JUN 29 ― Hari ini, 1 Ramadan – umat Islam di seluruh dunia mula menunaikan ibadah puasa.

Selama sebulan, umat Islam akan menahan diri daripada makan dan minum serta menghindari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari. Ibadah ini juga dilakukan sebagai memenuhi rukun ketiga dalam Rukun Islam. Selama 30 hari ini juga, kesabaran dan kekuatan iman umat manusia bakal diuji.

Pada masa yang sama juga, kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini juga memberikan kesempatan terbaik kepada rakan-rakan kita khasnya mereka yang bukan beragama Islam untuk menghayati signifikan dan nikmat ibadah puasa kepada umat manusia.

Biarpun mereka yang bukan beragama Islam tidak diwajibkan untuk menunaikan ibadah puasa seperti rakan-rakan Islam yang lain, sebenarnya  tidak salah bagi mereka untuk mengambil bahagian dalam ibadah puasa.

Malahan, dengan mengambil bahagian dalam ibadah puasa, rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam secara tidak langsung boleh merasai sendiri apa yang sedang dialami oleh rakan-rakan mereka yang beragama Islam.

Sikap mengambil tahu akan budaya serta agama masyarakat lain merupakan sesuatu yang terpuji. Sebagai sebuah negara majmuk yang penuh dengan budaya, adat resam serta bahasa yang berlainan, adalah penting jika setiap rakyat di negara ini bersikap proaktif dan tahu akan sensitiviti setiap kaum.

Langkah ini bukan sahaja akan menyelamatkan negara ini daripada terperangkap dalam perdebatan agama tidak berkesudahan yang boleh menjahanamkan negara bahkan juga merapatkan lagi silaturahim antara kaum.

Mungkin ramai beranggapan bahawa sikap mengambil tahu akan agama dan sensitiviti sesebuah kaum dilihat satu perkara remeh dan tidak penting, tetapi terbukti keprihatinan terhadap sensitiviti kaum lain mampu memberikan impak jangka panjang positif dalam mengurangkan syak-wasangka antara satu sama lain.

Penjelasan ini juga membawa kita kepada satu persoalan pokok: Berapa ramaikah daripada kita yang benar-benar memahami terhadap sensitiviti kaum lain? Ataupun ramai yang memilih untuk tidak ambil tahu kerana itu bukan tanggungjawab mereka berbuat demikian?

Mutahir ini, begitu banyak kes membabitkan sensitiviti kaum, agama dan adat resam kaum dilaporkan. Daripada tindakan membaling Molotov Cocktail di perkarangan gereja oleh individu tidak dikenali kepada tindakan meletakkan kepala lembu di hadapan rumah orang India sehinggalah kepada pertikaian terhadap kesetiaan sesebuah kaum di negara ini, semuanya menunjukkan kejahilan pihak yang mendalangi perbuatan tidak bertanggungjawab itu. Semacam juga terdapat percubaan nekad oleh golongan oportunis berkenaan untuk mencetuskan huru-hara di dalam negara.  

Realitinya, kesemua insiden yang dibangkitkan tadi boleh dielakkan jika mereka yang berkenaan memahami keperluan serta sensitiviti sesebuah kaum. Insiden-insiden tidak diingini itu tidak mungkin akan berlaku jika mereka yang berkenaan prihatin dengan keadaan di sekeliling.

Rakyat di negara ini juga tidak perlu diingatkan berkali-kali mengenai keperluan untuk menghormati sensitiviti kaum-kaum lain. Sebaliknya, amalan ini seharusnya sudah tertanam dalam minda setiap rakyat Malaysia dari dahulu lagi.

Kedatangan bulan Puasa kali ini sesungguhnya menjadi platform terbaik untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum untuk mengukuhkan lagi keprihatinan mereka terhadap sensitiviti rakan-rakan mereka yang beragama Islam. Apa yang penting, sikap keprihatinan tersebut tidak harus berhenti setakat pada tutur kata sahaja tetapi mencakupi juga perlakuan, tatasusila dan niat mereka.

Jika anda ingin makan dan minum, elakkan daripada berbuat demikian di hadapan mereka.  Namun dalam keadaan tertentu apabila perkara tersebut sukar dielakkan, maklumkan terlebih dahulu kepada mereka agar mereka tidak janggal atau tersentak dengan tindakan anda.

Sungguhpun “gesture” atau tindakan ini dilihat mudah, tetapi inilah bukti kukuh bahawa kunci utama kepada keharmonian sesebuah negara dan masyarakat terletak pada kesanggupan rakyatnya untuk saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Langkah pertama sering kali dianggap sebagai langkah yang paling sukar. Namun jika langkah pertama itu berjaya diharungi, maka tidak ada sebab mengapa langkah-langkah yang berikutnya tidak dapat diteruskan. Begitu jugalah dengan semangat hormat-menghormati terhadap rakan-rakan kita dari pelbagai kaum dan agama.  

*Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.