10 JUN — Baru-baru ini,Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku/Akta 174 telah menghantar memorandum untuk menggesa kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Satu usaha yang bagus menentang undang-undang yang bersifat mengekang.

Gerakan ini menegaskan bahawa Akta ini adalah “unconstitutional” yakni bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Saya tidak ingin mengulas isu ini atas sebab perlunya penelitian khusus daripada aspek undang-undang.  Bagaimanapun,selain aspek “legal”, mahasiswa juga perlu mengetahui sejarah di sebalik Akta ini. AUKU ini digubal pada tahun 1971 berikutan Malaysia yang baru sahaja melepasi titik hitam 13 Mei 1969. Kerajaan melihat gerakan mahasiswa yang semakin agresif memperjuangkan isu kemasyarakatan sebagai bahana nasional dan mampu meranapkan usaha “national reconciliation” oleh MAGERAN. Atas nama “memudahkan urusan pentadbiran dan mewujudkan pengurusan universiti yang efisien”, AUKU 1971 mula menapak dalam usaha mengehadkan gerakan mahasiswa.

Namun begitu,impak sebenar wujud pada tahun 1975 apabila Menteri Pelajaran pada ketika itu, membuat pindaan yang drastik dengan memasukkan beberapa seksyen baru yang telah meminimakan peranan mahasiswa di universiti khususnya Seksyen 15 yang dilihat mengongkong pelajar daripada berpolitik.  Menteri berkenaan tidak lain dan tidak bukan, Dr. Mahathir Mohamad. Seorang ahli politik yang sememangnya dikenali dengan tindakan “Machiavellian” untuk melumpuhkan pesaing. Begitulah yang dikatakan oleh lawannya. Rata-rata masyarakat Malaysia tentunya masih mengingati peranannya dalam Operasi Lalang 1987 (menggunakan Printing Presses and Publication Act 1982 untuk mematikan suara media) dan krisis kehakiman 1988.

Apa sebab pindaan ini dilakukan?

Advertisement

Selepas Parlimen mula beroperasi pada 1971, kerajaan Parti Perikatan telah mula mengambil langkah-langkah untuk menguatkan barisannya setelah mengalami kekalahan teruk pada Pilihanraya Umum 10 Mei 1969. Parti GERAKAN diterima masuk ke dalam Parti Perikatan yang kemudiannya bertukar nama ke Barisan Nasional. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula bekerjasama dengan UMNO di Kelantan dari 1973-1978. Senario ini telah melemahkan peranan pihak pembangkang di Malaysia.

Di sinilah, mahasiswa mula memainkan peranan. Mahasiswa mengambil alih “ruang vakum” yang ditinggalkan oleh parti-parti berkenaan dan mula bersuara lantang, membela nasib masyarakat. Impak mahasiswa yang kelihatan secara terang-terangan sejak 1969 sehinggalah ke tahun 1974 menerusi insiden Tasik Utara, siri demonstrasi Baling dan pengaruh Parti Komunis yang dikatakan mula “menular” dalam jiwa anak-anak muda telah memudahkan Dr.Mahathir Mohamad untuk membuat pindaan AUKU.

Baiklah, apa yang berlaku itu perlu dijadikan pedoman. Tetapi, isunya di sini adalah soalan yang diwujudkan oleh AUKU 1971. Akta ini telah wujud lebih kurang empat dekad. Namun, hanya pada 2012, seksyen 15 ini diisytiharkan sebagai “tidak berpelembagaan” berikutan kes “UKM 4” dan seterusnya memaksa kerajaan untuk memindanya dan membenarkan pelajar berpolitik di luar kampus. Aktiviti politik dalam kampus masih ditegah. Kenapa isu ini (bercanggah dengan Perlembagaan) tidak dikesan dari dulu lagi?

Advertisement

Malaysian Law Reform Commission

Sebabnya, Malaysia tidak mempunyai “Law Reform Commission” yang mampu meneliti praktikaliti dan mengiktiraf kesahihan sesuatu akta daripada aspek Perlembagaan. Datuk Seri Nazri Aziz pernah mengumumkan kesediaan kerajaan untuk mewujudkan suruhanjaya ini pada 2012 namun sampai sekarang, ia tinggal sebagai pengumuman semata-mata.

