17 NOV — Belajar sambil mencabar. Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang. Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin berpengalaman (mencabar) dan terpelajar. — Prof. Ungku A. Aziz

Forum Idealisme Gen-Y  anjuran mahasiswa UIA dibawah Convocation Fiesta (Convest) 13 pada 14 November 2013 yang lalu menatijahkan impak yang besar pada kebanyakan mereka yang hadir membanjiri diskusi tersebut.  Dibarisi panel-panel yang saya kira datang dari latar belakang yang berbeza dan dalam konteks idealism mereka yang berbeza merancakkan lagi perbincangan pada malam tersebut.

Ikon-ikon anak muda seperti Anas Alam Faizli, antara barisan pengasas Teach For the Needs (TFTN), Ally Iskandar yang dikenali sebagai selebriti TV dan juga Imam Muda Adan yang semakin menempa nama memberi satu persepsi yang pasti bahawa perbincangan tersebut akan sedikit sebanyak memberi manfaat yang besar pada mahasiswa.

Begitu banyak perkara yang dibincangkan dari politk, ekonomi , isu aqidah dan sebagainya menjadi topik perbahasan malam tersebut. Fokus utama isu-isu ini dibincangkan pula berkait rapat dengan apa yang kita namakan sebagai generasi Y atau frasa pendeknya, Gen-Y. Jadi apakah sebenarnya Gen-Y? Mungkin ramai yang sudah tahu dan mungkin ramai juga yang hanya sambil lewa mengguna pakai istilah ini.

Kemudian, kenapa penting untuk Gen-Y memiliki idealisme? Idealisme untuk apa atau siapa?

Siapa itu Gen-Y?

Dalam satu kertas kerja terbitan PrincetonOne bertajuk “Understanding Generation Y : What You Need To Know About the Millennials” , generasi Y dirujuk sebagai mereka yang lahir dalam lingkungan tahun 1970-an hingga 1990-an, dan jumlah mereka hampir 80 juta seluruh dunia bersamaan dengan komuniti ‘baby boomers’ ( golongan yang lahir dalam lingkungan tahun 1946 hingga 1964) iaitu generasi sebelum generasi X.

Generasi Y ini pula dianggap sebagai tenaga buruh yang berpotensi besar dan  sangat berupaya membentuk corak sosio-ekonomi dalam kalangan masyarakat majmuk pelbagai generasi. Mereka hidup dalam dunia teknologi dan dunia internet, mereka sentiasa inginkan sesuatu yang mencabar, rutin harian yang sama membosankan mereka, kegiatan sosial menjadi kegemaran mereka dan yang paling penting mereka hidup dalam dunia yang mana mereka dapat berhubung dan berinteraksi dengan secara global tanpa sempadan.

Kertas kerja itu juga menerangkan tentang lima mitos terbesar mengenai generasi Y iaitu malas, inginkan penghargaan segera, tidak setia, pentingkan diri sendiri dan terlalu dimanjakan. Namun begitu, ternyata mengikut kajian yang dijalankan Solutions 21 ,mitos-mitos ini memang mitos semata-mata dan konsepsi yang amat salah.

Generasi Y bukan sekadar rajin bekerja, malah mereka mahu kerja yang mereka lakukan itu bermakna dan mempunyai impak terhadap masyarakat. Mereka juga mementingkan hubungan kekeluargaan dan menyumbang peranan yang sangat besar terhadap aktiviti sukarelawan. Ia menambah bahawa:

“Gen Yers are not simply looking for their employers to show they care. They are “walking the walk” and volunteering at record rates. The trends are overwhelming; since Gen Yers were teenagers, the rate of volunteerism has increased significantly and has doubled in the 16 to 19 and 20 to 24 demographics.”

Ini dapat dilihat dalam banyak program-program yang dianjurkan oleh mahasiswa-mahasiswa Gen-Y dalam membantu masyarakat marginal termasuklah OKU, anak-anak yatim, orang-orang tua di rumah-rumah kebajikan, golongan tidak berumah, orang miskin dan sebagainya.

Keunikan Gen-Y dan Perbezaan Generasi

Menurut Mark McCrindle (2002), dalam kajian beliau “Understanding Generation-Y” , menyatakan masyarakat kita bukan terpecah kerana pembahagian umur , jantina, pendapatan, agama dan sebagainya akan tetapi kerana perbezaan generasi. Kehidupan generasi kepada satu generasi berubah dalam konteks yang sangat signifikan.

Generasi Y hidup dalam keadaan yang tidak punya apa-apa kepastian tentang masa depan mereka. Revolusi teknologi dalam komunikasi, maklumat , perubatan, pendidikan , keadaan politik ,sosial dan ekonomi zaman ini membentuk apa yang mereka fikir dan percaya. Mark juga berpendapat ada tiga perkara yang sangat mempengaruhi gen-Y dalam pembentukan peribadi mereka iaitu rakan sebaya, pragmatis dan kecenderungan.

Zaman ini, tradisi turun temurun yang disampaikan kepada mereka oleh ibu bapa tidak lagi menjadi kebenaran mutlak bagi mereka. Aktiviti sosial mereka bersama rakan sebaya dalam dunia yang serba global ini mempercepatkan dan mendedahkan mereka dengan dunia global memyumbang sebahagian besar kepada keterbukaan pandangan mereka.

