12 DISEMBER — Pepatah Melayu ada menyebut:  Bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi. Demikian perumpamaan yang paling sesuai untuk menggambarkan mengenai isu rasuah.

Rasuah bukanlah penyakit baharu dalam masyarakat. Sebaliknya, ia sudah berlaku sejak sekian lama.

Rasuah berlaku kerana sistem tadbir urus yang menjadi tunggak utama kepada keutuhan sesebuah kerajaan telah runtuh. 

Rasuah juga berlaku kerana sifat tamak haloba yang sudah menguasai diri seseorang sehingga norma-norma masyarakat dibelakangkan.

Dalam isu rasuah, sudah pasti ada pihak yang memberi dan pihak yang menerima. Bererti si pemberi dan si penerima sudah mempunyai persetujuan untuk melakukan perbuatan terkeji itu tanpa segan-silu.

Sejak kebelakangan ini, nama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM mendapat liputan hangat dalam pihak media. Semuanya gara-gara kerana operasi memerangi rasuah yang cukup agresif terhadap pihak yang menyalahi undang-undang negara baik dari kalangan sektor awam, pemimpin politik mahupun orang-perseorangan.

Apa yang dilakukan oleh SPRM setakat ini amatlah memberangsangkan dan wajar diteruskan tanpa perlu rasa gentar. Namun demikian, seperti kata Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad, usaha memerangi rasuah tidak hanya terletak pada bahu SPRM semata-mata tetapi pihak masyarakat juga wajar membantu.

Menurut KP SPRM itu, sokongan yang diberikan oleh rakyat tanpa mengira umur, kaum dan agama setakat ini adalah memuaskan namun hakikatnya, sokongan yang diberikan barangkali boleh diperbaiki lagi.

Bercakap mengenai peranan oleh masyarakat, berapa ramaikah daripada kita yang bersedia menyahut seruan KP SPRM itu? Adakah kita merupakan pihak yang tergolong dalam kategori mereka yang hanya cenderung mengadu terhadap masalah tersebut tetapi tidak mahu untuk tampil ke hadapan untuk membantu? Ataupun kita tampil untuk membantu tetapi secara bersyarat? Dalam usaha kita untuk membantu memerangi rasuah, sebarang niat yang dizahirkan itu haruslah ikhlas dan tidak bermotifkan keuntungan semata-mata. 

Sekarang, panggilan kepada rakyat untuk turut berganding bahu dengan SPRM dalam memerangi gejala rasuah di Malaysia telah diumumkan, apa yang ditunggu lagi?

Rasuah tidak menunggu kita. Rasuah berlaku secara senyap tanpa disedari. Gunakan kesempatan yang ada ini untuk memerangi rasuah hingga ke lubang cacing. 

Negara tidak perlukan mereka yang mengamalkan rasuah. Akibat rasuahlah, ramai yang terpaksa merana. Selain itu, imej sesebuah negara juga tercalar manakala rakyat yang sepatutnya mendapat nikmat pembangunan turut menjadi mangsa. 

Negara sesungguhnya memerlukan sebuah masyarakat yang berintegriti di samping tadbir urus yang telus lagi terbuka.

Oleh itu, benci rasuah dan tolak rasuah!

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.