lebih hebat dari segala peminat dan penyayang anjing di serata dunia dan caranya itu amat bertentangan dengan Islam.

Sekalipun manusia boleh menyayangi dan belas kepada haiwan tetapi tidak sampai haiwan itu disetarafkan dengan manusia. Apa laginya anjing yang dimasukkan sebagai dua binatang najis bersama babi.

* This is the personal opinion of the columnist.