30 NOVEMBER — Siapa antara anda yang pernah menikmati hidangan ‘scissor salad’ atau salad gunting di restoran?

Wujudkah hidangan salad gunting di restoran seperti yang dilaporkan di restoran-restoran di negara ini?

Ataupun kita mungkin tersalah dengar terma tersebut daripada rakan-rakan kita yang menyebarkan berita itu?

Mungkinkah juga ianya hanyalah satu kesilapan ejaan yang tidak disengajakan oleh pihak pengusaha restoran yang dikunjungi oleh para pelanggan?

Bagaimanakah kesilapan kecil sedemikian pun boleh terjadi biarpun pada pandangan sesetengah individu, ianya tidak penting dan bukanlah masalah besar kepada negara?

Sebenarnya, anda tidak tersilap dengar berhubung perkara berkenaan tetapi sesuatu yang berlaku pada menu Majlis Makan Malam Sempena Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kanan Parlimen Bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat baru-baru ini.

Kesilapan mengeja Caesar sebagai scissor atau gunting merupakan satu insiden yang cukup memalukan kepada Sekretariat Parlimen. Lantaran daripada insiden tersebut, kesilapan ejaan itu menjadi viral di media sosial dan ramai pihak khasnya pejuang-pejuang Bahasa Inggeris yang merungut akan standard penggunaan Bahasa Inggeris yang makin merudum dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beberapa minggu lalu sebelum itu, kita pula terbaca isu penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah dalam kalangan pelajar-pelajar dan guru sekolah dalam sebuah akhbar arus perdana. Apa yang dibangkitkan oleh akhbar terbabit bukanlah isu baharu sebaliknya isu yang sudah dibangkitkan bertahun-tahun lamanya.

Akan tetapi, di manakah kesudahannya? Berapa lama lagi isu ini perlu dibiarkan berlarutan? Kepada pemimpin-pemimpin politik, mereka wajarlah berhenti mengadakan uji kaji terhadap dasar penggunaan Bahasa Inggeris. Tindakan yang tidak konsisten dan adakalanya flip-flop bukan sahaja tidak menguntungkan bahkan hanya menyusahkan para pelajar yang terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan dasar dari semasa ke semasa.

Dalam konteks ini lebih-lebih lagi isu pendidikan, ianya memerlukan kesinambungan dan bukannya perubahan berkali-kali. Selagi perubahan terus berlaku dan tidak kata sepakat berhubung dasar penggunaan Bahasa Inggeris, maka selagi itulah isu ini akan berlarutan dan selagi itulah anda akan melihat ada para pelajar akan terus menghadapi kesukaran untuk menguasai Bahasa Inggeris.

Tatkala standard penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dibangkitkan, jangan lupa juga akan standard penggunaan Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita yang turut berhadapan dengan masalah yang sama. Saban hari, kita melihat di hadapan mata kita bahasa kebangsaan terus dimomok dan dicemari dengan kesalahan demi kesalahan yang dilakukan.

Lebih mengejutkan, kesalahan-kesalahan yang dilakukan bukan sahaja dari kalangan individu tetapi juga dari kalangan pemimpin politik mahupun segelintir media. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka serta para pejuang bahasa sudah pun berkali-kali mengungkitkan isu pencemaran bahasa kebangsaan di media namun impaknya hanyalah bersifat sementara dan bermusim. Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

Benarlah dalam kita bercakap mengenai soal bahasa, ianya banyak bergantung kepada sikap dan disiplin seseorang. Bermakna, sebarang tindakan penguatkuasaan tidak akan memberi sebarang kesan jika tahap kesedaran rakyat masih di takuk lama. Tidak ada gunanya jika penguatkuasaan diambil jika rakyat masih dengan sikap lama mereka.

Mereka haruslah peka, prihatin dan bersedia melakukan anjakan paradigma dan tidak melihat isu bahasa ini sebagai isu yang remeh. Bahasa melambangkan jati diri seseorang dan sesebuah bangsa. Hilang bahasa, hilanglah jati diri seseorang.

Justeru, penguasaan Bahasa Inggeris yakni bahasa antarabangsa dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara adalah sama penting. Sebarang tanggapan bahawa satu bahasa itu adalah lebih penting daripada bahasa lain adalah tidak kena pada tempat. Malah Perdana Menteri baru-baru ini turut menekankan peri-pentingnya menguasai Bahasa Inggeris tanpa mengabaikan Bahasa Melayu.

Oleh yang demikian, mengapa tidak kita berfikiran terbuka dan menguasai pelbagai bahasa dalam hidup kita? Lagipun, lebih banyak bahasa yang dipelajari akan memberikan nilai tambah kepada diri seseorang.

Perlu diingatkan di sini bahawa sebarang percubaan menguasai Bahasa Inggeris tidak bererti Bahasa Melayu dipinggirkan. Bagi mereka yang mempunyai pemikiran sebegini, elok rasanya jika mereka melihat isu tersebut daripada pelbagai sudut. Kedangkalan untuk melihat isu ini daripada pelbagai sudut berpunca daripada keengganan seseorang untuk berubah dan keluar daripada zon selesa. Disebabkan mereka telah biasa dengan keadaan sedia ada, sebarang perubahan yang dituntut dilihat sebagai satu ancaman.

Apalah nasib Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris jika masih ada pihak yang berfikiran sedemikian? Aduhai bahasaku!

Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.