18 JULAI — Jika anda lihat situasi semasa di negara-negara seperti Pakistan, Iraq, Libya, Yaman, Syria, Afghanistan dan Somalia, terdapat beberapa persamaan yang cukup ketara.

Pertama, kesemua negara yang dimaksudkan itu dilanda kemelut politik yang tidak berkesudahan sama ada disebabkan oleh sentimen keagamaan mahupun pertelingkahan sesama suku.

Kedua, kedudukan kerajaan-kerajaan di negara-negara berkenaan amat goyah lantaran mewujudkan vakum kuasa yang memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu untuk mencetuskan ketidaktentuan

Ketiga, negara-negara ini juga merupakan negara-negara yang menjadi mangsa kepada kezaliman dan serangan demi serangan oleh kumpulan Islamic State (IS) atau Daesh.

Apa yang amat membimbangkan di sini ialah situasi semasa di negara-negara tersebut nampaknya tidak banyak berubah malahan menjadi semakin buruk dari hari ke hari. Kepimpinan di negara-negara itu nampaknya terperangkap dan tidak mampu berbuat apa-apa melainkan hanya mampu melihat kestabilan itu semakin jauh dari dakapan mereka.

Perkembangan yang membimbangkan ini juga memberi ruang dan peluang kepada kumpulan-kumpulan militan seperti IS untuk bermaharajalela. Kumpulan-kumpulan  militan sebegini hakikatnya amat suka jika keadaan sesebuah negara itu dalam porak-peranda kerana ini akan memudahkan tugas mereka.

Apa yang berlaku di Iraq dan Syria adalah IS berjaya mewujudkan sistem perundangan mereka sendiri, sistem sosial dan pentadbiran mereka sendiri seolah-olah menunjukkan kepimpinan kerajaan sedia ada sudah gagal. Kemampuan sebuah kumpulan militan untuk menawarkan alternatif kepimpinan kepada kerajaan-kerajaan sedia ada sesungguhnya merupakan satu perkembangan yang cukup menarik dan belum pernah berjaya dilakukan oleh mana-mana kumpulan militan.

Apa yang berlaku di Somalia juga merupakan satu contoh paling jelas. Sejak 1991, negara berkenaan telah diperintah tanpa sebuah kepimpinan. Hakikatnya, Somalia ialah sebuah negara yang gagal atau dalam konteks yang lebih tepat. “failed-state.” Negara tersebut terus merudum dan situasi itu berlarutan sehingga kini.

Situasi yang berlaku di negara-negara yang disebutkan tadi wajar membuka mata semua pihak khasnya di Malaysia. Dalam konteks ini, sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh adalah perlu di negara ini. Sebarang ketidakstabilan ataupun konflik perlu dielakkan bagi mengelakkan berlakunya campur tangan daripada tangan-tangan tersembunyi kuasa-kuasa asing.

Sebarang percubaan untuk memporak-perandakan Malaysia hanya akan membuka kotak Pandora yang akan mencetuskan ketidakstabilan berpanjangan di rantau Asia Tenggara sekaligus mengheret negara-negara lain di rantau ini ke kancah konflik yang akhirnya boleh menjahanamkan terus kemakmuran yang dinikmati selama ini.

Keadaan ini juga akan dipantau rapat oleh IS kerana mereka sudah pun dikhabarkan akan memberikan tumpuan operasi ke rantau Asia Tenggara selepas kekalahan demi kekalahan yang dialami di Iraq dan Syria.

Biarpun bilangan rakyat Malaysia yang menyertai IS untuk berjuang di Iraq dan Syria mencecah ratusan orang, ini tidak bermakna pihak berkuasa harus memandang remeh terhadap kemampuan kumpulan berkenaan untuk menyerang negara ini.

Kesiapsiagaan adalah senjata terbaik untuk berhadapan dengan ancaman IS.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.