27 JAN — Dalam konteks Malaysia, “Melayu” sering dikaitkan dengan “Islam” sehingga kita kadang-kadang gagal untuk membezakannya. Begitu juga apabila “Hindu” lazimnya dikaitkan dengan “India” dan “Tamil”.

Kebanyakan perayaan kaum India sering ada kaitan dengan keagamaan dan perkara ini tidaklah menghairankan memandangkan ajaran Hindu bermula lebih 5,000 tahun dahulu di Benua Kecil India.

Walau bagaimanapun, dalam suasana masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik, budaya dan bahasa seperti di Malaysia, memang wajar untuk kita sama-sama mampu membezakan antara upacara “agama” dan acara “budaya” (kaum).

‘Ponggol’ secara sederhana di Kuil Sivan, Kampung Chetti, Melaka.
‘Ponggol’ secara sederhana di Kuil Sivan, Kampung Chetti, Melaka.

Langkah ini juga perlu dalam usaha meraikan kepelbagaian, memupuk perpaduan dan menghindarkan salah faham akibat kurang pengetahuan asas.

Advertisement

Sehubungan dengan itu, langkah sebahagian besar gereja Katholik seluruh negara mengadakan sambutan “ponggal” pada 19 Januari 2014 wajar dijadikan suatu contoh proaktif ke arah memupuk persefahaman.

Ponggal (“pesta menuai”) sering dikaitkan dengan masyarakat India berketurunan Tamil dan Telugu. Pesta ponggal disambut pada permulaan bulan Thai (Januari/Februari) mengikut kalendar Tamil.

Walaupun tidak ramai kaum India menjadi petani dan pesawah di Malaysia, tradisi sambutan pesta menuai itu dikekalkan turun-temurun. Saya pernah menulis makalah bagi menghuraikan pesta ini dan orang ramai boleh mengunjungi www.uthayasb.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

Advertisement

Kaum Chetti di Melaka turut menyambut ponggal – dipanggil “ponggol” – yang menjadi salah satu acara penting dalam kalangan penduduk di Kampung Chetti, Melaka sejak zaman-berzaman.

Perlu dinyatakan bahawa walaupun bermula sebagai golongan saudagar dan peniaga pada abad kedua, kelompok Chetti yang unik itu kemudian menjadi pesawah sebelum tanaman mereka musnah.

Sudah jadi amalan sejak turun-temurun

Namun begitu, tradisi sambutan ponggol tetap diteruskan. Agak menarik juga bahawa walaupun kaum Chetti tidak melihat diri mereka sebagai “kaum India”, sambutan ponggol tetap dijadikan salah satu acara utama.

Konsep ‘ponggal’ ada persamaan dengan Gawai dan Kaamatan.
Konsep ‘ponggal’ ada persamaan dengan Gawai dan Kaamatan.

Saya berpeluang menyertai ponggol di perkampungan warisan itu pada Januari 2007 dan Januari 2014. Perlu diakui bahawa unsur agama lebih ketara dalam sambutan di Kampung Chetti. Hal ini mungkin kerana mereka sudah mengasimilasikan “budaya” dan “adat” India bersama-sama “agama” Hindu.

Pada 19 Januari 2014, saya dan Kughan Nadarajah berpeluang menyertai kemeriahan sambutan ponggal di Gereja Divine Mercy, Shah Alam bersama-sama Perzeus James. Ia sebagai kesinambungan kepada “Konvoi Rumah Ibadat” anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak tahun 2010.

Seorang rakan di Facebook, Hendry Rao, memaklumkan bahawa sambutan ponggal juga diadakan di Gereja Good Shepherd, Air Panas, Kuala Lumpur. Azizah A Shariff pula memberikan contoh Gereja St Anthony di Pudu sementara Shela Rasin memberikan Gereja Holy Family, Kajang sebagai contoh.

“Walaupun agama mungkin menjadi faktor perbezaan, namun budaya yang diwarisi menjadi fokus pada hari sambutan ponggal di gereja, khususnya jika mempunyai ramai penganut Katholik daripada kalangan kaum India,” Hendry menjelaskan.

Darvin Anthony Samy memberikan contoh Gereja Sacred Heart Jesus di Kulim, Kedah yang menganjurkan sambutan ponggal sejak lebih 20 tahun lalu. Menurut Rachel Anbumalar Sebastiyan, “ponggal sudah menjadi amalan sejak zaman nenek-moyang di gereja-gereja sekitar Ipoh, Perak.”

Sambil mempersetujui hakikat itu yang mungkin kurang diketahui umum, Emmanuel Joseph menambah bahawa kebanyakan gereja turut sama-sama meraikan dan mengadakan acara khas sempena Tahun Baru Cina, Merdeka dan Hari Malaysia.

Semasa berkunjung ke Gereja Divine Mercy, saya tidak melepaskan peluang merakamkan klip video dan foto untuk dipaparkan segera kepada umum menerusi Facebook. Sesungguhnya saya mahu berkongsi kekaguman saya bersama rakan-rakan.

Saya dah Kughan turut mengikuti misa (mass) khas yang diadakan dalam Bahasa Tamil dan Inggeris, sementara Perzeus sibuk dengan tugas-tugas lain sebagai sebahagian jawatankuasa penganjur.

Budaya dikekalkan tanpa kompromi

Saya membisikkan kepada Kughan bahawa banyak perkara asas yang boleh dipelajari oleh pihak pengurusan kuil (Hindu) daripada gereja Katholik. Gereja berkenaan bukan sekadar rumah ibadat tetapi menjadi pusat aktiviti, sosial, pendidikan dan kemasyarakatan yang dilengkapi segala kemudahan yang diperlukan.

