NOVEMBER 23 — Murid yang tinggal dan bersekolah di luar bandar kebanyakannya lemah dalam bahasa Inggeris, terutamanya di kalangan murid Melayu. Malah di bandar juga orang Melayu masih lemah dalam bahasa Inggeris, terutamanya di kalangan pelajar.

Malah diberitakan ramai di kalangan pelajar Melayu di IPT masih lemah dalam bahasa Inggeris. Kalau di zaman saya dulu mungkin kita sedia maklum kerana kurang pendedahan juga kemudahan.

Har ini sudah ada banyak kemudahan. Internet, kandungan cerita atau filem di siaran TV baik swasta mahupun RTM kalau cerita Inggerisnya ada kemudahan alih bahasa, jadi secara tidak langsung kita boleh belajar bahasa Inggeris di situ.

Pelajar Cina pula lemah dalam bahasa Malaysia. Agak malang kerana itu subjek yang wajib lulus. Jadi jika gagal bahasa Malaysia, maka gagallah secara keseluruhannya.

Advertisement

Mengimbau kenangan waktu zaman sekolah menengah saya sewaktu di kampung halaman dulu, saya kira hanya 15 peratus sahaja di kalangan pelajar yang menguasai bahasa Inggeris.

Dan agak malang pula di zaman Sijil Rendah Pelajaran (SRP) jika kita gagal subjek matematik dan Bahasa Malaysia, maka kita akan gagal. Hanya 2 pilihan, mengulang semula ke tingkatan 3 atau buat benda lain.

Lower Certificate of Education ( LCE) diperkenalkan pada tahun 1957 sampailah ke tahun 1985. Malaysian Certificate of Education (MCE ) diperkenalkan pada tahun 1964 sehinggalah tahun 1980.

Advertisement

Ramai juga kawan saya yang sempat mengambil peperiksaan LCE dan MCE yang masih dipraktikkan di zaman mereka, yang sepenuhnya menggunakan bahasa Inggeris. Tidak hairanlah mereka dapat menguasai bahasa tersebut berbanding yang berada di aliran kebangsaan.

Saya budak sastera. Di sekolah saya hanya ada 2 aliran, Sains dan Satera. Budak sains biasanya bijak bijak belaka, tapi dipenghujungnya bukan semuanya bernasb baik dalam melayari hidup dan masa depan.

Berbalik kepada peperiksaan SRP, agak menyedihkan kerana ramai di kalangan pelajar yang bijak dan pandai, cuma kerana mereka agak kurang dalam subjek yang berkenaan, maka harga yang harus dibayar adalah kegagalan.

Sewaktu mengambil SRP, saya cukup risau jika gagal matematik kerana seperti bahasa Inggeris, matematik juga subjek yang tidak diminati di kalangan pelajar Melayu, termasuklah saya.

Nasib baiklah lulus, dapatlah naik ke tingkatan 4 Sastera. Risau kerana kefahaman saya dalam matematik tidaklah begitu baik. Lulus pun atas sebab nasib saya kira kerana ujian dalam SRP dalam bentuk objektif.

Sewaktu di sekolah rendah, saya langsung tak tahu bahasa Inggeris apatah untuk berkomunikasi. Naik sekolah menengah masih juga merangkak . Nasib baik sewaktu peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) saya lulus bahasa Inggeris, itu pun hanya cukup makan sahaja.

Saya pula suka dengar lagu orang putih. Biasanya lagu lagu Inggeris yang saya minat saya akan rujuk kamus untuk terjemahan dan kefahamannya.

Saya masih ingat sewaktu ujian lisan bahasa Inggeris sewaktu saya mengambil peperiksaan SPM tahun 1984 dulu, 2 orang pemeriksa yang bertanya soalan kepada saya yang akhirnya mengakibatkan mereka ketawa. Saya pun tak pasti,  mungkin jawapan saya yang lintang pukang itu membuatkan mereka tidak dapat menahan ketawa.

Bahasa Inggeris saya hanya bertambah baik bila saya mendapat kawan kawan di kalangan pemuzik sewaktu awal tahun 90an dulu di Kuala Lumpur. Kawan kawan India saya, bahasa Malaysia mereka bahasa pasar, memang lintang pukang.

Jadi saya berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Inggeris, itu lebih adil. Di awal awal pergaulan memang lemah, tapi lama kelamaan tahap pergaulan dan komunikasi saya bertambah baik.

Untuk menguasai, kita perlu terus bertutur walau merangkak, lama kelamaan apabila ianya sudah menjadi biasa, kita akan dapat menguasai sekurang kurangnya untuk berkomunikasi.

Sama seperti bahasa Melayu, dalam pergaulan, kita tidak perlu berbahasa baku, sebab itu nampak sangat poyo nya. Seperti juga bahasa Inggeris, tidak perlu dalam bahasa yang standard. Asal kita boleh faham dan mesej sampai, itu sudah memadai, bagi sayalah.

Apabila bekerja di Yamaha Music pula, saya tidak punya pilihan kerana berkawan dengan orang Cina dan India, meeting pun dalam bahasa Inggeris juga. Jadi lama kelamaan tahap kefahaman dan pergaulan bahasa Inggeris saya dapat ditingkatkan secara tidak langsungnya.

Ramai kawan kawan bertanya mengapa saya tidak menulis lagu dalam bahasa Inggeris? Masalahnya bahasa Melayu dan artikel serta lirik lagu saya penuh dengan elemen sastera kerana itu ‘roots’ saya. Jadi jika mahu dibandingkan dengan bahasa Inggeris, memang tidak seimbang, baik dari segi pergaulan mahupun penulisan.

Walau bagaimanapun bahasa Inggeris  penting untuk kita mendapat peluang pekerjaan terutamanya jika kita tinggal di kota seperti Kuala Lumpur ini.

Saya masih mengharapkan agar anak anak saya akan menjadikan akhbar berbahasa Inggeris sebagai santapan untuk mereka baca setiap hari, sehingga menjadikan tabiat itu sebagai satu kebiasaan. Saya boleh agak betapa sukar nya untuk mendapat pekerjaan di zaman mereka nanti.

Melalui pembacaan, pengetahuan kita akan terus bertambah. Yang penting, ada inisiatif untuk terus memajukan diri.

* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.