KUANTAN, 17 Ogos — Sebuah mahkamah di sini memerintah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjaga sementara budak perempuan yang didera “macam binatang”.
Kanak-kanak itu, 6, ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajah Kalsom, Penor selama sebulan sehingga siasatan polis selesai, lapor Harian Metro.
Ibu Umi Hamzah, 35, berkata perintah tersebut juga secara tidak langsung membatalkan hak menjaga anaknya oleh saudara terdekatnya.
“Saya hadir ke mahkamah ini dengan bermacam-macam perasaan, saya harap kes anak saya mendapat pengadilan yang sempurna selain mendapat perintah mahkamah,” katanya.
“Apabila perintah ini diperoleh secara automatik hak penjagaan yang diberikan kepada ibu angkatnya sebelum ini terbatal.”
Namun Umi dibenar melawat anaknya itu pada bila-bila masa di rumah kebajikan itu yang diselia JKM.
Ditanya mengapa menyerahkan anaknya kepada keluarga angkat, Umi berkata dia bekerja tidak tentu masa selain ada hubungan baik antara anak dan saudaranya.
“Memang tidak sangka nasib anak saya jadi seperti ini. Selepas kejadian itu saya terus behenti kerja untuk beri tumpuan menjaga anak saya,” katanya.
Pada Isnin, akhbar itu melaporkan Umi dilapor geram bila mengetahui anaknya didera “macam binatang” termasuk diberi makan najis dan dicurah sambal cili pada kemaluan.
Mangsa berusia 6 tahun juga didakwa dibotakkan, disimbah air panas, diseterika, dipaksa tidur dalam stor dan dirotan setiap hari.
Umi mendakwa perbuatan terbabit dilakukan saudara perempuannya yang dijadikan keluarga angkat mangsa.