Misa khas diadakan di kebanyakan gereja sempena pesta menuai.
Misa khas diadakan di kebanyakan gereja sempena pesta menuai.

Misa yang disampaikan oleh Father Dr Clarance Devadas tidak pula berciri terlalu “keagamaan” atau “khutbah/dakwah” Kristian. Sebaliknya ucapan beliau bersifat amat universal dan pasti boleh dimanfaatkan mana-mana manusia yang bersikap rasional.

Antara lain, beliau mengingatkan bahawa tokoh-tokoh hebat dunia seperti Mahatma Gandhi dan Mother Theresa tidak lahir bersama-sama gelaran itu. Sebaliknya gelaran itu diberikan orang ramai – tanpa mengira kaum dan agama – berdasarkan apa yang mereka lakukan demi kesejahteraan umat manusia.

Sejak mula, saya berpeluang menyaksikan – serta membuat rakaman video dan foto – Sister Stella membuat persiapan bagi ponggal di hadapan pintu masuk utama Gereja Divine Mercy.

Dapat diperhatikan bahawa tiada kompromi dalam memastikan acara “pesta menuai” itu dilaksanakan sepenuhnya mengikut adat dan budaya India/Tamil. Misalnya, penggunaan batang tebu sebagai hiasan, dapur kayu, periuk belanga, lukisan kolem, lampu minyak dan sebagainya yang sering dikaitkan dengan upacara Hindu.

“Ini adalah sebahagian daripada budaya kaum India dan tidak bertentangan dengan ajaran Katholik. Maka, kami mahu memastikan ia seboleh mungkin dilaksanakan secara tradisional,” kata Stella kepada beberapa orang yang bertanya serta mencadangkan penggunaan dapur gas bagi memudahkan urusan.

Menurut Perzeus, ini adalah tahun kelima sambutan ponggal diadakan di Gereja Divine Mercy. Rata-rata penganut Kristian pelbagai kaum yang pergi ke gereja Katholik itu tahu bahawa ponggal adalah acara kebudayaan yang wajar dan sesuai diraikan bersama.

“Kami menyedari keunikan ponggal sebagai pesta menuai yang bertujuan mengucapkan terima kasih kepada Tuhan atas rezeki yang dikurniakan-Nya kepada umat manusia; khususnya petani. Memandangkan nasi adalah makanan utama masyarakat Malaysia, maka pesta ponggal sesuai diraikan oleh semua,” katanya.

Usaha murni melahirkan Bangsa Malaysia

Memandangkan orang Kristian yang berasal dari Sabah dan Sarawak juga mengunjungi gereja ini, maka pesta ponggal (Januari) membuka ruang dan peluang untuk melihat persamaan dengan Kaamatan (Mei) dan Gawai (Jun).

Father Clarance (berdiri) menyaksikan Stella menguruskan ‘ponggal’ di Gereja Divine Mercy.
Father Clarance (berdiri) menyaksikan Stella menguruskan ‘ponggal’ di Gereja Divine Mercy.

Secara tidak langsung, usaha ini mampu membantu mengukuhkan perpaduan tanpa mengira kaum, etnik dan latar belakang. Perkara ini sempat saya dan Kughan perhatikan sendiri semasa menghadiri ponggal di Gereja Divine Mercy.

“Para penganut Katholik daripada pelbagai kaum dan latar budaya menyokong penuh, memahami serta menantikan sambutan ponggal kerana ia amat unik dan menyeronokkan. Pihak gereja juga menempah nasi manis (ponggal) khas untuk diberikan kepada semua yang hadir pada hari berkenaan,” Perzeus menghuraikan.

Bagi pemuda itu sendiri, sambutan ponggal bukan sesuatu yang baru. Sejak kecil, ponggal diraikan kaum India tanpa mengira anutan agama di tempat kelahirannya iaitu Batang Berjuntai (Bestari Jaya). Budaya, adat dan pakaian tradisional kaum India seperti sari dan jibba juga dikekalkan kerana ia tidak bertentangan dengan agama.

Mengikut maklumat yang disampaikan Devendran K Panersilbam, sambutan ponggal di Gereja Holy Family, Kajang sangat meriah dengan kehadiran sekitar 700 orang.

“Sambutan ponggal tidak berciri keagamaan. Maka kami mengundang rakan-rakan pelbagai kaum untuk hadir dengan semangat perpaduan dan muhibah bagi mengeratkan silatulrahim,” katanya selaku pengerusi jawatankuasa penganjur dan jawatankuasa belia gereja berkenaan.

Semua ini adalah sebahagian daripada keunikan yang mungkin hanya terdapat di Malaysia. Malangnya, ada puak fanatik, etnosentrik, ultra kiasu dan rasis yang tidak mampu meraikan kepelbagaian ini.

Sebaliknya mereka lebih sibuk mencetuskan kemarahan, perpecahan, bibit perkauman dan sengketa dalam kalangan Bangsa Malaysia. Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali dan memahami; bukan untuk memusuhi.

Slogan muluk “1Malaysia” yang dilaung-laungkan sejak tahun 2009 ternyata hanya retorik politik dan memang tidak mahu dijadikan realiti di bumi bertuah ini. Nampaknya usaha ke arah memupuk perpaduan dan integrasi sebenar di Malaysia masih terlalu jauh.

Semoga usaha-usaha kecil tetapi amat bermakna seperti dilakukan gereja-gereja Katholik ini mampu memberikan sumbangan ke arah melahirkan Bangsa Malaysia yang diimpikan.

________________________________________

(* Uthaya Sankar SB akan menjelajah Lembah Bujang, Kedah pada cuti Tahun Baru Cina. Ikuti perkembangan di www.facebook.com/uthaya)

 

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.