11 MAY — Taksub dalam bahasa Arabnya dieja taasub. Maknanya mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat halaman 1561 bermaksud keyakinan yang keterlaluan kepada sesuatu atau seseorang, juga membawa maksud fanatik.

Taksub mampu membuatkan kita menjadi sangat bodoh ( walau kita pandai ) dan mampu membawa kita kemana saja arah yang diarahkan oleh mereka yang kita taksub itu, sebabnya akal dan fikiran kita sudah dipandu arahkan.

Ini mengingatkan saya tentang dua buah buku menarik yang saya baca, satunya tentang kisah Arqam – Tersungkur Di Pintu Syurga’ dan lagi satu ‘Maunah - Kebenaran Yang Sebenar’. Kedua buku ini ditulis oleh saudara Zabidi Mohamed, Bekas Penasihat Undang Undang Al Arqam.

Tentang Arqam, saya agak faham tentang kisah dan perjuangan mereka di awal tahun 80an dulu kerana salah seorang saudara di sebelah bapa saya merupakan orang kuat di cawangan Arqam Batu Hampar, Perak. Umurnya sudah 75 tahun, beristeri lebih dari satu dan isterinya yang paling muda berumur 25 tahun.

Persepsi masyarakat yang tipikal tentang Al Arqam waktu itu, masuk Arqam boleh kahwin empat. Jangan risau, isteri tua tidak akan mengamuk dan marah-marah, bahkan turut merestui hajat suami mereka.

Saya juga kenal seorang kawan baik saya waktu sekolah dulu si awal tahun 80an, yang merupakan seorang mat rock yang kental. Segala macam band rock di dunia semua dalam kepalanya. Dia yang waktu itu bertukar sekolah di Ipoh jika bercuti balik kampung akan membawa video konsert band band rock dan metal luar negeri untuk kami tonton beramai-ramai di rumah seorang kawan yang memilik perakam video.

Setahun selepas itu saya bertemu lagi dengan kawan saya. Nyata dia sudah berubah dengan imej berserban dan berjubah setelah menyertai jemaah Arqam. Segala kaset, video dan apa saja yang ada kena mengena dengan muzik habis dibuangnya.

Saya terkejut dan bertanya mengapa itu jalan yang dipilihnya? Akhirnya saya menghormati keputusan yang dibuatnya, kerana kita manusia berhak menentukan apa yang kita mahu di dunia ini demi mencapai makna bahagia mengikut apa yang kita faham.

Selainnya kehidupan ini hanyalah sebuah perjalanan yang panjang, kita tidak tahu apa yang akan berlaku sesaat kedepan.

Itulah kali terakhir saya bertemu dengan kawan saya itu sehinggalah secara rasminya pada 5 Ogos 1994, Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan pertubuhan Al Arqam dan amalan Aurad Muhammadiahnya.

Sebuah lagi buku kisahnya peristiwa di Sauk dan Bukit Jenalik, tentang golongan Al Maunah yang diketuai pemimpin mereka Mohd Amin yang cuba memberontak terhadap Kerajaan pada tahun 2000 dulu.

Pun akibat taksub terhadap pemimpin, habis segalanya berakhir dengan tragedi.

Mengapa kita perlu taksub? Taksub kepada pemimpin, taksub kepada para wali, taksub kepada ajaran yang ekstrim, taksub kepada idola kita, guru kita dan sebagainya.

Guru hanyalah pembimbing kita, itu saja. Yang menyampai itu guru dan memahamkan kepada kita adalah diri kita sendiri. kalau kita yang tak faham, itu masalah pada diri kita sendiri.

Saya tidak menganggap mana-mana guru agama yang saya belajar itu maksum dan hebat, kerana mereka pun bersifat baharu. Mereka bergerak pun atas izin pencipta juga. Mereka juga diberi nafsu yang bila-bila masa sebagai pengemudi, mereka pun mungkin akan senget dan tumbang juga.

Di dunia hari ini, terlalu ramai golongan yang taksub dengan ideologi dan fahaman mereka. Biasanya yang membuatkan ianya menjadi masalah sebab mereka menyusahkan dunia dan manusia. Kita lihat di mana-mana di dunia ini, segala puncanya adalah kerana gilakan pangkat yang paling tinggi, untuk menjadi Tuhan dan berkuasa!

Agama Islam hari ini menjadi topik yang hangat dibicarakan di mana-mana saja, di media arus perdana, maya mahupun di kedai kopi. Isunya Hudud dan Islamik.

Kita lihat di negara Arab, apakah mereka ( bangsa Arab ) yang mengamalkan hudud itu boleh kita contohi sikap dan perlakuan mereka yang kadang menjalankan hukum mengikut akal singkat dan nafsu serakah juga.

Seperti yang berlaku di negara Timur Tengah sana yang menjalankan hukum hudud dengan merejam batu sehingga ke atas golongan perempuan yang lemah , apakah perlakuan mereka itu atas arahan Tuhan atau Hantu yang telah melekat dan bertenggek di jiwa mereka?

Kita lihat mereka, orang-orang Arab ini nak menguruskan negara mereka sendiri pun kelam kabut disebabkan sikap tamak dan bodoh sombong mereka. Lantas berperang antara sesama mereka, bunuh membunuh antara sesama mereka.

Bila masuk bab mazhab dan puak pula, yang puak itu bergaduh dengan puak ini. Solutionnya tiada dan Amerika tepuk tangan ketawa suka hati atas kebodohan bangsa Arab.

Di dalam hal yang melibatkan hukum hudud dan pelaksanaannya, saya banyak bersetuju dengan pandangan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir. Kita sudah mencapai kemerdekaan sejak 50 tahun dulu dan tetap juga mencapai maksud aman dan damai jika dibandingkan dengan negara membangun lainnya.

Sehingga ke hari ini masyarakat berbilang kaum, tanpa mengira apa agama mereka masih boleh cari makan dan beribadat atas apa yang mereka percaya.

Bahkan ramai golongan ulama dan penceramah yang menjadi kaya raya dengan menjual cerita agama, walau apa yang diceramahkan oleh mereka sudahpun kita pelajari di sekolah menengah dan di kampung dulu.

Saya merasakan perkara yang terbaik yang telah dan sedang kita lakukan adalah dengan mengambil sikap dan pandangan yang rasional dalam apa juga hal dan masalah.

Sehingga ke akhirnya, saya masih tetap akan percaya, Islam yang terbaik adalah sederhana dalam segala hal, baik dari segi faham mahupun pelaksanaannya.

 

* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.