13 FEBRUARI — Masalah berita palsu seperti yang dibincangkan minggu lalu, bukanlah satu masalah kecil.

Ia menjadi masalah besar apabila ada individu tertentu yang menyebarkan untuk tujuan yang tidak sepatutnya. Ia juga satu masalah besar apabila terdapat sebilangan besar kelompok masyarakat menerima dan mempercayai berita-berita palsu tanpa banyak menyoal.

Lebih mengecewakan apabila masyarakat bersikap acuh tak acuh dan tidak berminat untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan sesebuah berita sebelum ia disebarkan. Daripada merujuk berita-berita tersebut dengan mereka yang berautoriti, mereka memilih untuk berkongsi berita-berita berkenaan dengan rakan-rakan mereka.

Itu sebabnya, kita sering kali terdengar pihak-pihak tertentu yang tampil mengadu mereka ditipu, mereka dihina di media sosial dan mereka difitnah dan sebagainya. Persoalannya, adakah mereka sudah menyemak kesahihan berita yang diterima sebelum memberikan reaksi?

Pengguna media sosial kita nampaknya mudah dipengaruhi oleh berita-berita yang sensasi. Terbaca sahaja tajuk artikel yang sensasi, dengan lantas berita tersebut akan dikongsi kepada rakan-rakan lain. Akan tetapi, apakah pengguna sudah membaca keseluruhan artikel yang diterima itu dan mesej sebenarnya yang ingin disampaikan? Kebarangkalian tindakan itu dibuat adalah tiada.

Maka, mereka ini boleh disifatkan sebagai naïf, mudah percaya dan adakalanya menggunakan emosi apabila berfikir sedangkan ini tidak sepatutnya diamalkan. Perkembangan ini sebenarnya amat membimbangkan kita semua. Cuba bayangkan jika separuh mahupun tiga suku pengguna media sosial yang mempunyai kecenderungan sedemikian, lebih-lebih lagi apabila negara kita merupakan salah sebuah negara yang mempunyai kadar penembusan Internet dan media sosial tertinggi di rantau ini selain jumlah pengguna FB antara yang tertinggi di dunia.

Hakikatnya, masalah penyebaran berita-berita palsu tidak akan berakhir dengan tindakan penguatkuasaan semata-mata. Malah, tindakan penguatkuasaan hanyalah sebahagian daripada langkah penyelesaian. Tindakan penguatkuasaan boleh membendung salah laku si pengguna yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab tetapi tidak semestinya menangani punca permasalahan yang dimaksudkan.

Sebagai pihak yang menyebar dan menggunakan berita-berita tersebut, para pengguna media sosial juga seharusnya menggalas tanggungjawab ini bagi memastikan segala penyebaran berita-berita dalam media sosial dimanfaatkan untuk tujuan yang bermanfaat.

Masyarakat tidak seharusnya bersikap pentingkan diri sendiri dan hanya menyerahkan masalah ini kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikannya. Mereka boleh membantu pihak berkuasa dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa jika mereka terbaca berita-berita yang dilihat meragukan. Sekalipun usaha itu mungkin dilihat tidak begitu signifikan, namun lama-kelamaan, impak kerjasama yang diberikan oleh masyarakat akan terserlah jua.

Pada masa yang sama, masyarakat perlu melatih diri mereka untuk tidak terlalu ekstrem dan terbawa-bawa dengan apa yang dibaca dalam media sosial. Ada kalanya berita-berita palsu yang disajikan sengaja disebar dengan tujuan untuk mengeliru dan mencetuskan masyarakat demi memenuhi agenda tertentu. Adalah menjadi tanggungjawab untuk masyarakat tidak cepat melatah apabila terbaca berita-berita sebegini. Gunakan kebijaksanaan untuk menganalisis sesuatu berita sebelum tampil dengan kesimpulannya. Teliti dan analisis kandungan berita yang disebarkan sama ada ia datang dari sumber yang sah dan ditulis berdasarkan kepada fakta. Perlu diingatkan bukan semua berita yang disajikan dalam media sosial itu adalah benar-benar belaka. Jika benarlah semua berita yang disajikan dalam media sosial, barangkali peranan media arus perdana mungkin tidak relevan lagi selepas ini.

Pelbagai kempen advokasi dan kesedaran sudah dilaksanakan oleh pihak berkuasa dalam mendidik masyarakat mengenai etika penggunaan internet secara berhemah. Bagaimanapun, kejayaan atau kegagalan untuk menangani masalah berita palsu kini terletak di tangan masyarakat itu sendiri. Segalanya bergantung kepada tindak-tanduk dan kemahuan masyarakat itu sendiri. Bersediakah mereka untuk berubah?

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.