15 SEPTEMBER —Untuk kesekian kalinya, Malaysia dan Singapura dilanda masalah jerebu yang teruk. Sekali lagi, kedua-dua negara berkenaan menerima impak yang paling teruk gara-gara perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang bertindak menerangkan hutan tanpa mengambil kira kesan kepada negara-negara lain.

Indeks Pencemaran Udara atau API yang dicatatkan pula berada pada tahap yang kurang sihat, petanda jelas bahawa bumi ini semakin tenat dan ‘nazak.’  Pada masa yang sama, masalah jerebu yang berleluasa ini juga menunjukkan bahawa manusia tidak ‘melayan’ alam sekitar dengan rasa hormat.

Untuk kesekian kalinya juga, para penduduk terpaksa bertarung nyawa dengan menghirup udara bertoksik yang boleh memberikan kemudaratan kepada kesihatan seseorang. Jika tidak berhati-hati, ada yang mungkin akan mengalami masalah pernafasan, lelah dan lebih serius lagi, maut.

Pemandangan kota Kuala Lumpur dan Singapura yang berjerebu sudah menjadi satu pemandangan biasa setiap tahun. Apa yang lebih menyedihkan, para penduduk hanya mampu mengadu kepada pihak berkuasa namun tidak banyak yang boleh dilakukan.

Sama ada masalah jerebu kini berpunca daripada perbuatan negara jiran kita, Indonesia mahupun perbuatan tidak bertanggungjawab rakyat tempatan kita, masa untuk memberikan janji menyelesaikan masalah jerebu sudah tamat. Ini bukan lagi masa untuk mana-mana pihak menabur janji tetapi tampil dengan tindakan konkrit.

Beberapa tahun lalu, kita pernah dimaklumkan bahawa satu pelan bertindak di peringkat Asean akan dikuatkuasakan untuk menangani masalah jerebu. Kita juga pernah disajikan dengan janji manis kononnya tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang membakar hutan secara haram.

Minggu lalu, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, satu memorandum persefahaman baharu akan dimetreai dengan Indonesia dalam tempoh terdekat. Minggu lalu juga, Presiden Indonesia Joko Widodo turut memberi amaran kepada mereka yang membakar hutan di Indonesia akan dikenakan tindakan sewajarnya. Juga, pihak berkuasa baru-baru ini mengumumkan pembenihan awan hanya akan dilaksanakan jika API mencecah lebih 100.

Namun begitu, bukankah janji-janji sebegini pernah kedengaran tidak berapa lama dahulu? Amaran demi amaran sudah dikeluarkan tetapi apakah ia benar-benar memberi kesan? Di manakah silapnya apabila amaran demi amaran yang dikeluarkan itu masih tidak dihiraukan?

Apakah masalah jerebu di rantau ini akan benar-benar berakhir dengan pemetreaian MOU dengan kerajaan Indonesia? Tiada gunanya memetreai MOU dengan Indonesia jika MOU itu tidak dikuatkuasakan sepenuhnya. MOU yang dimetreai itu hanyalah kertas kosong yang tidak bernilai jika pihak satu lagi enggan memberikan komitmen untuk mengatasinya.

Sampai bila rakyat di negara ini perlu berhadapan dengan masalah jerebu yang tidak berkesudahan? Apakah hanya akan ada tindakan apabila ada kemalangan jiwa dilaporkan? Di manakah “urgency” yang dituntut oleh rakyat agar masalah ini ditangani segera?

Sekalipun pelan jangka panjang untuk menangani masalah jerebu masih samar-samar, namun sebagai langkah sementara, proses pembenihan awan perlu dilaksanakan pada kadar segera. Tidak logik dan munasabah untuk pihak berkuasa memberi alasan bahawa indeks API masih rendah dan tidak ada keperluan untuk melaksanakan pembenihan awan.

Menurut penulis, sama ada masalah jerebu kini berpunca daripada perbuatan negara jiran kita, Indonesia mahupun perbuatan tidak bertanggungjawab rakyat tempatan kita, masa untuk memberikan janji menyelesaikan masalah jerebu sudah tamat. — Picture by Choo Choy May
Menurut penulis, sama ada masalah jerebu kini berpunca daripada perbuatan negara jiran kita, Indonesia mahupun perbuatan tidak bertanggungjawab rakyat tempatan kita, masa untuk memberikan janji menyelesaikan masalah jerebu sudah tamat. — Picture by Choo Choy May

Pihak berkuasa harus memahami dan sedar bahawa nyawa manusia adalah lebih penting daripada segala-galanya. Tidak dinafikan kos untuk melaksanakan pembenihan awan adalah tinggi, akan tetapi ia bukan alasan terbaik untuk tidak melaksanakannya. Pendekatan yang diambil seharusnya proaktif dan bukan reaktif yakni hanya bertindak apabila berlakunya sesuatu krisis.

Tidak pasti bilakah kualiti udara negara akan kembali pulih tetapi apa yang pasti, rakyat kini semakin rimas dengan kualiti udara yang kian buruk. Sudah tiba masanya masalah jerebu ini ditangani hingga ke lubang cacing dan bukan secara bermusim.

Cukuplah, sudahlah dan biarlah ini kali penghabisan masalah jerebu menghantui Malaysia dan negara-negara Asean. Mereka yang bertanggungjawab wajar diheret ke muka pengadilan tanpa sebarang belas kasihan.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.