18 SEPT — Kebelakangan ini, terdapat pelbagai jenis cerita yang tersebar luas dalam WhatsApp dan aplikasi media sosial lain.
Cerita-cerita yang dijajakan itu ada yang berkisar kepada isu-isu semasa negara dan tidak kurang juga, isu-isu lama yang dikitar semula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Antaranya, cerita yang mengatakan aplikasi WhatsApp dan perbualan telefon kononnya dipantau oleh pihak berkuasa, tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 akan diadakan pada Oktober ini dan banyak lagi.
Apa yang cuba dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakyat bahkan juga mencerminkan terdapat cubaan oleh mereka untuk memanipulasi dan mengelirukan rakyat.
Di pihak rakyat, mereka tidak wajar mudah terpedaya dan mempercayai berita-berita yang dikeluarkan. Sebaliknya, inilah masa untuk menggunakan kebijaksanaan dalam membezakan apa yang betul daripada yang tidak betul. Lebih penting lagi, mereka haruslah menyemak terlebih dahulu kesahihan berita-berita sebegini lebih-lebih lagi jika berita-berita itu adalah yang membabitkan kepentingan nasional.
Mungkin ada antara kita yang merasakan tindakan menyemak kesahihan sesuatu berita merupakan perbuatan yang membuang masa, akan tetapi kealpaan kita untuk berbuat demikian, boleh mengundang padah dan memberikan impak yang jauh lebih serius di kemudian hari.
Namun realitinya, itu rutin yang perlu kita praktiskan. Apa susahnya? Janganlah terlalu ghairah untuk menyebarkan sesuatu berita tanpa mengetahui kesahihan berita yang diterima itu. Amalkan tabiat jika tidak pasti, jangan kongsi.
Sebenarnya, tidak sukar untuk membuat semakan. Kini, ada sebuah portal yang diberi nama sebenarnya.my yang menjadi sumber rujukan bagi menyemak kesahihan sesuatu berita. Difahamkan semenjak portal tersebut dilancarkan Mac yang lalu, jumlah pengunjung ke portal itu amat memberangsangkan.
Dengan adanya portal sebenarnya.my, kini pengguna tidak ada alasan lagi untuk mengatakan mereka tidak mempunyai platform untuk menyemak berita-berita sedemikian. Mereka seharusnya memanfaatkan kewujudan portal itu untuk membantu mewujudkan satu persekitaran maya yang lebih sihat dan bebas daripada segala penipuan dan manipulasi.
Mudah-mudahan kewujudan portal sebenarnya.my ini akan merintis kepada suatu budaya baharu yang mana rakyat akan lebih peka dan sentiasa menyemak sesuatu berita sebelum disebarkan kepada orang lain.
* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
