27 OKT — Baru-baru ini saya terjumpa kawan lama, seorang pemain gitar terkenal di negara kita ini, Sham Kamikaze. Umum mungkin sedia maklum beliau sudah berhijrah dari dunia glamour artis ke dunia dakwah atau kita kata pemuzik yang berdakwah melalui muzik.

Saya kenal Sham atau nama sebenarnya Shamril bin Mohd Salleh sejak tahun 1997 lagi. Waktu itu saya bekerja di Yamaha Music cawangan Jalan Imbi. Syam pula waktu itu masih mencari arah hidup dan karier muzik yang masih tidak menentu. Maknanya beliau waktu itu belum di kenali sangat di arena mainstream kecuali di kalangan teman-teman dan rakan-rakan pemuzik terutamanya.

Beliau lahir pada tahun 1976 dan mula mendapat pendedahan awal muzik daripada bapanya yang juga merupakan seorang pemuzik professional. Mula bermain gitar pada usia 12 tahun dan umur 14 sudah mula bermain dengan ‘band’.

Nama Sham sebagai seorang pemuzik di kalangan rakan pemuzik dan pub tidaklah asing kerana beliau antara pemain gitar yang paling menonjol selain Man Kidal, Hillary, Samad, GG, Shahrul Ekamatra antaranya.

Beza Sham dengan pemuzik lain yang saya lihat, beliau lebih versatile cara permainannya, tidak seperti gitaris lain yang hanya tertumpu kepada genre rock saja contohnya. Sham berkebolehan memainkan apa saja genre muzik seperti jazz, pop, rock, progresif, reggae dengan baik sekali.

Tidak hairanlah beliau banyak mendapat projek dan sempatlah buat duit dengan menjadi pengarah projek projek Astro dan AF (Akademi Fantasia), menjadi tenaga pengajar di Aswara, Guitar Institute of Malaysia (GIM), Roland Music School, menjadi pemuzik di RTM dan sebagainya.

Saya banyak kenal ramai pemuzik-pemuzik hebat di negara kita ini, kerana kerjaya saya yang melibatkan pemuzik, muzik dan peralatan. Saya bekerja di Yamaha Music dari tahun 1996-2004. Lama juga tu. Bagi saya antara pemuzik antara sesama mereka perlu ada sifat saling menghormati tidak kiralah apa genre mereka sekalipun.

Mereka pun mungkin tidaklah melihat atau kenal saya sebagai seorang pemuzik mahu pun singer-songwriter kerana aliran dan cara berbeza. Saya lebih suka dengan cara saya yang indipenden dan lari dari tema komersial terutamanya yang dalam hal yang melibatkan cerita tentang artis dan industri hiburan tanahair.

Dunia artis menuntut kita berkongsi cerita luar dalam yang bodoh-bodoh belaka isunya, seperti kisah leher Aaron Aziz senget, kisah artis bercerai, kisah itu, kisah ini yang berserabut dan jika membaca cerita yang sebegini, tidak mendatangkan manfaat bahkan menambahkan dosa kita saja.

Penulis bersama Sham Kamikaze.
Penulis bersama Sham Kamikaze.

Yang itu yang saya tidak sanggup dan lebih suka bergerak dengan cara saya sendiri, tak glamour pun tak apalah. Buat apa kaya dan glamour seperti Michael Jackson jika kita ibarat hidup di dalam penjara (yang kita bina sendiri) ?

Seperkara, saya melihat mereka (artis) sebagai watak mereka sendiri, seperti pemuzik contohnya, dan tidak melihat mereka sebagai ‘star’ atau artis yang glamour. Glamour atau gossip ni hanya mainan pihak media yang lebih suka cerita yang mengarut bertujuan untuk melariskan majalah atau akhbar mereka. Apa boleh buat, dah masyarakat kita yang lebih suka cerita yang sebegitu.

Apabila Sham menubuhkan kumpulan muzik rock Kamikaze dan muncul dengan album sulung mereka ‘Kontroversi’ pada tahun 2000, kami jarang berjumpa kecuali hanya sekali-sekala dan bila namanya mula terkenal di tanahair sebagai pemuzik, pernahlah kita berjumpa lagi dan beliau masih seperti sebelumnya, peramah dan kami pun berbual lebih kurang perihal muzik dan karier.

Kamikaze yang dianggotai oleh T-Rex (vokal), Sham (gitar), Rahmat (bass) dan Amy (dram), sempat memeriahkan industri muzik tanahair dengan lima album iaitu Kontroversi (2000), Inspirasi (2000), Setahun Selepas (2001), Kamikaze 3 (2001) dan The Return (2009).

Oleh kerana di dalam band tersebut hanya nama Sham saja yang menonjol, maka tidak hairanlah beliau mampu mencelah dalam dunia muzik yang kompetitif sehingga berjaya menjadi seorang pemuzik yang disegani di negara kita ini.

Beberapa tahun selepas itu beliau mula cenderung ke arah keagamaan dengan agak drastik. Seperti katanya kepada saya baru-baru ini selepas beberapa tahun tidak berjumpa, dunianya hari ini lebih tenang dan tidak haru-biru seperti di zaman glamournya.Dan rezekinya semakin murah selepas proses hijrah yang dilakukannya.

Saya memberi galakkan kepadanya untuk terus melakukan seperti apa yang dia lakukan sekarang. Muzik juga berperanan memberikan kita mesej dan pengajaran , seperti berdakwah melalui muzik. Namanya pun besar di dalam industri muzik kita, jadi mudahlah untuknya lebih berperanan dengan watak yang dibawanya di dunia ini.

Manusia mencari arah hidup dan kejayaan di dunia ini dengan berbagai cara. Apa pun apabila sampai ke kemuncaknya, pasti ada dugaan yang datang dan tatkala itu walau kita punya banyak wang dan harta pun tidaklah mampu menyelesaikan siri haru-biru yang kita lalui.

Tidak hairanlah ada di kalangan mereka akhirnya memilih agama dan mula mencari kebenaran dari sudut jiwa yang paling dalam. Kalau dah tak ada tempat kita mengadu, mana lagi nak kita tuju melainkan Tuhan?

Saya percaya nilai sebuah kebenaran itu sentiasa ada untuk kita, kerana perhubungan kita dengannya itu seperti setianya siang kepada malam. Dia sentiasa ada untuk kita, hanya kita saja yang leka dan sering alpa.

Materi melalui pintunya nafsu akan membutakan mata hati kita dengan berbagai cara sehingga kita sering tertidur dan lena dengan mainan indah dunia yang tidak ada penghujungnya. Kita menjadi manusia yang sentiasa laparkan keindahan dan sentiasa memenuhi kehendak duniawi berbanding ukhrawi.

* This is the personal opinion of the columnist.