22 DISEMBER — Masalah keadaan dan kualiti jalan raya di negara ini bukanlah satu perkara baharu yang berlaku semalaman.

Sebaliknya, masalah tersebut terus berlaku dan memberi igauan buruk kepada kebanyakan pengguna jalan raya di ibu negara. Bagi kebanyakan pengguna jalan raya seperti penulis sendiri, perjalanan ke tempat kerja saban hari yang memakan masa selama 45 minit tidaklah semudah yang disangka.

Malah, perjalanan tersebut yang sepatutnya rutin ada kalanya bertukar menjadi satu pengalaman buruk yang tidak mungkin dapat dilupakan. Ini kerana, penulis seperti kebanyakan pengguna jalan raya terpaksa mengharungi risiko keselamatan gara-gara kerana keadaan dan kualiti jalan raya yang tidak terurus.

Dalam konteks ini, definisi kurang terurus yang dimaksudkan merujuk kepada keadaan jalan raya yang berlopak, berlubang dan tidak rata. Ia juga merujuk kepada ketiadaan tanda arah atas jalan raya yang mengelirukan.

Dari Chan Sow Lin, Ampang ke Kepong sehinggalah ke Cheras dan berkemungkinan juga di tempat-tempat lain, keadaan jalan-jalan raya dilihat berada pada tahap yang agak mengecewakan. Ini kerana, ada segelintir jalan yang diturap secara tidak bersungguh-sungguh dan kualiti bahan yang digunakan juga tidak memenuhi standard yang ditetapkan.

Lebih memeranjatkan juga, terdapat beberapa batang jalan di hadapan kediaman penulis yang hanya diturap separuh jalan sahaja manakala sebahagian lain dibiarkan begitu sahaja. Apakah tindakan ini ada kaitannya dengan kos yang tinggi atau bidang kuasa pihak berkuasa, perkara itu tidak dapat dipastikan.

Apapun, isu tersebut telah pun berkali-kali dibangkitkan oleh pihak media dengan harapan sesuatu yang positif dapat dilakukan bagi memperbaiki kualiti jalan raya yang dilihat kurang terurus. Namun sehingga ke hari ini, masalah tersebut masih berlarutan dan kesudahannya, penduduk setempat terus merana.

Lebih menyedihkan, pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan menyelia perkara sebegini, nampaknya memilih untuk melepaskan tangan daripada mengambil tindakan proaktif bagi mengatasi masalah berkenaan.

Baru-baru ini, seorang pembonceng motosikal mengalami kecederaan serius pada wajahnya selepas terlanggar lubang besar di MRR 2. Pembonceng motosikal tersebut bukan sahaja hilang lima batang gigi bahkan juga tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, apabila masalah terbabit dibawa kepada perhatian pihak berkuasa, difahamkan pihak berkuasa menjelaskan, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana lokasi di mana pembonceng motosikal terlibat dalam kemalangan tidak terletak di bawah bidang kuasa mereka.

Pada hemat penulis, reaksi yang diberikan pihak berkuasa terhadap isu tersebut tidak mengejutkan malah satu reaksi tipikal yang mencerminkan sikap reaktif pihak berkuasa dalam menangani sesuatu masalah. Kelazimannya, tindakan hanya diambil jika perkara tersebut mendapat liputan berita yang komprehensif.

Sikap sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana tugas untuk memastikan keadaan dan mutu jalan raya di negara ini harus dilaksanakan secara konsisten dan bukannya secara bermusim. Tidak kiralah sama ada aduan yang diterima kecil ataupun besar, ia harus dilayan secara adil dan mendapat perhatian sewajarnya.

Namun begitu, apabila terdapat sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka sebagai Silaturahim Brotherhood bertindak menjalankan kerja-kerja membaiki jalan raya di Sri Rampai, Wangsa Maju dan Wangsa Melawati, niat baik mereka itu ditempelak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut laporan sebuah portal internet, DBKL dilaporkan telah menjelaskan, kumpulan individu berkenaan tidak seharusnya membaiki jalan-jalan raya secara bersendirian tanpa seliaan pihak berkuasa kerana tanggungjawab itu terletak di bawah bidang kuasa mereka.

Laporan portal internet itu juga memetik DBKL sebagai berkata, para pengguna yang tidak berpuas hati dengan keadaan jalan raya di ibu negara boleh melaporkan aduan kepada mereka untuk tindakan selanjutnya. DBKL turut mengakui pihak kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk membaiki jalan-jalan raya tidak melaksanakan tugasan mereka dengan baik.

Ya, tidak dinafikan kumpulan individu tersebut tidak sepatutnya bertindak secara bersendirian dalam hal ini, namun pihak DBKL juga wajar bertanya kepada diri mereka, mengapakah kumpulan berkenaan sanggup bertindak di luar batasan mereka? Inilah persoalan pokok yang perlu dijawab.

Pastinya, ada sebab mengapa kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Silaturahim Brotherhood ini bertindak sedemikan rupa. Menurut mereka, kerja-kerja membaiki jalan raya itu dibuat ekoran ketiadaan maklum balas oleh pihak berkuasa terhadap aduan-aduan yang dikemukakan.

Jika benarlah dakwaan terbabit, maka seharusnya pihak berkuasa seperti DBKL bertindak pantas terhadap aduan-aduan yang dikemukakan. Janganlah menunggu sehingga ke saat-saat akhir atau terjadinya sesuatu tragedi, baru diusahakan tindakan. Pada ketika itu, segalanya mungkin sudah terlambat.

Apa salahnya untuk pihak berkuasa bekerjasama dengan golongan rakyat yang prihatin terhadap kesejahteraan Kuala Lumpur? Bukankah tugas menjaga kesejahteraan dan kelestarian Kuala Lumpur adalah tanggungjawab kita semua? Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.