OGOS 10 — Tahun ke-14 dalam abad 21 ini nampaknya akan dikenang sebagai tahun yang paling malang dan kejam dalam konteks konflik antarabangsa.
Dari Ukraine ke Baghdad sehinggalah Gaza dan Pakistan, konflik demi konflik berdarah membasahi muka bumi negara-negara berkenaan. Lebih mendukacitakan, golongan yang tidak berdosa seperti kanak-kanak, warga emas dan wanita menjadi mangsa kekejaman konflik yang didalangi oleh mereka yang berkepentingan.
Semuanya ini bukan sahaja dilakukan demi kelangsungan mereka bahkan juga untuk memuaskan ego, nafsu dan kepentingan peribadi golongan yang dimaksudkan.
Bagi mereka yang mendalami konflik-konflik berdarah ini, tiada apa yang lebih penting melainkan memastikan agenda serta keutamaan dilaksanakan dengan jayanya.
Berita menyayat hati mengenai penyembelihan beramai-ramai rakyat Iraq oleh kumpulan pengganas The Islamic State of Iraq (ISIS), insiden pengeboman kereta di Afghanistan oleh pengebom berani mati dan tindakan orang membunuh kerana agama sejak kebelakangan ini, membuktikan bahawa perasaan kasih sayang yang sepatutnya menjadi tonggak kepada hubungan antara manusia, kini sudah hilang.
Sebaliknya, perasaan kasih sayang tersebut digantikan dengan perasaan hasad-dengki, marah, benci dan syak-wasangka hingga mengundang perasaan kurang senang antara manusia. Kesemua konflik malah pembunuhan ke atas golongan tidak berdosa yang berlaku ini juga mendedahkan sikap gasar manusia masa kini.
Jadi, di mana silapnya? Apakah manusia sudah lupa akan ajaran agama yang dianutinya? Sejauhmanakah benar bahawa sikap kasih sayang dan belas kasihan sudah tidak ada dalam diri manusia? Mengapakah perlu kita sebagai umat manusia berbunuh-bunuhan antara satu sama lain dan menegaskan bahawa perbuatan sedemikian adalah halal di sisi agama? Jelas, peradaban manusia kini berada di persimpangan. Ada kalanya sikap gasar umat manusia dalam sesuatu isu dilihat lebih buas daripada binatang.
Apa yang pasti, umat manusia yang sentiasa dipenuhi dengan kemarahan dalam diri mereka, tidak akan mencapai kejayaan yang diidam-idamkan tetapi perkara sebaliknya yang berlaku. Apa tidaknya, manusia yang mudah marah dan sentiasa membenci orang lain akan menghadapi kesukaran membezakan apa yang betul dan apa yang palsu sekaligus menjadikan mereka golongan yang kurang toleran.
Di negara kita umpamanya, suhu politik negara yang semakin panas ketika ini mempunyai hubung kaitnya dengan sikap yang dimaksudkan. Perkembangan tersebut adalah jauh berbeza berbanding dengan situasi dua atau tiga dekad yang lalu. Ketika itu, hubungan antara kaum adalah baik dan tidak kedengaran bahawa setiap kaum menaruh syak-wasangka antara satu sama lain.
Malangnya, suasana sekarang cukup berbeza. Saban hari, ada sahaja kenyataan mahupun perlakuan berbaur perkauman yang dilontarkan di media sama ada oleh pemimpin politik ataupun pemimpin NGO dengan harapan untuk mencetus provokasi di pihak satu lagi di samping mendapat publisiti murahan.
Bukan itu sahaja, mutakhir ini timbul pula perbuatan yang lebih berbisa iaitu penyalahgunaan media sosial. Kelihatan sejak akhir-akhir ini, pengguna internet lebih gemar menyalahguna media sosial dengan menyebarkan paparan palsu yang menghina kesucian agama, kaum dan institusi diraja.
Beberapa masalah yang dinyatakan sebentar tadi akan menjadi lebih parah jika kedua-dua pihak enggan beralah. Situasi akan menjadi lebih rumit jika mereka memilih untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit menggunakan pendekatan masing-masing.
Itulah realiti sebenarnya yang dapat kita lihat di Malaysia ketika ini. Si pelaku dalam politik di negara kita nampaknya tidak berminat untuk memikirkan masa depan negara dalam jangka panjang. Bagi mereka ini, kepentingan jangka pendek menjadi fokus utama. Dalam erti kata lain, mereka lebih reaktif daripada proaktif.
Ini bermakna selagi kepentingan peribadi mereka tidak dipenuhi, maka selagi itulah isu penyalahgunaan media sosial dan penghinaan terhadap agama masyarakat lain akan terus berlaku.
Tidak dinafikan, masalah-masalah yang berlaku ini tidak mungkin dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Namun sebagai permulaan, mengapa tidak mengamalkan perasaan kasih sayang sesama manusia? Bukankah itu jalan penyelesaian terbaik bagi mengelak konflik besar daripada tercetus?
Semua agama menuntut penganutnya untuk melakukan kebaikan dan sentiasa berbaik sangka terhadap orang lain. Dan berlandaskan kepada sikap kasih sayang kepada umat manusia, nescaya perasaan kebencian dapat dielakkan.
Lebih signifikan, dunia ini akan menjadi lebih aman dan harmoni jika umat manusia menyayangi antara satu sama lain. Ketepikan kebencian, semaikan kasih sayang – inilah harapan terbaik untuk Malaysia!
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.