Keadaan ekonomi yang tidak stabil dan cepat berubah-ubah juga membuatkan mereka sendiri tidak pasti akan masa depan yang dipenuhi kadar pengangguran yang tinggi, kadar jenayah yang meningkat dan berbagai-bagai lagi faktor ekonomi, sosial dan politik yang membelenggu mereka.

Oleh itu, konsep pemikiran yang “linear” iaitu jika anda bermula dari satu titik , anda akan berakhir pada satu titik yakni mempercayai satu masalah boleh diselesaikan dengan jawapan yang mutlak tidak menarik minat mereka. Ini kerana mereka telah terdedah kepada pelbagai maklumat yang menunjukkan sebaliknya. Kehidupan yang mereka lalui tidak memberikan mereka satu jawapan mutlak. Keadaan seseorang di satu-satu tempat dan masalahnya memerlukan jawapan yang berbeza dengan seseorang di dalam konteks yang berbeza.

Kemiskinan yang dilalui rakyat marginal di Malaysia misalnya berbeza dengan kemiskinan yang dilalui rakyat marginal di UK. Justeru, model-model sosio-ekonomi baru perlu dibentuk bersesuaian dengan keadaan setempat dan jawapan-jawapan kepada pelbagai permasalahan itu bersifat relatif.

Mahasiswa sebagai Gen-Y

Setelah kita mengetahui siapa itu gen-Y, maka wajarlah kita mengaitkan peranan generasi ini pula dengan mahasiswa. Forum “ Idealisme Gen-Y”  malam itu membuka mata kita pada banyak perkara. Kita kini mengetahui yang mahasiswa khususnya tidak boleh lagi ditipu.

Akses terhadap maklumat yang pantas melalui internet berhasil menghakis sedikit demi sedikit tradisi “blind following” yang diamalkan secara turun temurun. Mahasiswa akan sentiasa mempersoalkan segala sesuatu yang dihadapkan di depan mata mereka.

Mahasiswa yang sebenar akan sentiasa menggunakan kapasiti akal dan rasional mereka sebagai senjata  bagi menapis segala bentuk tradisi keilmuan, budaya, fahaman agama, bangsa yang berkepentingan. Mahasiswa yang sebenar juga tidak akan tertipu dengan mana-mana kepentingan parti-parti politik yang cuba mengesksploitasi tenaga dan memanipulasi pemikiran mereka.

Mahasiswa malah akan berperanan sebagai “check and balance” kepada gelagat-gelagat nakal agamawan-agamawan dan politikus-politikus yang menjual agama, bangsa dan negara demi kepentingan mereka.

Mahasiswa adalah “kuasa ketiga” yang benar-benar bebas dari mana-mana anasir yang cuba memanipulasi isu-isu masyarakat untuk “political mileage” ahli-ahli politik. Mahasiswa tidak akan terburu-buru dalam merespon satu-satu isu tanpa usul periksa dan terperangkap dengan agenda pihak-pihak tertentu.

Mahasiswa juga akan bersikap adil dalam memberi pendapat dan tidak bertujuan untuk menjatuhkan atau memalukan sesiapa tetapi hanya berani mengatakan apa yang benar dan memperjuangkannya bukan sekadar protes-protes di jalanan, malah memaknakan idealisme mereka yang mandiri dan menatijahkan aktivisme mereka di lapangan masyarakat yang memerlukan keberadaan mereka di saat tiada sesiapa yang peduli.

Mahasiswa juga tidak akan taksub buta pada mana-mana pegangan aqidah, ideologi mahupun pandangan hidup sesiapa tanpa mengujinya di meja-meja diskusi, di pentas-pentas debat , di ruang-ruang penulisan, di tepi-tepi jalanan, di dalam bilik kuliah, di hadapan para pensyarah, di depan para birokrat, ahli politik dan agamawan malah turun menyelesaikan masalah masyarakat dengan tangan-tangan mereka tanpa campur tangan sesiapa.

Mahasiswa yang tidak boleh ditipu dan mindanya sentiasa ghairah terhadap ilmu dan hatinya sentiasa terpaut terhadap golongan yang lemah di dalam masyarakat inilah sebenar-benar mahasiswa.

Kesimpulan

Mahasiswa sebagai generasi-Y adalah generasi yang sangat berpotensi besar dalam membawa misi membaik pulih keadaan masyarakat yang lapar dari toleransi, berbaik sangka, bantu-membantu rentas parti politik,budaya,agama, ideologi  dan sebagainya. Mahasiswa adalah entiti yang bebas kepentingan dan menjadi harapan untuk menggerakkan peranan kerarah perubahan sosial dan pemulihan politik negara. Saya menyeru mahasiswa seluruhnya untuk bersatu teguh dalam kepelbagaian dan membina jaringan yang baik dengan sektor-sektor awam dan swasta, aktivitis-aktivis sosial, NGO-NGO yang kebanyakannya berusaha menjadikan negara kita suatu tempat yang lebih baik untuk  kita sanjungi dan sayangi.

Ayuh mahasiswa! Bangkit dan fikirkanlah!

* Ini adalah pendapat peribadi penulis atau bukunya dan tidak perlu mewakili pandangan The Malay Mail Online.