30 SEPTEMBER—Setiap kali apabila ada pihak atau individu cuba mencabar anda, apa reaksi anda?

Pastinya, anda akan melawan kembali, bukan? Kenapa lawan kembali? Melawan kembali kerana manusia umumnya tidak suka untuk dicabar kerana kegagalan untuk melawan kembali dianggap satu kelemahan dan mencalarkan maruah mereka.

Pada masa yang sama, kegagalan untuk melawan kembali terhadap sebarang penindasan dan ketidakadilan oleh mana-mana pihak seolah-olah memberikan lampu hijau dan menghalalkan mereka untuk terus melakukan perkara itu secara sewenang-wenangnya.

Dalam erti kata lain, reaksi balas yang agresif merupakan satu manifestasi manusia yang tidak rela melihat ego dirinya tercalar begitu sahaja. Setiap manusia mempunyai egonya tersendiri. Masing-masing mempunyai agenda untuk melindungi dan untuk mempertahankan ego mereka yang dilihat begitu penting kepada imej diri mereka.

Sebut sahaja mengenai ego, terlintas dalam fikiran kita semua terhadap gelagat serta tindak-tanduk pemimpin-pemimpin politik di negara kita. Pastinya, ramai daripada kita yang mempunyai komen-komen terhadap pemimpin-pemimpin politik  kita. Pastinya juga komen-komen yang diluahkan itu tidak begitu enak untuk didengar.

Namun, rakyat tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini. Hakikatnya, begitu banyak insiden kurang menyenangkan yang membabitkan pemimpin-pemimpin politik kita. Situasi yang tidak berkesudahan ini membuatkan ramai yang rimas dan tertanya-tanya mengapakah tahap kelakuan pemimpin-pemimpin politik berada pada tahap yang kurang memberangsangkan.

Daripada tindakan bertikam lidah dengan pemimpin lain kepada mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang dianggap bongkak dan tidak logik hinggalah perbuatan cabar-mencabar di khalayak — semuanya ini memperlihatkan ketidakmatangan pemimpin-pemimpin politik kita.

Mereka barangkali sudah lupa bahawa mereka bukanlah Yang Berhormat tetapi Yang Bekerja untuk rakyat dan mandat yang diperoleh datangnya dari kuasa undi rakyat. Maka kerana itu, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga tingkah laku serta tutur kata mereka di khalayak.

Malangnya, insiden demi insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini telah mendedahkan wajah sebenar segelintir pemimpin-pemimpin politik yang dimaksudkan. Kontroversi demi kontroversi yang meletus biarpun mendapat teguran membina rakyat jelas membuktikan ego masih membara dalam diri mereka.

Apa susahnya untuk merendah diri dan berkelakuan sopan di khalayak? Adakah kerana sudah berpangkat dan mempunyai pengaruh mereka boleh melakukan apa sahaja secara sewenang-wenangnya? Sentiasa merendah diri merupakan satu perbuatan yang dituntut di sisi agama. Malah mana-mana agama sekalipun sentiasa mengajak penganutnya untuk bersyukur dan merendah diri baik semasa tempoh susah mahupun senang.

Pemimpin-pemimpin politik perlu sedar bahawa segala pergerakan dan tindak-tanduk mereka sedang diperhatikan. Mereka tidak wajar mengambil mudah mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada mereka. Sebaliknya, mandat yang diberikan oleh rakyat itu haruslah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya sebagai contohnya merangka agenda-agenda yang berfaedah kepada rakyat.

Sebagai figura awam, adalah penting buat pemimpin-pemimpin politik untuk sentiasa menjaga tingkah-laku dan tutur-katanya kerana segala yang ditunjukkan bakal menjadi ikutan umum. Pemimpin-pemimpin politik kita juga perlulah bersikap terbuka dan matang dalam menerima perbezaan pendapat walaupun ada kalanya pendapat yang diluahkan itu mungkin tidak begitu enak untuk didengar atau daripada pihak yang bukan sehaluan dengan ideologi politiknya.

Malah, perbezaan pendapat dan ideologi politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menolak bulat-bulat pendapat yang diberikan. Sebagai pemimpin politik yang berlapang dada, mereka harus berfikiran terbuka dan tidak taksub dengan politiking partisan yang melampau. Jika ada pendapat atau idea yang dilontarkan adalah baik yang berupaya membantu memajukan negara, apa salahnya? Kenapa wajar membiarkan politik kepartian atau ketaksuban politik memusnahkan segala-galanya?

Mutakhir ini, Malaysia perlukan pemimpin-pemimpin politik yang segar dan bertenaga bukan sahaja dari segi pemikiran, falsafah mereka bahkan juga bagaimana mereka akan membawa negara ini ke hadapan. Kita tidak perlukan pemimpin-pemimpin politik yang hanya berminat untuk berpolitik secara keterlaluan dan untuk kepentingan peribadi sahaja. Kita juga tidak perlukan pemimpin-pemimpin politik yang cuba melawan balik secara membuta-tuli hinggakan imej peribadi dan negara musnah di tangan mereka.

Tidak salah untuk negara mempunyai sekumpulan pemimpin politik atau wakil rakyat yang lantang dan tegas memperjuangkan hak rakyat selagi ia adalah untuk kebaikan negara. Perlu ditegaskan bahawa kepentingan negara harus mengatasi kepentingan peribadi. Bersediakah pemimpin-pemimpin politik kita?

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.