7 DISEMBER — Jika anda ajukan soalan berikut kepada orang ramai: Sejauhmanakah gaji yang diterima di tempat kerja memadai untuk menyara kehidupan seharian, kebarangkalian jawapan yang diberikan adalah negatif dan sinis.
Bayangkan gaji permulaan yang diterima oleh seorang pelajar yang baharu keluar dari universiti hanya sekitar RM2500 hinggalah kepada mereka yang berada dalam “middle management” sesebuah organisasi, mungkin menerima gaji antara RM7 hingga RM8 ribu sahaja.
Akan tetapi, apakah skala gaji yang disebutkan benar-benar cukup untuk menyara sara hidup lebih-lebih lagi mereka yang hidup di kota kosmopolitan seperti Kuala Lumpur? Jujur kata, skala gaji yang disebutkan tadi bukan sahaja tidak cukup bahkan dalam konteks sebenarnya, berada di bawah paras kemiskinan.
Tidak dinafikan ada yang akan mengatakan manusia tidak akan berpuas hati dengan jumlah gaji yang diterima biarpun telah berkali-kali dinaikkan. Ini adalah lumrah manusia kerana semakin tinggi yang diterima, semakin tinggi lagi yang dituntutnya. Hakikatnya, skala gaji sedemikian memaksa penduduk untuk mencari sumber pendapatan tambahan bagi meneruskan kelangsungan mereka dalam sebuah dunia yang cukup kompetitif.
Justeru, apabila operator perkhidmatan Express Rail Link (ERL) baru-baru ini mengumumkan kenaikan harga tambang perkhidmatan KLIA Express akan dinaikkan sebanyak RM20 daripada harga sedia ada RM35 kepada RM55 berkuatkuasa 1 Januari 2016, ramai pengguna pengangkutan awam berang dan menyelar keputusan menaikkan harga tambang berkenaan yang disifatkan sebagai tidak sensitif.
Apa yang lebih menyedihkan adalah rasional yang digunakan oleh pihak ERL untuk menjustifikasikan kenaikan harga tambang. Antara alasan yang diberikan termasuklah harga ERL tidak pernah dinaikkan sejak 14 tahun yang lalu dan syarikat mengalami kerugian. Pada pandangan umum, ini bukanlah alasan munasabah yang boleh diterima.
Apakah kerana harga tambang tidak pernah dinaikkan sejak 14 tahun lalu bererti syarikat tersebut boleh menaikkan harga tambang pada kadar yang begitu tinggi? Tidak terfikirkah mereka kenaikan sebanyak 57per cent boleh memberikan kesan yang cukup buruk kepada perbelanjaan pengguna? Kita selalu mendengar mana-mana syarikat yang melaung-laungkan kepentingan pengguna sebagai keutamaan mereka, di manakah keutamaan syarikat ERL sekarang?
Ironinya, kadar tambang yang dinaikkan bukanlah satu atau dua peratus tetapi berkali ganda. Bermakna pengguna pengangkutan awam kini perlu berfikir semasak-masaknya sebelum memilih untuk menggunakan ERL untuk ke KLIA. Ironinya juga kerajaan sebelum ini menggalakkan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam sebagai mode pengangkutan utama. Maka, apakah dasar menggalakkan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam masih terpakai?
Jika ingin menaikkan kadar tambang sekalipun, lakukan secara berperingkat-peringkat dan bukannya sekaligus dalam kadar yang begitu membebankan. Kepada pihak yang menaikkan kadar tambang tersebut, anda tidak mungkin memahami keluh-kesah dan kesusahan yang terpaksa dihadapi oleh pengguna saban hari.
Dalam kalangan pengguna, apa yang mereka mahukan ialah kualiti perkhidmatan yang baik, adanya keterhubungan atau connectivity dalam sistem pengangkutan di negara ini serta nilai tambah dalam perkhidmatan yang disediakan. Tidak sukar untuk pihak pengurusan untuk memberikan apa yang dikehendaki oleh pengguna kerana hakikatnya, kitalah ‘pelanggan’ utama kepada perkhidmatan anda. Tanpa sokongan dan sambutan daripada para pengguna, tidak mungkin perkhidmatan ERL akan digunakan oleh orang awam.
Beban rakyat kini cukup berat. Bermacam-macam perkhidmatan dan barangan dinaikkan harga semuanya atas dasar untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan yang semakin meningkat selain kerugian yang dialami. Tatkala harga perkhidmatan dan barangan terus melambung naik, gaji pekerja pula masih di takuk yang sama.
Menurut laporan media, syarikat tersebut mengalami kerugian sejak beberapa tahun lalu. Adalah tidak adil jika beban kerugian tersebut dipindahkan kepada para pengguna menerusi kenaikan kadar tambang yang melampau. Di manakah logiknya itu? Apakah para pengguna yang sepatutnya menanggung beban tersebut kerana berlakunya kerugian?
Di manakah pelan perniagaan, strategi dan jalan penyelesaian yang sepatutnya disediakan untuk mengatasi masalah terbabit? Jika kesemua perkara ini tidak diberi perhatian sewajarnya, maka tidak mustahil jika masalah sama berkemungkinan akan terus berlaku.
Pastinya, kenaikan bermacam-macam perkhidmatan dan barangan seperti yang kita saksikan sekarang bukanlah penamatnya. Sebaliknya, 2016 bakal menjanjikan tahun yang lebih mencabar buat rakyat Malaysia khasnya dalam aspek kelangsungan hidup.
Apa lagi yang perlu dihadapi oleh rakyat pada tahun mendatang? Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui. Kasihanilah kami!
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
