20 FEBRUARI ― Dalam artikel yang ditulis minggu lalu mengenai isu penyebaran berita-berita palsu, penulis ada menegaskan perlunya masyarakat memainkan peranan proaktif dalam membantu kerajaan dalam menangani isu tersebut.
Mereka tidak seharusnya mendabik dada dan memberikan reaksi seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Jangan hanya pandai mengkritik pihak berkuasa apabila masalah semakin melarat tetapi pada masa yang sama, langsung tidak memberikan komitmen untuk membantu.
Sikap suka menuding jari dan menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan diri sendiri inilah merupakan satu-satunya sikap buruk yang makin berleluasa dalam kalangan rakyat Malaysia. Saban kali, apabila terdapat masalah yang wujud di dalam negara, pihak pertama yang dipersalahkan ialah pihak berkuasa.
Satu ketika dahulu, agensi-agensi penguatkuasa negara dikritik hebat kerana dikatakan gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Maka, pelbagai gelaran diberikan kepada agensi-agensi penguatkuasa seperti tidak bertaring, lemah dan tidak proaktif. Namun begitu, adilkah untuk label-label sedemikian dilontarkan terhadap agensi-agensi tadi oleh pihak yang mengkritik itu tatkala mereka sendiri barangkali tidak memahami dan kurang arif terhadap bidang kuasa agensi-agensi berkenaan?
Pihak berkuasa sedia ada sekarang bukanlah sebuah pihak yang sempurna. Sebaliknya, masih ada banyak ruang penambahbaikan yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Dan untuk itu, partisipasi serta maklum balas oleh rakyat menjadi sumber penting kepada pihak berkuasa untuk memperbaiki prestasi dan kualiti perkhidmatannya.
Dalam isu penyebaran berita-berita palsu yang makin berleluasa dalam media sosial, sikap menuding jari tidak seharusnya berbangkit. Malah, apa yang sepatutnya dilakukan oleh rakyat ialah untuk turun membantu. Agensi-agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak mampu melakukan secara bersendirian.
Rakyat diibaratkan mata, mulut dan telinga kepada pihak berkuasa. Sebenarnya, tidak sukar untuk rakyat membantu. Mereka boleh memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat-maklumat penting kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. Ataupun mengajukan aduan kepada pihak berkuasa.
Sikap menuding jari yang menjadi lumrah dalam kalangan rakyat kita hanyalah satu escapism yang tidak akan menyelesaikan masalah bahkan hanya akan memburukkan keadaan. Tindakan menyalahkan orang lain boleh dianggap sebagai perbuatan pengecut yang tidak berani berhadapan dengan realiti semasa.
Apa yang akan pihak ini peroleh dengan menyalahkan pihak lain? Adakah masalah yang berlaku di hadapan mata mereka akan selesai ataupun mungkin lebih meruncing? Apakah dengan memindahkan beban kesalahan itu kepada pihak lain, maka mereka yang mengkritik itu terlepas dari beban itu?
Justeru, janganlah begitu naif dan berfikiran sedemikian. Kita hidup di abad ke-21 dan dalam tempoh tiga tahun sahaja lagi, negara akan mencapai status sebagai sebuah negara maju. Namun, kecenderungan untuk menyalahkan orang lain langsung tidak mencerminkan kesediaan masyarakat kita untuk melangkah ke era baharu.
Apa yang kita lihat ketika ini amatlah menyedihkan. Masyarakat seolah-olah bergantung harap kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ya, mungkin di pihak rakyat akan mengatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyelesaikan sesuatu masalah, akan tetapi sebagai pengundi yang mempunyai kuasa menentukan masa depan negara, mereka juga mempunyai peranan yang boleh dimainkan. Hanya dengan adanya sinergi antara rakyat dan kerajaan, barulah sesebuah pentadbiran akan berjalan dengan lancar.
Kepada mereka yang gemar untuk menuding jari, apa kata bermuhasabah diri dan bertanya kepada diri sendiri apakah peranan yang boleh mereka sumbangkan kepada bangsa dan negara. Jangan suka cari kesalahan orang lain. Jangan sesekali beranggapan bahawa diri kita sudah sempurna dan tidak pernah melakukan kesalahan. Kita sebagai hamba Allah yang lemah sebenarnya tidak terlepas dari melakukan kesilapan.
Natijahnya, masalah akan tetap tinggal masalah jika sikap lama sebegini dibiarkan berlarutan. Masalah berita palsu bukanlah masalah kecil. Malahan, isu berkenaan turut mendapat perhatian Facebook dan syarikat Apple yang menegaskan, perlu ada strategi untuk mengekang penyebaran berita-berita palsu yang semakin menjadi-jadi.
Masa untuk bertindak adalah sekarang. Ketepikan segala perbezaan dan kepentingan sebelum terlambat!
*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.
