8 FEBRUARI — Datuk Dr Usman Awang adalah antara segelintir orang yang hebat dibidangnya yang pernah negara kita lahirkan . Beliau juga orang baik yang nawaitunya jelas mahu kita masyarakat berbilang bangsa selalu hidup dalam rukun dan harnoni.

Terlalu banyak pengiktirafan yang diterimanya dan yang paling besar apabila dianugerahkan gelaran Saterawan Negara yang ke 3 pada tahun 1983. Usman Awang dilahirkan pada 12 Julai 1929 dan meninggal dunia pada 29 November 2001 pada usia 72 tahun.

Banyak sajak sajak dan novel beliau yang saya baca antara yang paling menarik ‘Tulang Tulang Berserakan, namun saya cukup tertarik dengan sajaknya, Anak Jiran Tionghua. Dulu sewaktu usia saya awal 20an, saya lebih sukakan karya yang bersifat rebel karangan Achmad K.Mihardja, Pramoedya Ananta Toer, Zaen Kasturi juga Rendra antaranya.

Bila usia mula menjangkau 30an saya mula menyelak semula karya karya yang lembut A.Samad Said, Usman Awang terutamanya. Saya rasa mereka berbicara dalam mood yang lembut tapi penuh dengan mesej yang jelas dan tidak berbelit.

Advertisement

Cuba kita baca dan fahamkan sajak Anak Jiran Tionghua ( AJT) yang saya sertakan di bawah ini,

 

ANAK JIRAN TIONGHUA

Advertisement

 

Begitu kecil ia berdiri di tepi pagar

Kilat matanya memanggil Iskandar

Siapa lalu siapa berkaca

Melihat keduanya bergurau senda

 

Anak Tionghua kelahirannya di sini

Di bumi hijau ladang-ladang getah dan padi

Ia bisa bercerita untuk siapa saja

Di sini tanahnya dan ibunya bersemadi

 

Lihat mereka sedang berebutan pistol mainan

He, jangan berkelahi

Ah, anak-anak dengan caranya murni

Berkelahi untuk nanti bermain kembali

 

Lihat mereka tertawa riang

Ah Chew tak punya gigi sebatang

Iskandar mengesat hingus ke baju

Sekarang mereka menunggu aiskrim lalu

 

Bumi tercinta resapkan wahyumu

Jantung mereka ialah langitmu

Darah mereka adalah sungai

Nafas mereka adalah udaramu.

 

Sajak AJT ini ditulis pada tahun 1962. Saya pun belum lahir lagi waktu itu. 7 tahun selepas itu berlaku peristiwa rusuhan kaum yang tarikhnya semua kita masih ingat, 13 Mei. Adakah kita mahu peristiwa yang tidak baik ini berlaku lagi di negara yang kita cintai ini ? Sudah tentu tidak kerana kita, masing masing telah faham betapa perlunya sebuah negara yang aman dan damai. Bukan untuk orang lain, melainkan untuk diri kita sendiri.

Memahami sajak ini ianya mudah menyerap ke dalam jiwa kita, rakyat Malaysia. Iskandar dan Ah Chew adalah sebahagian dari watak watak kita, inilah yang kita lalui dulu tak kira siapa kita, samada Melayu, India, Cina mahupun apa bangsa sekalipun selagi kita ini berstatus warganegara.

Saya pernah mencipta lagu berdasarkan lirik AJT ini dan mempersembahkan di beberapa majlis sastera yang berlangsung. Bahkan pernah saya hantar lagu yang saya cipta dalam sebuah pertandingan mencipta lagu puisi yang sering di anjurkan oleh badan sastera seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tapi seperti biasa, formatnya kalau kita nak bikin lagu puisi, bunyinya mesti seperti Kopratasa. Lenggoknya pun perlu seperti Kopratasa juga, itu format dan formula yang mereka faham tentang lagu puisi. Kalau bikin melodi selain dari mood Kopratasa, memang payahlah nak menang.

Sebab yang menjadi juri biasanya di kalangan mereka yang kenal antara sesama mereka, jadi sampai sudah lagu dan formatnya akan seperti itulah.

Saya teringat sajak AJT ini kerana dalam keadaan masyarakat kita juga mereka yang di atas sana yang semakin sensitif dengan isu kaum dan agama hari ini, baru baru ini tatkala saya bernyanyi di KL Sentral, seorang lelaki mencatat sesuatu pada sehelai kertas dan diletakkan di beg gitar yang saya bentangkan di hadapan saya.

Catatannya, ‘Tolong nyanyikan lagu yang berbentuk perpaduan kaum’. Walaupun mesejnya ringkas, namun ia membuatkan saya berfikir sejenak. Mungkin lelaki itu juga risau dengan keadaan kita, rakyat yang berbilang kaum ini mula bertelagah antara sesama.

Lelaki yang menulis catatan tersebut adalah seorang lelaki Cina yang umurnya awal 20an saya kira. Saya percaya lelaki Cina itu mewakili semua kita tidak kira apa bangsa pun, yang cintakan keamanan dan kedamaian.

Apa akan berlaku jika kita asyik bergaduh antara sesama sendiri? Kesannya negara akan menjadi huru hara, ekonomi merosot dan yang paling penting, rakyat susah nak cari makan, kecuali mereka yang berada di atas sana yang kebanyakannya kaya raya dan duit bagi mereka bukanlah satu masalah.

Kebanyakan kita, kalau ada kepentingan pun itulah seperti yang saya kata, kita mahu negara negara kita ini aman, rakyat boleh cari makan. Rezeki banyak atau sikit itu masing masing kita punya rezekilah.

Saya suka mood yang dulu, saya rasa negara kita ini sudah cukup aman dan selesa untuk kita diami. Saya mahu mood itu sentiasa ada dalam diri kita, keselesaan dan keharmonian, itu penting untuk kita faham dan praktikalkan bersama.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.