11 OGOS ― Setiap manusia pastinya pernah menerima teguran atau ditegur dengan kritis oleh orang lain sepanjang hayat mereka. Teguran tersebut mungkin datangnya dari ibu bapa, guru sekolah, majikan di tempat kerja mahupun isteri/suami tersayang.

Jika teguran itu datang dari ibu bapa, ia bermakna seseorang itu mungkin telah mengingkari arahan ibu bapa mereka. Jika ia datang dari guru sekolah pula, berkemungkinan pelajar berkenaan bersikap biadap kerana enggan melakukan sesuatu yang disuruh gurunya.

Pihak majikan pula menegur para pekerjanya kerana berpendapat, ada dalam kalangan staf mereka yang tidak mahu bekerja atas faktor-faktor seperti gaji mahupun kebajikannya terabai. Bagaimana pula dengan pemimpin politik? Tentunya, jika pemimpin nombor satu ditegur oleh pemimpin nombor keduanya, pemimpin nombor kedua secara automatiknya dilabel sebagai pengkhianat atau tidak mentaati ketuanya.

Bentuk teguran yang diberikan pula ada kalanya sinis, pedas dan tidak kurang juga yang berlapik-lapik bergantung kepada siapa yang menegur dan situasi semasa. Bagi segelintir individu, mereka mungkin boleh menerima teguran dengan hati yang lapang tetapi tidak semestinya semua yang berpandangan sedemikian.

Dalam kalangan individu yang sensitif, mereka mungkin tidak dapat menerima teguran kerana ia dilihat mencabar autoritinya. Akan tetapi, apa ada pada autoriti dan nama jika seseorang itu tidak berlapang dada dan enggan menerima teguran orang lain?

Melihat kepada contoh-contoh yang dinyatakan tadi, ternyata teguran merupakan sebahagian daripada kehidupan kita. Ada orang menegur kita kerana mereka sayangkan kita dan ada juga yang menegur atas alasan yang destruktif dan berniat untuk menjatuhkan maruah orang lain.

Apa yang pasti, teguran yang konstruktif dan bertujuan untuk memperbetulkan kesilapan seseorang bukanlah satu dosa dan kesalahan. Ia hanya menjadi kesalahan jika teguran yang dibuat mempunyai agenda tersembunyi dan berniat jahat.

Apa salahnya jika seseorang itu ditegur jika hujah-hujah yang dilontarkan benar-benar dapat membantu pihak yang disasarkan itu? Apakah hanya kerana pangkatnya lebih tinggi daripada orang lain bermakna pihak satu lagi tidak boleh menegur? Sesungguhnya, hubungan antara seorang manusia dengan seorang manusia lain sentiasa berpaksikan kepada beberapa elemen iaitu hormat-menghormati antara satu sama lain dan melayan setiap manusia sebagai insan yang setara.

Hanya mereka yang enggan menerima teguran daripada orang lain adalah mereka yang sebenar-benarnya menidakkan realiti serta kebenaran. Perlu ditegaskan, manusia bukanlah sempurna sepanjang masa. Kita ada cacat celanya. Itu sebabnya, kita selalu memerlukan petunjuk dan hidayah daripada Tuhan Maha Pencipta untuk membimbing kita ke arah kebaikan.

Jika ingin menegur, tegurlah secara berhemah dan ikhlas.

Teguran itu bermanfaat.

Teguran itu mendewasakan kita.

Teguran juga mengajak kita bermuhasabah diri dan memperbetulkan segala kesilapan masa lampau untuk menjadi seorang insan mukammil yang soleh dan baik.

Bagaimana pula dengan anda? Bersediakah anda untuk ditegur?

 * Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.