Kita memerlukan Suruhanjaya ini secara berkekalan untuk menyemak undang-undang semasa dan mengemukakan cadangan perubahan kepada Parlimen. Cadangan tersebut perlu dibahaskan dan kemudiannya, dikuatkuasakan sekiranya sesuai. Suruhanjaya ini perlulah terdiri daripada ahli professional bidang kehakiman di Malaysia seperti bekas Ketua Hakim Negara dan bekas hakim Mahkamah Tinggi.  Seeloknya, ahli suruhanjaya ini dipilih berlandaskan cara “congressional hearing” iaitu dipilih menerusi jawatankuasa pilihan Parlimen yang terdiri daripada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang dalam kuantiti yang sama.  Andainya Suruhanjaya ini diwujudkan, kewujudannya perlu dihormati serta cadangannya perlu diberi penelitian dan bukannya, tidak diendahkan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) yang mana laporannya tidak dibahaskan di Parlimen. Bagaimanapun, saya merasakan bahawa cadangan ini hanya akan tinggal sebagai mimpi.

Kuasa Judisiari Malaysia perlu dikembalikan

Pada 1988, berikutan keputusan kes Pendakwaraya v Dato’ Yap Peng, pemerintahan Mahathir Mohamad mengambil keputusan untuk meminda Perlembagaan bagi mengurangkan kuasa bidang kehakiman dan mengukuhkan lagi kedudukan cabang eksekutif. Frasa asal Artikel 121 dahulunya mengatakan “the judicial power of the Federation shall be vested in” the High Court. Bagaimanapun selepas 1988, Artikel 121(1) mengatakan bahawa “the High Court shall have such jurisdiction and powers as may be conferred by or under federal law”. Kuasa judisiari dikurangkan dan terpaksa mengikut telunjuk kerajaan. Di sinilah permainan Dr.  Mahathir.

Jadi, kemampuan kehakiman untuk mengintepretasikan Perlembagaan telah dikurangkan sama sekali. Andainya mahkamah mengumumkan sesuatu akta itu “unconstitutional” sekalipun, Parlimen mampu meminda Perlembagaan itu sendiri dan memperkenalkan kembali sesuatu akta dalam bentuk berlainan. Jika ini berlaku, mahkamah tidak akan mampu berbuat apa-apa kerana secara realitinya, akta itu telah sah dari aspek Perlembagaan.

Ingin saya memberi amaran bahawa perkara ini pernah berlaku misalnya dalam kes Dato Yap Peng sendiri, seksyen 148 telah diisytiharkan tidak sah. Seksyen ini berkaitan bidang kuasa Peguam Negara yang boleh menukar sesuatu kes dari satu mahkamah ke mahkamah yang lain. Contohnya, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Maka, dengan adanya pindaan Artikel 121 (1) membolehkan kuasa Peguam Negara itu dikembalikan dan secara langsung menjadikannya sah di sisi Perlembagaan.

Kesimpulan

AUKU 1971 seharusnya menjadi pengajaran kepada kita semua, khususnya ahli politik yang licik bagai musang. Jangan sesekali cuba mengehadkan hak mahasiswa mahupun sesiapa sahaja, kerana nescaya ia pasti akan mengundang tentangan yang lebih berimpak tinggi.

Saranan saya kepada mahasiswa yang sedang berjuang di luar sana,teruskan perjuangan dan sekiranya anda berjaya, gunakanlah kebebasan itu sebaiknya.  Adalah lebih molek, andainya anda dapat menggesa Dr. Mahathir meminta maaf atas kesilapan yang telah beliau tinggalkan, sebahagian daripada legasi beliau. 

*Ganeshwaran Kana adalah pelajar Tahun Dua jurusan ekonomi di Universiti Malaya. Hasil tulisannya boleh dibaca di blognya universaltheboss.blogspot.com

*Ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.