OGOS 24 — Saya akui saya bukanlah seorang yang bijak merancang apa yang terbaik untuk keluarga dan masa depan. Banyak juga kesilapan masa lalu yang telah saya lakukan dalam menjalani hidup sebagai sebahagian dari warga kota yang boleh dikategorikan sebagai naif dalam memahami apa itu tipu daya kotaraya.
Saya pada awalnya tidaklah mengharapkan untuk hidup lama di dunia ini, mungkin sebelum umur 30 tahun jika diambil nyawa, saya akan tetap bersyukur. Tapi itulah, akhirnya perjalanan hidup kita sudah ditentukanNya sehingga kita punya keinginan untuk berkeluarga dan beranak pinak.
Seperti yang terjadi ke atas nabi Isa di dalam filem "Last Temptation of Christ", di mana seaktu Isa dipalang salib, diandaikan datanglah iblis yang menyamar sebagai seorang manusia memujuk dan mengajaknya tinggalkanlah kesengsaraan dan binalah kehidupan sebagai seorang manusia yang punya cita cita dankehendak.
Itulah yang dilakukannya sehingga akhirnya nabi Isa pun berkahwin dan beranak pinak sehingga ke usia tuanya. Segala galanya berlalu dan dalam prosesnya melalui kehidupan sebagai manusia, Isa menjalani kehidupan yang normal sepertimana manusia lainnya.
Sehinggalah sampai ke usia tua dan tahap uzurnya, sedarlah dia kehidupan ini rupanya hanyalah sekadar ilusi yang penuh dengan belit dan tipu daya kehidupan semata.
Saya sedang melalui apa yang Isa lakukan, menjadi manusia, punya sebuah keluarga dan sedang menghadap beban kehidupan yang terpaksa dilalui apatah bila GST ( Goods and Services Tax) atau Cukai Kepenggunaan muncul nanti, bertambahlah beban yang perlu dipikul.
Inilah harga untuk kita yang katanya khalifah yang paling istimewa di mukabumi Tuhan ini menjadi manusia untuk mengadap masalah demi masalah. Jika kita anggap ini sandiwara kehidupan, terpulang.
Cuma inilah kenyataan hidup yang perlu kita tempuh dan lalui jika kita ini manusia yang masih punya kehendak dan nafsu.
Kesannya memang memasalahkan sehingga ke hari ini. bagaimanapun kehidupan perlu diteruskan sebab jika kita asyik memikirkan kesilapan masa lalu, mungkin kita akan mendapat sakit jiwa dan tempat kita mungkin di Hospital Bahagia Ulu Kinta yang terletak di Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak.
Bercerita tentang kehidupan di kota yang keras di zaman ini, Kuala Lumpur hari ini bukanlah tempat yang ramah untuk warga yang tahap pendapatannya di bawah rm 3 ribu. Kos sara hidup yang semakin meningkat memungkinkan apa saja kerja terpaksa di lakukan demi untuk terus hidup dari siang sampailah ke malam.
Saya sudah tidak punya perasaan terhadap kota ini. saya di sini kerana kerjaya saya memerlukan saya berada di sini. Saya di sini kerana anak dan keluarga saya sudah tinggal di sini sejak sekian lama. Cuma yang saya tidak tahan adalah kos sara hidupnya yang membebankan.
Jika ada anak muda yang bercita cita ingin menjadi anak kota, elok lupakanlah hasrat yang murni itu.
Kota ini hanya menjanjikan mimpi dan angan angan, bukan kenyataan.
saya ingin berkongsi tentang kadar sewaan untuk menyewa rumah di sekitar kawasan Keramat atau Melawati.
Di sini, harga untuk standard rumah flat tiga bilik, kos sewaannya mencecah RM900 ke atas. Untuk menyewa di kawasan Melawati pula walau hanya terdapat dua bilik, kadar sewanya mencecah hingga RM1200 sebulan.
Kita boleh bayangkan jika pendapatan kita hanya RM3,000 ke bawah. RM900 untuk bayar sewa rumah. Bil api, air, internet, kereta dan segala macam perbelanjaan untuk persekolahan anak anak dan belanja dapur?
Sudahnya bila tiba di pertengahan bulan kita terpaksa meminjam di sana sini demi untuk menyampaikan kepada cukup bulan. Sampai sudah kita terpaksa berhutang atas desakan kos dan sara hidup yang tinggi di zaman ini.
Kadar sewa RM900 di kawasan Keramat pun sudah dianggap biasa malah jika pagi dilekat papan iklan, petang sudahpun ada penyewanya.
Jika kadar sewaan sudah menjangkau ribuan walau sekadar rumah flat yang hanya terdapat dua bilik dan satu bilik air sahaja, adakah kenaikan kos hari ini seiring dengan tahap pendapatan para penduduk yang tinggal di Kuala Lumpur ini?
Saya tidak fikir begitu. Masih ramai para warga yang hanya mampu meraih pendapatan sekadar RM2,000 sebulan. Maka terpaksa isteri juga turut bekerja untuk meringankan beban si suami.
Apabila ini yang kita hadapi hari ini, tidak hairanlah kadar jenayah makin berleluasa. Kejadian curi, samun, rompak dan sebagainya. Apa sahaja jika ia mampu mendatangkan hsail dan duit, manusia akan melakukannya walau dengan cara yang salah.
Kita tidak punya pilihan, jika inginkan kehidupan dan rumah yang selesa, berhijrahlah keluar dari kawasan penempatan yang padat seperti di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. Sekurang kurangnya di pinggir kota atau di kawasan Bangi, Rawang mahupun Seremban.
Tahun 2006 hingga 2009 dulu saya pernah bekerja dan tinggal menyewa di kawasan Ipoh, kadar sewanya masih murah. Hanya RM300 lebih untuk sebuah rumah teres tiga bilik dan dua bilik air.
Memang luas dan memberi keselesaan pada penyewa.
Kalau di Kuala Lumpur harga sewanya mungkin mencecah RM2,000 sebulan untuk sebuah rumah teres sama seperti yang saya sewa di Ipoh itu.
Kuala Lumpur? Di sini banyak bangunan tinggi tinggi milik kaum pemodal. Mereka memang banyak duit. Kita? Apa yang kita mampu lakukan hanya terus berdoa dan berdoa mengharapkan Tuhan akan mendengar keluhan kita.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
