18 JUN — Beberapa hari yang lalu sempena cuti Hari Raya Aidilfitri yang panjang, masa yang terluang dimanfaatkan oleh penulis untuk membaca suratkhabar dan melayari portal-portal berita bagi mendapatkan perkembangan isu-isu semasa.

Sudah pasti, antara isu-isu yang mendapat tumpuan penulis malah juga kebanyakan rakyat Malaysia adalah mengenai berita-berita politik negara. Maklumlah negara kita baharu sahaja melalui pertukaran pemerintahan kerajaan buat pertama kali dalam sejarah.

Memang tidak dinafikan isu-isu politik sangat menarik untuk dianalisis kerana motif si pelaku, matlamat mereka bahkan juga kesudahan plot cerita boleh berubah dalam sekelip mata sekaligus mempengaruhi persepsi seseorang terhadap mereka.

Di pihak media pula, mereka masing-masing akan berlumba untuk cuba mencari bahan-bahan berita terbaik untuk disajikan kepada para pembaca. Untuk itu, penulis mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para wartawan kita. Tanpa keringat dan usaha mereka, tiadalah bahan-bahan bacaan untuk tatapan semua.

Advertisement

Namun dalam kerancakan untuk menyajikan berita-berita kepada para pembaca dan dalam usaha menaikkan “rating” dan jumlah pembaca, salah satu aspek yang wajar diberi perhatian oleh media adalah mengenai kesahihan serta ketepatan maklumat yang disampaikan.

Yang dimaksudkan dengan ketepatan maklumat termasuklah tajuk berita yang diberikan kepada artikel yang ditulis. Berdasarkan kepada pemerhatian penulis sejak kebelakangan ini, terdapat kecenderungan oleh segelintir media yang memberikan tajuk berita yang agak mengelirukan dan “misleading” dalam artikel yang ditulis.

Sama ada kesilapan itu adalah secara tidak sengaja ataupun kerana kesalahan fakta, perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku lebih-lebih lagi media merupakan tempat untuk rakyat mendapatkan sumber maklumat yang sahih. Namun, jika maklumat yang disampaikan itu tidak tepat, bagaimanakah anda boleh mengharapkan rakyat untuk terus mempercayai apa yang ditulis?

Advertisement

Dalam konteks penulisan berita, pemilihan tajuk berita amatlah kritikal kerana kebiasaannya ia akan membentuk persepsi pembaca terhadap sesuatu isu. Umum mengetahui kebanyakan daripada kita akan membaca tajuk berita terlebih dahulu sebelum meneliti isi cerita. Itupun, bukan semua akan membaca keseluruhan berita yang dimaksudkan. Apabila tajuk berita yang disajikan dilihat berbeza dengan isi cerita, ia akan menimbulkan pelbagai tanya-tanya dan spekulasi yang bukan-bukan.

Oleh yang demikian, adalah sangat mustahak agar perkara ini diberikan perhatian serius oleh pihak Jabatan Pengarang organisasi-organisasi media. Kesilapan dan kealpaan sebegini boleh memberi impak yang besar kepada reputasi seseorang individu, organisasi mahupun negara dalam jangka panjang.

Sebagai seorang yang sentiasa membaca suratkhabar dan melayari portal-portal berita saban hari, penulis berharap perkara yang dibangkitkan tadi akan membuka mata pihak Jabatan Pengarang media untuk lebih teliti sebelum menyiarkan sesuatu artikel.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.