19 OKTOBER — Alangkah menarik untuk melihat reaksi kepada artikel saya, Asal usul obsesi Melayu dengan tudung, yang diterbitkan di MMO baru-baru ini. Satu salah reaksi telahpun muncul dalam bentuk artikel, yang juga mempunyai senarai rujukan untuk menampilkan unsur akademisnya. 

Saya pada mulanya tidak berhasrat untuk membalas kepada artikel ini kerana ia menyimpang langsung daripada mesej artikel saya: yakni tekanan atas wanita untuk bertudung didorong oleh satu obsesi bangsa Melayu yang memuncak sepanjang proses modenisasi tanahair kita. 

Walaubagaimanapun, saya juga terpanggil untuk bersuara. Saya kurang senang dengan percubaan untuk meng-hijack pengalaman dan penindasan perempuan yang tidak bertudung di mana ia diputar untuk menjadi sesuatu isu yang mengutarakan perempuan Melayu yang bertudung. Rintihan kalbu saya boleh dirumuskan dalam Bahasa Inggeris seperti berikut: “it’s not always about you.”

Oleh kerana saya tidak bertudung, saya tidak mempunyai hasrat untuk mendalami pilihan perempuan yang bertudung. Isu pilihan untuk bertudung boleh menjadi bahan penulisan orang yang lain. Tumpuan saya adalah kepada satu budaya yang agak baru dan satu masyarakat yang merasa seolah-olah ia tidak mempunyai masa lampau di mana ramai perempuan Melayu tidak menutup rambut mereka.

Advertisement

Islam disebar luas di tanahair kita di sekitar 1400-an. Namun, budaya bertudung hanya menjadi kenyataan untuk beberapa puluhan tahun sahaja. Bukankah proses perubahan sosial dan budaya ini sangat menakjubkan (dan mungkin membimbangkan)? Mengapa konsep aurat seperti difahamkan oleh masyarakat sekarang tidak dibangkitkan 50, 100, 200 tahun dahulu? 

Bagi saya, walaupun pilihan untuk bertudung adalah sah (valid), isu pilihan kurang berjaya untuk menyangkal  hujah saya. Sebagai satu konsep, ‘pilihan’ kurang prihatin kepada tekanan, perubahan sosial-budaya, dan penindasan yang dihadapi oleh perempuan Melayu yang tidak bertudung.  Malah, tumpuannya selalu berbalik kepada kepentingan individu sahaja – ini sering menjadi masalah dalam masyarakat moden konsumeris dan pendekatan neoliberal. 

Berbalik kepada mesej asal artikel saya yang perlu diulangi supaya tidak disalahfahami. Perempuan yang tidak bertudung bukan sahaja spesies terancam tetapi golongan yang menentang, secara sedar atau tidak, arus budaya mainstream. Suara wanita Melayu yang menolak tekanan untuk bertudung seringkali tenggelam dalam wacana yang dikuasai oleh pihak majoriti. 

Advertisement

*Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.